Aku, Dia dan Kolestrol.

Posted by Smat Goal Ent 1:12 AM, under | No comments

Penulis: Aini asmid
Lokasi: Kajang





Aku, Dia dan Kolestrol.
Pertemuan aku dengan si dia bagaikan satu permulaan baru dalam hidupku. Kehadiran dirinya dalam hidupku seperti telah mengisi ruangan kosong dalam hati ini. Hatiku berdebar senantiasa apabila berhadapan dengannya, di benak fikiranku hanya memikirkan kata-kata yang pantas aku ucapkan padanya. Bagiku dialah satu-satunya jejaka yang berani berbual dan bertegur sapa denganku tanpa memandang rupa parasku yang tidak secantik wanita lain. Aku tidak seanggun peragawati yang pandai menggayakan pakaian-pakaian yang ditaja, kulit mukaku tidak secerah dan selembut kulit Scha Alyahya dan tambahan pula badanku tidak sekurus peramugari yang bertugas dalam kapal terbang.
Namun, segala tanggapan yang baik terhadap dirinya telah hilang apabila aku dihina dan dikeji depan orang ramai oleh bekas teman wanitanya, iaitu Liza.
"Hei... perempuan gemuk tak sedar diri, sini kau. Ooo... mentang-mentanglah Azman dah putus dengan aku, kau pulak nak masuk jarum. Hei.hei.hei... kau ingat kau tu siapa? dahlah gemuk, gendut pulak tu ada hati nak berlakikan Azman, boleh-belalah. Kau dengar sini baik-baik, aku kalau tak dapat apa yang aku nak, jangan harap kau boleh rampas dia daripada aku . Kau faham tak...".
Aku terpaksa diam kerana takut nak melawan kata-kata Cik Liza. Namun kesabaranku terbatas apabila dia mengutuk Azman. Dia berkata "agaknya Azman tu butalah sebab sanggup nak memperisterikan engkau yang gemuk ni" . "Cukup...Cik Liza, cukup... saya sedar siapa saya. Saya tahu orang yang gemuk macam saya ni tak layak dapat kasih sayang daripada seorang lelaki . Tapi walaupun saya ni gemuk, saya tetap ada maruah Cik Liza, saya ada maruah. Saya tak sanggup dihina oleh orang lain hanya kerana bentuk fizikal saya".
Lalu, Azman datang dan bertanya apa yang sedang berlaku di situ. "Apa yang berlaku ni? Kecoh saja saya tengok". Cik Liza terus mendampingi Azman sambil memegang tangannya dan berkata "ni bang, perempuan gemuk yang abang gila-gilakan sangat ni dah bomohkan abang".
Perasaan terkejutku pada masa itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Aku dan Azman saling berpandangan antara satu sama lain. Azman tidak mempercayai kata-kata Cik Liza dan dia mengatakan bahawa Liza tidak mempunyai bukti yang kukuh dan tuduhannya terhadapku amat berat. Azman menasihati Cik Liza supaya tarik balik tuduhan yang baru sahaja dilemparkan terhadapku. Namun, Cik Liza tetap berdegil. Apa yang lebih memeranjatkan aku, Azman dan orang sekeliling kami ialah apabila Cik Liza membawa keluar patung kecil dari beg tangannya yang selalunya patung itu digunakan untuk tujuan sihir. "Ni dia... korang semua tak percayakan apa yang aku cakap. Haa... ini buktinya".
Aku dan Azman tercengang dan orang ramai pula mula memandang tepat pada wajahku. "Perempuan gemuk ni dah bomohkan abang, abang yang tak sedar". Aku cuba menegakkan kebenaran. "Sumpah.... Cik, saya tak buat tu semua. Ini semuanya fitnah semata-mata. Azman, percayalah saya tak buat semua ni. Saya ikhlas mencintai awak". Sungguh aku tak sangka Azman tega menampar pipiku, lantas berkata "sangkaan saya terhadap awak selama ni ternyata hanya sangkaan semata-mata dan bukannya realiti. Awak sanggup bomohkan saya semata-mata untuk mendapatkan cinta saya. Sudahlah... lepas ini saya tak nak tengok muka awak lagi. Saya fikir apabila bercinta dengan perempuan gemuk macam awak ni, hidup saya akan tenang dan tenteram. Tetapi sebaliknya, awak lebih hina daripada perempuan-perempuan bohsia di luar sana". "Cukup, cukup... saya sedar saya ni gemuk tapi maruah saya tak serendah apa yang awak cakap. Terserah pada awak, awak nak kutuk saya macam-macam. Saya dah biasa dan saya dah lali. Saya yakin perkara ini tak terhenti setakat ini sahaja, saya pasti bahawa hal ini kelak akan diketahui oleh masyarakat luar dan sudah semestinya saya akan dihina buat selama-lamanya".
Aku berundur selangkah ke belakang untuk mencapai beg tangan yang di beri oleh Azman lalu menuju ke arahnya dan mencampak beg tersebut ke mukanya lantas berkata "terima kasih Azman, terima kasih atas segala yang telah awak berikan kepada saya walaupun sementara cuma".
Aku beredar dari situ sambil mengalirkan air mata yang entah sampai bila akan kering. Aku menangis tanpa henti. Aku merasakan hidup ini tak bermakna lagi buatku. Aku merasakan bahawa tiada lagi sinaran cahaya yang menyinari kehidupanku selepas ini. Semangatku untuk meneruskan kehidupan semakin pudar. Hari-hariku tidak berjalan seperti biasa.
Beberapa hari kemudian, aku mulai sedar bahawa hidup ini tidak selalunya mudah dan jika kita inginkan sesuatu itu, tak semestinya kita akan dapat. Sedari hari itu, aku tidak pernah berjumpa dengan Azman walaupun secara kebetulan dan aku tidak pernah mengharapkan perkara tersebut berlaku. Seandainya terjadi, aku merupakan salah seorang manusia yang paling malang dalam dunia ini.
Setahun berlalu, aku kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, UIA. Aku mengambil kursus sejarah. Pensyarahku adalah seorang wanita, iaitu Puan Hasmah yang menjadi sumber inspirasiku untuk terus mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Pada suatu hari, "Kiera, betul ke aku dengar kita ada pensyarah baru yang menggantikan Puan Hasmah?". "Betul ke? aku ingatkan apa yang aku dengar selama ini cuma khabar angin sahaja. Jadi, siapa yang akan gantikan Puan Hasmah?". Aku mencuri-curi dengar perbualan antara Kiera dan Joyah. " Aku rasa nama pensyarah baru itu ialah Tuan Azman". Aku terkejut mendengar nama Azman. Hatiku berkata "tak...tak...bukan dia. Dalam Malaysia ini ramai orang yang nama sama". Aku cuba memujuk diriku dan hanya menunggu pensyarah misteri masuk ke dewan kuliah dan berharap dia bukanlah orangnya.
Sepanjang masa menunggu kehadiran pensyarah misteri tersebut, aku hanya memejamkan mata. Kemudian, aku terdengar suara yang sama dengan Azman. Aku takut-takut untuk membuka mata dan apabila sikit demi sikit mataku terbuka dan kelihatan itu merupakan ketua canselor kami. Aku menarik nafas lega. "Fuhhh...... lega rasanya. Nasib baik bukan Azman yang jadi pensyarah aku". "Ok, pelajar semua saya ingin perkenalkan kepada kamu ini dia pensyarah baru yang akan menggantikan Puan Hasmah buat selamanya. Kelihatan sepasang kaki sedang berjalan menuju ke dalam dewan kuliah dan ternyata pensyarah misteri itu adalah Azman.
Hatiku berbisik "ya Allah, kenapa mesti dia yang jadi pensyarah aku. Macam mana aku nak berhadapan dengan dia". Sejurus sahaja ketua canselor kami keluar, Azman meminta kami semua memperkenalkan diri masing-masing. Sementara menunggu giliranku memperkenalkan diri kepada orang yang tidak sepatutnya diperkenalkan, fikiranku kusut memikirkan bagaimana caranya aku nak mengelakkan diri daripadanya. Tanpa disedari kini adalah giliranku. Azman bertanya kepadaku "bukankah kita pernah berjumpa sebelum ini? Ooo...baru saya teringat nama awak Sayida, betul tak?". " Ye, itulah nama saya. Dah lama saya cari awak". "Tuan cari saya untuk apa? Saya dah tak ada apa-apa kaitan dengan Tuan. Sini adalah universiti, bukan tempat masalah peribadi diselesaikan". Pada waktu itu, perasaan benci semakin membuak-buak. "Buat-buat tak kenal konon. Padahal dulu dia yang meluat sangat tengok muka aku yang hodoh ini". Hatiku berbisik dendam. Walaubagaimanapun, pembelajaran tetap diteruskan.
Habis saja waktu kelas, aku dengan kelam-kabutnya berjalan dengan cepat keluar dari dewan kuliah untuk bersembunyi daripada Azman. Tiba-tiba kedengaran satu suara yang memanggil namaku. "Sayida...Sayida...Sayida...". Aku menoleh kebelakang, rupanya orang itu adalah Azman. Aku cuba melarikan diri daripadanya, namun gagal.

"Tunggu..., Sayida awak nak ke mana?". "Saya nak pergi jauh, jauh dari awak Azman". "Tapi, kenapa?". "Tapi kenapa awak cakap. Awak dah lupa ke, dulukan awak cakap saya ni perempuan yang lebih hina daripada perempuan-perempuan bohsia tu, jadinya saya jauhkanlah diri daripada awak supaya awak tak malu dan tak meluat tengok muka saya yang dah bomohkan awak". Secara pantasnya aku membalas kata-kata Azman itu. "Awak, sebenarnya saya dah lama nak cari awak untuk minta maaf atas segala yang telah saya lakukan terhadap awak. Saya sedar bahawa bukan awak yang bomohkan saya, tetapi Liza. Dia yang telah membomohkan saya supaya saya jatuh cinta dengan dia". Aku terkedu tak tahu apa nak cakap. "Macam mana awak tahu hal yang sebenarnya". Azman mula menerangkan kepadaku apa yang telah berlaku antara dia dan Cik Liza selepas dua hari kejadian tersebut berlaku. Azman mengatakan kepadaku,"pada petang hari selepas awak keluar meninggalkan saya, saya berasa seperti ada sesuatu yang pelik telah berlaku. Saya memikirkan bahawa bagaimana Liza mendapatkan barang tersebut daripada awak sedangkan hari itu merupakan kali pertama awak dan Liza bertemu. Sejak daripada hari itu, saya telah mengupah penyiasat persendirian untuk mengekori dan merakam segala tindak-tanduk Liza. Ternyatalah bahawa selama ini Liza yang telah membomohkan saya, bukannya awak". Aku berasa lega apabila aku telah terbukti tidak bersalah sama sekali.
Aku dan Azman terdiam seketika, dia merenung mataku dengan tepat sambil berkata, "Sayida, sudikah awak maafkan saya". "Ya, saya sudi. Tapi awak kena janji awak takkan buat saya macam tu lagi". "Baiklah, saya janji. Tapi ada satu perkara lagi yang saya nak awak jujur dan terus terang dengan saya dengan rela hati tanpa paksaan". "Apa dia?". Azman menyeluk poketnya lalu mengeluarkan bekas kecil bewarna merah dan membukanya sambil berkata, "Sayida binti Aziz sudikah kau menjadi suri di dalam hatiku buat selamanya?".

Tiba-tiba kedengaran suara orang ramai yang bersorak kepada kami dengan menyuruh aku menerima lamaran Azman. Aku tak tahu macam mana lagi nak ku katakan. "Ya, saya terima". "Yeah....yeah...yeah...". kedengaran suara orang ramai menyorak kegembiraan kepada kami. Manakala pada masa itu jugalah Azman meloncat-loncat kegembiraan.
Beginilah akhirnya cerita kami berdua dan alhamdulillah, sekarang aku sedang sarat mengandungkan anak sulung kami yang hanya menunggu masa untuk dilahirkan. Aku kini bahagia dengan dirinya. Kehidupan aku bertambah ceria dari sehari ke sehari. Kesimpulannya, kolestrol bukanlah penghalang bagi diriku untuk mencapai kebahagiaan dalam percintaan. Tapi, sebaliknya adalah kejujuran dan keikhlasan kita dalam menikmati nikmat percintaan.

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive