Kau pergi buat selama-lamanya

Posted by Smat Goal Ent 11:51 AM, under | No comments


Tiap kali aku melihat sahabat karibku bergurau senda dengan abangnya, aku dibaluti dengan perasaan sedih dan juga cemburu. Muhd. Kamal bin Shamsul. Nama yang sangat aku kenali. Kamal. Abang Kamal. Nama yang sering aku ucapkan ketika aku masih kecil hingga umurku menjangkau sepuluh tahun. Abang Kamal adalah abangku. Darah dagingku sendiri. Walaupun sudah hampir lima tahun dia meninggalkan kami sekeluarga, namun aku tetap merinduinya. Senyum tawanya. Kasih sayangnya. Walaupun peristiwa terjadi empat tahun lalu, namun ia masih segar dalam ingatanku. Aku menatap gambar abangku yang telah dibasahi oleh airmataku.
"Kamal! Engkau hendak ke mana? Tiap-tiap hari kau tiada di rumah. Dah lah tu. Asyik pulang lewat! Apa yang nak jadi dengan kau?!" tengking ayah kepada abang Kamal.
Aku memerhatikan apa yang sedang berlaku dari kamarku. Tanpa ku duga, ayah menampar muka abang Kamal. Darah mengalir keluar dari mulutnya. Aku tidak dapat berkata apa-apa. Kemudian, abang Kamal pun mengambil jaketnya lalu keluar.
"Berambus kau! Anak tak kenang budi! Jangan kau berani menjejakkan kaki kau ke rumah ini lagi!" kata ayah dengan marah lalu masuk ke dalam kamarnya.
Aku terpacak di tempatku. Airmata ku jatuh berlinangan membasahi pipiku. Aku tidak pernah melihat ayah menampar abang Kamal ataupun memukulnya. Aku turut merasa kepedihan bak kata peribahasa cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Dengan linangan airmata, aku meluru ke arah telefon lalu mengelui abang Kamal.
Sudah dua puluh kali aku mengelui abang Kamal namun tiada jawapan. Aku mula gelisah. Walaupun hari sudah larut malam, namun aku masih tidak boleh tidur. Sungguh resah hatiku memikirkan tentang keadaan abang Kamal.
"Bang, pulanglah bang," bisikku di dalam hati.
"Ya Allah, Ya Tuhan ku, selamatkanlah abangku dan lindungilah dia dari sebarang kecelakaan..."
Pada keesokkan paginya, tepat pada pukul 8 pagi, telefon di ruang tamu berdering. Aku pun menjawab panggilan itu.
"Hello, “ aku bertanya.
"Adakah ini rumah Encik Shamsul?" tanya pemanggil itu.
"Siapa anda? Ya, ini rumah Encik Shamsul," jawabku.
"Maaf. Saya seorang pegawai polis. Nama saya Sarjan Zaidi. Boleh saya tahu dengan siapa saya berbual?"
"Saya Marhani anak kedua Encik Shamsul. Apa hajat tuan?"
“Oh, saya ada berita buruk tentang Muhd. Kamal.”
“Apa? Berita buruk?” aku menjerit. Kelopak mataku mula dibanjiri air mata kesedihan.
“Kamal… Kamal telah ditimpa kemalangan awal pagi tadi. Dia telah dilanggar oleh sebuah kereta. Dia telah dimasukkan ke hospital Tan Tock Seng. Saudari Marhani dan keluarga diminta ke sana sekarang juga.”
"Apa...? Tidak!!”
"Ibu! Ayah! Abang Kamal ditimpa kemalangan!" aku memanggil ibu dan ayah ku sebaik sahaja aku meletakkan gagang telefon.
Secepat kilat kami pun bergegas ke hospital Tan Tock Seng dengan menaiki teksi. Airmata ku tiada tertahan lagi. Aku menangis semahu-mahunya.
Dalam perjalanan ke hospital, aku berdoa ke hadrat Illahi supaya abang Kamal dapat diselamatkan. Wajah ibu dan ayah terpancar kesedihan. Airmata ibu jatuh mencurah-curah.
"Marilah kita sama-sama berdoa semoga abang Kamal dapat diselamatkan," kata ayah. Kami hanya menganggukkan kepala.
Setibanya di sana, kami pun bergegas ke bilik kecemasan. Di situ, dua orang pegawai polis sedang duduk di kerusi-kerusi yang disediakan.
Tiba-tiba doktor keluar dari bilik kecemasan.
"Doktor, bagaimana dengan anak saya? Saya ayahnya dan ini isteri dan anak saya," kata ayah dengan cemas.
"Lebih baik anda semua pergi jumpa dia sekarang. Maafkan saya. Saya telah melakukan apa sahaja. Anak awak Kamal telah mengalami kecederaan teruk. Penyakit barah otak yang dihidapinya memburukan lagi keadaannya. Maafkan saya....," jawab doktor itu lalu beredar.
"Ya Allah! Anakku Kamal!" keluh ibu.
Aku mendakap ibu dengan erat.
"Ibu! Mar sayangkan abang Kamal, bu," aku berkata dengan pilu.
Aku bagaikan tidak mempercayai kata-kata doktor itu. Abang kamal menghidap penyakit barah otak tetapi dia tidak pernah memberitahu kami tentang penyakitnya.
Tiba-tiba abang Kamal dibawa keluar dari bilik kecemasan.
"Kamal! Kamal anak mak! Kau mesti tabah. Jangan tinggalkan mak," ibu berkata lalu memeluk abang Kamal.
Aku menatap wajah abang Kamal yang pucat seperti mayat. Abang Kamal mengukir senyuman. Senyuman yang terakhir.
"A...yah, ibu, Ma...Mar," kata abang Kamal perlahan-lahan.
"Maafkan Kamal. Kamal tidak berniat untuk...bersikap… biadab terhadap ibu dan ayah. Marhani adik kesayangan abang..."
"Abang! Jangan tinggalkan Mar. Abang mesti sembuh..." aku berteriak. Hatiku terasa amat sebak.
"Selamat tinggal! Ya Allah!" lafaz abang Kamal lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tiba-tiba, angin bertiup kencang dari jendelaku. Aku tersentak dari lamunanku.
"Abang, Mar akan sentiasa menyayangi abang. Semoga roh abang akan dicucuri rahmat dari-Nya," bisikku di dalam hati.
Sehingga kini aku masih tidak boleh melupakan abang kesayanganku. Walaupun dia tiada lagi, namun kenangan manis brsamanya akan tetap bersemadi di lubuk hatiku.

0 comments:

Post a Comment