Cerpen : MR. S

Posted by Smat Goal Ent 2:47 AM, under | No comments


“Mak Jah dah jumpa calon yang sesuai?”
“ Alhamdulillah, sudah. Nanti Mak Jah berikan gambar dia dekat Han ye”
            Ahmad Farhan Syah hanya mengangguk faham. Mukanya sentiasa serius. Biar berlembut atau bertegas, tak dapat beza riak wajahnya. Yang membezakan hanyalah ton suara. Mak Jah hanya mampu tersenyum sendiri melihat anak asuhannya itu. Sejak Babanya pergi menghadap Ilahi, kehidupan Farhan makin kacau bilau dengan tingkah laku si ibu tirinya yang gila harta itu. Tak pasal-pasal, Mak Jah terjebak sama dengan kekusutan Farhan.
            Seminggu lalu, Farhan meminta bantuan Mak Jah supaya mecari seorang calon isteri yang paling sesuai untuk dia. Pilihan Mak Jah mesti yang terbaik, itu kata Farhan, dia tak tahu pening Mak Jah hendak mencari anak gadis yang paling sesuai dengan anak muda bernama Ahmad Farhan Syah. Peguam muda, yang sentiasa sibuk. Sibuk dengan kes, sibuk dengan hal perniagaan Babanya, sibuk dengan ibu tiri yang asyik mencari jodoh buat dia. Lagi satu, Farhan seorang pemuda yang panas baran dan tak pernah senyum. Entah apa salah asuhan Mak Jah.
“ Sumayyah ni cikgu tadika dekat kampung Mak Jah. Bukan sembarangan, ada ijazah. Berkaitan dengan budak-budak la jugak, Mak Jah tak tahu namanya.” Ujar Mak Jah panjang lebar, sambil menemani Farhan menikmati minum petang di taman. Gambar yang diberi Mak Jah, diteleknya.
“ Dia setuju nak kahwin dengan saya?” Gambar Sumayyah masih diteleknya. Tak cantik mana, tak bergaya macam model yang ibu kenalkan minggu lalu, tapi manis dengan tudungnya yang agak labuh itu.
“ Mak Jah dah risik, empunya badan serah semua dekat keluarga. Dia muda lagi, baru 22. Mak Ayah dia cuma suruh Han datang meminang, ikut adat.” Farhan mengangguk. Entah kenapa matanya tidak mahu lari dari melihat wajah mulus gadis bernama Sumayyah itu.
“ Nanti Han cakap dengan Ibu dan Tok Usu, Mak Jah tolong urus apa patut ye. Cincin nanti Han uruskan.”
Farhan terus menelek gambar itu. Sumayyah, moga indah seperti dikhabar. Moga manis seperti digambar. Moga luhur budinya bagai namanya.
++++++


            “I thought you will choose someone that better than I have chosen for you. But, I was wrong. Why is she?”
            “I’ve married Ibu, tak payah nak kecoh lagi dah.”
Datin Mazla menjeling menantunya yang duduk tertunduk dihujung sofa. Sumayyah betul-betul keliru dengan apa yang berlaku didepannya itu.
            “ Bini kamu tu bisu ke? Dari semalam sampai Ibu tak dengar suara pun?” Farhan memandang Sumayyah yang masih tunduk memandang lantai.
            “ Lebih baik diam dari bersuara Bu, Han nak balik rumah Han.” Farhan terus menerus menyindir Datin Mazla. Sejak dari hari meminang, Datin Mazla tak berhenti dari menyatakan kekurang isterinya, Sumayyah. Selekeh, ketinggalan zaman, orang kampung, macam-macam lagi. Farhan tak peduli, yang dia tahu Sumayyah tak gilakan harta dia macam calon-calon yang ibu kenalkan.
            “ Balik lah, tak lalu Ibu nak tengok muka budak kampung ni, tak habis-habis pakai baju kurung!” Farhan menyalami tangan Datin Mazla dan berlalu. Sumayyah terkocoh-kocoh bangun untuk mengikuti suaminya. Dihulurkan tangan untuk bersalam, namun tak disambut Datin Mazla. Sumayyah teringat kata-kata Datin Mazla sewaktu malam pernikahan mereka.
            “ Geli aku nak duduk lama-lama dekat rumah kayu ni, dah la panas, berhabuk pula tu.”
Kata-kata yang membuatkan keluarganya makan hati. Mak Jah sudah awal-awal lagi berpesan kepada dia dan keluarga mengenai sikap Datin Mazla. Bila dengar cerita tak berapa sakit hati, bila kena batang hidung sendiri, pedihnya sampai ulu hati!
++++++
“ Kenapa Ibu tak suka dengan Maya?” Soal Sumayyah sewaktu dia dan Farhan dalam perjalanan pulang ke rumah Farhan. Sumayyah memandang wajah suami yang menikahinya semalam. Wajah lelaki yang serius dan tiada riak mahu memberikan jawapan. Sumayyah masih belum faham dengan sikap Farhan, suaminya. Sejak dinikahi semalam, suara Farhan hanya didengarinya sewaktu akad nikah, dan sebentar tadi. Waktu mereka berdua, Farhan hanya senyap tidak bersuara.


“ Maya minta maaf..” Ujarnya bila Farhan tidak memberi respon kepada soalannya. Pandangan dilemparkan ke depan, namun fikiran masih kepada suaminya, Farhan. “Apa salah aku?” detik hati kecil Sumayyah.

++++++
            Beg pakaiannya dikeluarkan dari perut kereta. Farhan sudah awal lagi masuk ke dalam rumah. Sumayyah tak terikut rentak sikap Farhan. Apa yang salah langsung dia tak mengerti. Namun, kedatangannya disambut ceria oleh Mak Jah dan suami, Pak Teh Lan. Pak Teh Lan merupakan bapa saudara kepada sepupu Ayah Sumayyah.
            “ Sabar ye Maya, Han memang macam tu..” Ujar Mak Jah ketika membantu Sumayyah mengemaskan pakaiannya, Farhan sudah awal lagi pergi ke pejabat. Baru masuk hari kedua bergelar pengantin, Farhan sudah masuk ke pejabat. Jika difikirkan memang tidak logik dan seakan Farhan cuba menjauhi Sumayyah tapi itulah hakikatnya. Mak Jah sendiri terkejut dengan tingkah Farhan, entah apa yang difikirkannya.
            “ Maya belum kenal abang Han Mak Jah, insyaAllah, Maya akan cuba faham dengan sikap dia.” Jawab Sumayyah jujur, segarit senyuman dihadiahkan, namun siapa tahu, hatinya sedang rancak memikirkan kenapa dan mengapa Farhan bersikap sedemikian.
            “ Tahu kenapa Mak Jah pilih Maya untuk Farhan?” Soal Mak Jah dengan senyuman membunga. Sumayyah hanya menggeleng dengan riak hairan.
            “ Sebab Mak Jah kenal Maya dari kecil lagi. Maya seorang gadis yang sangat penyabar. Dalam keluarga Maya, Maya paling diam dan paling sabar. Dari Maya kecik, Maya yang sentiasa mengalah dengan adik beradik Maya, buatlah apa pun Maya hanya diam dan sabar.” Maya tersenyum manis. Hanya mengangguk. Mak Jah juga. Maya sedar, ada rintangan dan dugaan besar dalam perkahwinannya ini.
+++++++
            “ Abang taknak breakfast?” Soal Maya setelah melihat kelibat suaminya melintas ruang makan. Farhan berpaling, dipandang meja makan dan Maya berselang seli.
            “ We have been married for two month. Did you ever see me having my breakfast?” Farhan tidak menjawab tapi kembali menyoal Maya dengan soalan sinis. Maya hanya mengangguk dan tertunduk lemah. Ya, Farhan tidak pernah ambil sarapan, dan tidak pernah menjamah air tangan Maya. Farhan alien ke? Pernah beberapa kali soalan itu terpancul diruang minda Maya, dengar lucu tapi... entah!
            “ Abang tak pernah makan kat rumah pun..” Maya ‘ter’merungut! Ditekup mulutnya perlahan. Maya sedar dia terlepas cakap.
            “ So? I have told you right? Do I have to repeat it again?!” Nada suaranya makin keras kedengaran. Maya sudah gelabah.
            “ Maya mintak maaf.. Maya takkan buat lagi..” Setelah mendengar jawapan Maya, Farhan pantas melangkah keluar kereta. Maya hanya memandang sepi. Tiada salam, tiada kucupan pagi. Perkahwinan ini sekadar menjauhkan paksaan Ibu dengan calon-calon menantunya sahaja. Maya tertunduk lemah di meja makan. Mana mungkin dia lupa kata-kata suaminya itu waktu pertama kali dia memasak dirumah itu.
            “ I never ate at my house. Then awak tak payah masak.”
Maya mendengus lemah. Entah apa yang perlu dilakukan dirumah itu. Masak tak payah, kemas? Mak Jah melarang. Ya Allah, aku tidak dilahirkan untuk hanya bergoyang kaki. Jerit hati kecil Maya. Dicapai telefon bimbitnya dan buku nota, langkah diatur ke ruang taman belakang rumah. Tak disangkal, rumah Farhan memang besar dan punya ruang laman yang sangat luas. Tapi isinya kosong!
Punggung dilabuh atas gazebo. Telinga disumbat dengan earphone, muzik yang perlahan dipasang sebagai halwa telinga. Buku nota dibuka, dan pena diambil. Jarinya teringin menulis sesuatu hari ini, mungkin kisah hatinya. Mungkin persoalan kepada sikap suaminya. Itulah hobi Maya, pantang ada masa terluang, pasti berkepit dengan pen dan kertas. Pernah juga di ‘sound’ adiknya sendiri, Maya seolah-olah ketinggalan zaman, orang sekarang berkepit dengan notebook bukan lagi kertas dan pen. Maya hanya tersenyum. Bukan tiada, cuma keselesaan itu berbeda.
            “ Kau pekak ke!” tarikan earphone daripada telinga secara tiba-tiba dan jerkahan itu membuatkan Maya terloncat dari duduknya. Dadanya ditepuk perlahan. Fuh..semangat!
            “ Aku cakap dengan kau, kau boleh dek!” Maya memandang wajah gadis dihadapannya, diteleknya ralit. Tidak dikenalinya, tapi wajah yang tebal dengan bedak itu jika tidak bersolek pasti lebih cantik.
            “ Hoi! Aku datang tak suruh kau telek muka aku la, aku tau la aku cantik dari kau!” Layla menempik penuh geram. Maya tersedar dari lamunan. Huih! Pukau sungguh wajah dia yang mengerikan nih! Bisik hati kecil Maya hingga terukir senyuman dibibir Maya tanpa dia sedari. Jari runcing Layla menunjal kepala Maya membuatkan Maya tersentak dan terus berdiri. Pantang!
            “ Cik datang cari siapa?” soal Maya tegas. Layla menjeling.
            “ Cari kau la perempuan kampung! Bodoh!”
            “ Watch your words!”
            “Do I care? Kau memang perempuan kampung, perampas!” Maya mendengus geram. Perempuan dihadapannya terlalu lancang berkata-kata.
            “ Perampas? Bila pulak saya merampas hak awak?”
            “ Farhan tu sepatutnya jadi milik aku, bukan kau!” Maya tersenyum menyindir.
            “ Dah termaktub, Abang Farhan suami saya, dan tiada isu rampas kat sini.” Ujar Maya tegas. Layla geram. Maya seolah-olah mencabarnya.
            “ Tak guna..” Tamparan hebat Layla hinggap diwajah Maya. Maya terkesima. Seumur hidupnya, itulah pertama kali dia ditampar. Ayah atau abangnya tidak pernah berbuat demikian. Maya anak yang patuh dan taat. Terasa bibirnya perit sekali.
            “ Layla, what are you doing here?” suara Farhan menjengah ke ruang telinga. Kedua-dua mereka kalih pandangan ke arah Farhan yang berada ditepi rumah. Maya menekup pipinya yang masih perit. Layla melangkah penuh liuk lentuk ke arah Farhan. Malas untuk melihat drama yang seterusnya, Maya terus masuk ke rumah melalui pintu belakang.
            Bibir yang berdarah dicuci perlahan. Ditelek wajahnya dicermin. Pipinya kelihatan bengkak dan bercalar. Peritnya masih terasa. Apa salah aku? Soal hati Maya. Keluh dilepas perlahan. Maya melangkah keluar dari bilik air. Dari jendela masih terlihat adegan lakonan penuh gedik Layla dan Farhan. Farhan seperti gaya biasanya, tangan dimasukkan ke dalam poket seluar, tegak berdiri. Layla dengan tiada segan silu memeluk erat pinggang Farhan.
            “ Allah, kuatkan hatiku..” bisik Maya perlahan. Hatinya terguris melihat adegan itu, biarpun Farhan kelihatan tidak membalas sebarang reaksi. Maya terluka, dia sendiri tidak pernah merasa mesra hangatnya pelukan suami, kenapa Layla yang mampu merasainya? Dengannya, Farhan cuma lebih kepada tanggungjawab, hanya seperti melunas tanggungjawabnya sebagai suami. Maya mengeluh sendiri.
+++++++
            Kepala Maya seolah-olah dihempat batu besar. Terasa berat untuk diangkat. Terasa perit untuk terus berdiri. Usai solat maghrib, Maya terus baring di atas katil. Mungkin setelah berehat kepalanya akan kembali sihat.
            “ Han.. Maya tak turun makan lagi?” Soal Mak Jah, melihatkan Farhan sedang ralit membuat kerja diruang tv.
            “ Masa Han masuk bilik, dia tidur, and masa keluar pun Han tengok dia tidur lagi.” Jawab Farhan dengan matanya fokus kepada kerja-kerjanya.
            “ Dia tak makan lagi tu, tengah hari tadi pun tak makan, isteri kamu tu ada gastrik.” Ujar Mak Jah penuh risau.
            “ Biarlah dia tidur, karang dia bangun, dia makan la Mak Jah.” Jawab Farhan acuh tak acuh.
            “ Pergi kejut dia Han..” Tutur Mak Jah lembut. Farhan memandang Mak Jah yang masih tetap ditempatnya. Mak Jah bagai ibu kandung Farhan, suruhan Mak Jah tidak pernah dibiarkan.
            “ Okey Mak Jah, Han pergi jemput menantu kesayangan Mak Jah.” Mak Jah hanya ketawa kecil mendengar tutur kata Farhan.
+++++++
            Pintu bilik dikuak perlahan. Maya masih tidur, itu yang dilihat dari kaca mata Farhan. Nak tak nak, Farhan terpaksa mengejutkan Maya. Nanti bising pula Mak Jah. Maya kelihatan letih, pucat. Farhan duduk disebelah Maya yang sedang asyik terlena. Deru nafasnya kedengaran tidak teratur. Perlahan-lahan Farhan menyentuh jari jemari Maya. Sejuk beku? Pantas Farhan meletakkan belakang tangan di dahi Maya. Allah! Panasnya.
            “ Nanti Mak Jah bawak naik tuala dan air suam ye. Han pergi call doktor.” Ujar Farhan sebaik turun ke dapur. Resah, bagaimana Maya boleh tiba-tiba demam. Petang tadi, dia melihat Maya baik-baik sahaja. Mak Jah juga terkejut, dengan pantas Mak Jah menurut pesanan Farhan sebentar tadi.
+++++++
            “ Ni kainnya Han..” Mak Jah menghulurkan kain tuala kecil dan semangkuk air suam kepada Farhan yang sudah pun berada di dalam bilik.
            “ Mak Jah tuamkanlah..” Farhan menolak.
            “ Kamu suami dia, jadi ini tanggungjawab kamu juga Han..” Farhan mengeluh kecil mendengar kata-kata Mak Jah. Dia tahu, cuma tidak biasa. Farhan kembali melabuh punggung disisi Maya yang masih lena. Dibetulkan baringan Maya. Rambut Maya yang menutupi wajahnya, dia kalih perlahan dan betulkan.
            “ Kenapa dengan muka Maya Mak Jah?” Soal Farhan sebaik terlihat kesan calar dan lebam dipipi Maya. Mak Jah cuba menelek.
            “ Ish.. tak tahu pulak kenapa, macam kena tampar aje ni..” Farhan mendengus keras. Layla!
            “ Mak Jah ada perasaan atau dengar apa perbualan Layla dengan Maya petang tadi?”
            “ Takde la pulak, Layla cuma tanya dekat Mak Jah, Maya mana, tu aje.” Jawab Mak Jah jujur.
            “ Ni mesti kerja Layla ni. Tak habis-habis nak kacau hidup Han.” Rungut Farhan, sedikit keras.
            “ Nanti Mak Jah bawakkan ubat ye.” Mak Jah tidak tahu mahu kata apa apabila Layla menjadi persoalan. Dari Farhan belasan tahun lagi, Layla sudah tergila-gilakannya. Biar sejuta kali Farhan menolak, lebih sepuluh juta kali Layla akan terus menggoda.
            “ Kejap lagi Doktor Anis akan sampai, Mak Jah suruh dia ke atas terus ye.” Mak Jah mengangguk faham dan berlalu keluar. Farhan menelek perlahan wajah mulus isterinya. Luka dibibir Maya disentuh perlahan dengan jari.
            “ Maaf, bukan aku sengaja, hati ini serik pada yang bernama wanita.” Bisik hati kecil Farhan. Ketukan dipintu mengejutkan dia dari lamunan. Doktor Anis dan Mak Jah. Farhan beralih tempat, dan memberikan ruang kepada doktor Anis untuk memeriksa Maya yang masih terlena.
            Setelah beberapa minit berlalu, Doktor Anis siap memeriksa dan mengemas barang-barangnya. Dikeluarkan satu buku dari beg bimbitnya dan menulis sesuatu. Kertas itu diserahkan kepada Farhan dengan senyuman.
            “ You should take care of her from now. Tahniah Farhan, kurang 9 bulan dari sekarang awak akan jadi Papa.” Ujar Doktor Anis, Farhan terkedu dan ternganga. Farhan tidak tahu mahu berkata atau memberikan reaksi yang bagaimana. Dilihat Mak Jah tidak putus-putus mengucap syukur. Doktor Anis pula tersenyum sedari tadi. Kertas digenggam dibelek bagai tembus hingga ke lantai. Ah! Aku belum sedia dengan semua ni! Jerit batin Farhan sendiri.
++++++++
            Tubuhnya dihenyak ke atas sofa. Kerja-kerja yang tertangguh sebentar tadi hanya dipandang tidak berperasaan. Jiwanya celaru! Masih terngiang-ngiang ucapan tahniah Doktor Anis sebentar tadi dan ucapan syukur Mak Jah yang tidak putus-putus. Mukanya diraup beberapa kali.
            “ Aku yang nak kahwin dengan dia. Aku yang buat dia macam tu. Ah! Apa aku dah buat ni??!” persoalan-persoalan yang timbul dalam kotak fikiran Farhan tika ini. Celaru, sangat celaru! Farhan merengus perlahan. Badannya disandarkan ke sofa. Kepalanya diletakkan mengadap syiling. Wajah Maya kelihatan, manis tersenyum. Maya tiada salah, tapi dia.
            “ Kandungan masih kecil, 3 weeks, masih lemah, jadi awak kena pastikan Maya tak buat kerja berat, tak boleh stress, kalau boleh kena happy-happy la. Makan dia kena jaga. Ingat tau Farhan, awak dah nak jadi Papa ni” pesanan Doktor Anis masih lagi kedengaran. Anis kawan sejak zaman persekolahan lagi. Waktu Baba sakit, Doktor Anis juga yang merawat, sejak dari itu, Doktor Anis secara rasminya menjadi doktor keluarga Farhan. Pernah Baba merisik, tetapi hati si doktor muda itu sudah terisi. Farhan sedikit kecewa, kerana Doktor Anis pernah menjadi kekasihnya waktu mereka di tingkatan 3.
Fikiran Farhan masih lagi merewang ke semua benda yang membuat dia celaru. Bagaimana dia mahu menghadap Maya? Dan apa reaksi terbaik yang mampu dia berikan bila perut Maya sudah kelihatan dan apa perlu dilakukan bila Maya sudah melahirkan anaknya? Semua itu membuatkan Farhan makin celaru. Dia belum bersedia, banyak rahsia dia simpan. Banyak perkara perlu dia selesaikan. Maya? Maya bagaikan satu kesilapan yang besar Farhan lakukan. Semata-mata penat dengan permainan Datin Mazla, Maya menjadi pertaruhan. Farhan terus berfikir jalan terbaik yang perlu dilakukan. Tok Usu, nama itu menjengah ke ruang fikiran. Tok Usu jalan penyelesaian!
+++++++
            “Untuk beberapa bulan ni, awak pergi tinggal dengan Tok Usu. Saya tak pandai jaga orang mengandung.” Arahan dari Farhan yang membuat Maya sedikit terguris dan sedih. Maya hanya mahu berada di sisi Farhan. Rasa ingin mendampingi Farhan lebih kuat kebelakangan ini. Berita kehamilannya membuatkan dia memahami mengapa perasaannya kepada Farhan tersangat kuat kebelakangan ini.
            “ Saya boleh jaga diri, biar saya duduk rumah ni je ye.” Tutur Maya perlahan dan cuba di atur rapi supaya tidak menimbulkan kemarahan Farhan.
            “ Rumah Tok Usu lagi selesa, tenang, sesuai untuk orang mengandung muda macam awak.” Bila Farhan sudah bagi satu arahan jangan harap kita boleh ubah arahannya. Siapa yang mampu melawan kata-kata seorang peguam merangkap CEO muda?
            “ Awak akan datang jenguk saya dekat sana nanti?” Maya soal lagi. Farhan yang sedang membetulkan tali leher memandang Maya yang sedang duduk dibirai katil melalui cermin solek. Pandangan yang tajam membuatkan Maya tunduk mengukur lantai.
            “ Kalau ada masa..” Jawapan yang mengundang air mata Maya. Hatinya pasti, dia akan merindui Farhan untuk 8 bulan ini. Kenapa payah untuk Farhan mengerti perasaan dia? Apa yang harus dilakukan?
+++++++

            “ Sabar. Menjadi seorang isteri, kesabaran kita sering teruji. Jadi kuncinya, tetapkan iman, tetapkan hati untuk terus bersabar. Ingat cu.. Allah selalu bersama dengan orang-orang yang bersabar.” Kata-kata Tok Usu menjengah ke ruang telinga Maya usai solat maghrib. Telekung yang masih menutupi kepalanya dibuka perlahan. Perut yang masih tiada bentuk itu diusap perlahan.
            “ Ibu sayang dengan Papa, Ibu janji dengan baby, untuk terus bersabar. InsyaAllah, Papa akan datang ambil Ibu dan baby dalam masa terdekat nih.” Maya bersuara perlahan seolah-olah berbual dengan bayi di dalam rahimnya. Pada Allah Maya berserah segalanya.
            Laungan suara Tok Usu dari dapur, menyedarkan Maya dari lamunannya. Segera telekung dan sejadah dilipat dan diletak kemas di atas katil. Rambutnya yang kian panjang, disisir rapi dan dikepit sekemasnya. Langkah diatur perlahan ke dapur. Tok Usu sudah sedia dengan juadah makan malam. Siap dengan jus lobak merah yang Maya idam-idamkan petang tadi. Tok Usu sangat baik!
            “ Esok Maya balik rumah ye.” Tok Usu bersuara sedang kami asyik menikmati juadah makan malam. Maya terkejut dengan berita yang dinanti-nantikannya. Takkan secepat ini Farhan berubah? Detik hati Maya.
            “ Abang Farhan nak ambil Maya balik ye Tok Usu?” Soal Maya, gembira bercampur bahagia. Maya tersenyum-senyum sendiri.
            “ Tak. Maya balik sendiri, Tok Usu dah siapkan kereta dengan Haji talib petang tadi.” Senyuman Maya mati.
            “ Kenapa Tok Usu? Abang Farhan tahu?” Maya bersoal, gusar.
            “ Tak. Tok Usu nak Maya balik, tempat Maya bukan dekat sini, tapi di sisi suami. Suami mahu atau tidak, Maya tetap tanggungjawab dia.” Tok Usu bersuara sedikit tegas. Maya hanya terdiam, jemarinya menguis perlahan nasi yang masih banyak di dalam pinggannya.
            “ Jangan takut, Tok Usu ada rancangan buat Maya. Maya nak Farhan sayangkan Maya kan?” Tok Usu seakan mengerti perasaan Maya yang berbelah bagi tika itu.
            “ Memang la nak Tok Usu, nak dia sayang Maya, cintakan Maya dan terima anak Maya dengan dia... tapi Maya takut dengan dia, mesti dia terkejut tengok Maya kat rumah nanti.” Rintih Maya perlahan sambil tangannya mengusap perlahan perutnya. Hatinya seakan boleh membaca masa depan, reaksi dan tingkah Farhan sudah dia rasakan pabila dia tiba di rumah kelak.
            “ Maya balik, nanti Tok Usu bagitau apa yang Maya perlu buat. Jangan risau. Janji Allah itu pasti, kalau benar Farhan jodoh Maya, dia tetap milik Maya buat selamanya. InsyaAllah.” Maya hanya menganggukkan sedikit kepalanya, biarpun bersetuju namun hatinya tetap resah menanti reaksi Farhan ketika melihat dia.
+++++++
 Langkah kakinya diatur keluar dari perut kereta Haji Talib. Sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam itu, Maya hanya mendiamkan diri. Bukan mahu berlaku tidak sopan begitu, tetapi hatinya berkocak kuat, takut! Apa yang Farhan akan lakukan? Marah? Jerkah? “Ya Allah, jangan biarkan aku takut dengan insan yang telah Kau tetapkan untuk aku sebagai pemimpin perjalanan hidupku..”Doa Maya di dalam hati.
            “ What? Kenapa Tok Usu hantar dia balik... nanti siapa nak jaga dia?” Farhan sangat tersentak dengan berita yang Tok Usu sampaikan. Alasan tiada siapa akan jaga dipertahankan jua, sedang orang tua itu boleh membaca dengan sejelasnya, ia adalah sekadar alasan yang dibuat-buat oleh Farhan.
            “ What with your what? Maya is your wife. Siapa yang pilih dia? Farhan kan? Siapa yang kahwin dengan dia? Farhan kan? Siapa yang buat dia mengandung? Farhan kan? Jadi Farhan la yang jaga, bukan Tok Usu. She is your wife, your responsibility! Tok Usu tak pernah ajar cucu Tok Usu lari daripada tanggungjawab!” Tazkirah khas buat cucu tersayang Ahmad Farhan Syah. Farhan hanya diam tidak terkata, dia sedar itu, tapi hatinya terasa resah tiap kali memandang Maya. Bagaimana pula jika perut Maya kian membesar nanti?
            “ But, Tok Usu tau kan kenapa?”
            “ Yes. But that your choice, you choose her to be your wife, but then... why are you treated her like that? Maya tak tahu apa-apa Farhan!”
            “ Farhan tahu Tok Usu, tapi tolong Tok Usu, untuk beberapa bulan...” belum sempat Farhan menghabiskan kata-katanya, Tok Usu sudah mencelah.
            “ No! Kalau nak Maya ada di kampung, Farhan kena duduk kampung sekali. Faham? Buka mata. Buka hati. Lupakan hal lama. Farhan nak anak Farhan rasa apa yang Farhan lalui? Nak?” Tok Usu makin kuat memujuk dengan tegas dan cuba menyedarkan Farhan dengan perbuatannya. Betul, Maya tidak bersalah!
            Sebaik tamat perbualan dengan Tok Usu, Farhan terus sahaja memecut pulang ke rumah. Segala mesyuarat yang perlu dihadiri ditangguhkan waktunya. Serabut! Farhan serabut. Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Memang Maya tak bersalah, langsung tak bersalah. Tapi aku tak mampu nak jadi suami yang baik untuk dia, apatah lagi Papa yang baik untuk bakal anak kami? Hati dan fikiran Farhan menjadi satu, ligat memutarkan segala persoalan. Jawapan? Tiada! Terngiang-ngiang dicuping telinga kata-kata Rusdi teman baiknya sejak Kolej, semalam sewaktu mereka makan malam bersama.

Isteri tu satu amanah, kau yang pilih dia, kau yang mahu dia jadi isteri kau bukannya Layla, jadi kenapa kau jadikan dia mangsa? Maya tak tahu apa-apa, dia dan anak kau dalam rahim Maya, tanggungjawab kau, ingat tu!”

Farhan tahu, sedar akan hal itu, tapi... payah, payah dia nak jelaskan. Serabutnya dia dengan hidupnya tidak pernah habis dan kini bertambah serabut. Serabut yang dibuatnya sendiri!
+++++++

            Maya melangkah masuk ke rumah dengan penuh berhati-hati. Sunyi. Mungkin Mak Jah dan Pak Teh Lan pulang ke kampung mereka, Sumayyah meneka sendiri. Pintu pagar dibuka perlahan. Kereta Farhan tiada, waktu begini memang dia ke pejabat, Maya tersenyum sendiri, dia sangat merindui suaminya. Biarlah suaminya membenci kepulangannya hari ini, yang dia tahu, dia gembira! Berada hampir dengan suaminya biarpun tidak diterima Farhan, adalah perkara paling membahagiakan Maya.
            Belum sempat Maya mengeluarkan kunci rumah daripada beg tangannya, Farhan sudah tiba dengan kereta di depan pagar. Tanpa di suruh-suruh, Maya segera bergegas membukakan pintu pagar.
            “Tak payah, saya balik kejap aje.” Suara Farhan yang dingin menyapa kepulangan Maya tengah hari itu. Maya mengangguk perlahan sambil tak lepas memandang wajah Farhan.
Baru seminggu, kerinduan ini sudah menggunung tinggi. Teringin benar Maya untuk mengucup tangan suami yang dirinduinya itu. Farhan terus sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, tanpa langsung memandang Maya. Benci sangatkah dia? Desir hati Maya. Namun terukir senyuman dibibirnya, tatkala melihat, Farhan mengangkat masuk beg pakaiannya yang diletakkan di hadapan pintu rumah.
Farhan melabuhkan diri ke sofa, beg Maya diletakkan di tepi meja teh. Farhan menyandarkan tubuhnya. Kedua tangannya meraup wajahnya. Maya yang baru melangkah masuk ke dalam rumah, menutup perlahan pintu. Farhan yang sedar kehadiran Maya, membetulkan duduknya dan memandang Maya yang melangkah perlahan menghampirinya. Maya menapak berhati-hati, seram bila pandangan matanya berlaga dengan pandangan Farhan. Bagai lari semua tempo langkah kakinya.
            “Tok Usu yang paksa awak balik, saya tau tu. Awak suka balik ke sini?” Tegas dan mendatar sahaja suara Farhan tika itu. Maya bagai kelu lidah, entah apa yang patut dijawabnya dengan soalan ‘sukar’ Farhan itu. Farhan mendengus kasar apabila Maya masih berdiam diri di hujung sofa itu.
            “I never realise that I’ve been married to a mute?” Farhan menyindir Maya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
            “Saya mintak maaf. Saya...” Maya bersuara perlahan dan dipintas Farhan yang kembali berdiri.
            “Okay. Awak duduk bilik bawah aje, baik untuk awak dan kandungan. Mak Jah balik kampung untuk beberapa hari. Jadi nanti urusan rumah awak kena urus. And now, siap-siap kita keluar.” Farhan pantas memberi arahan. Kunci di dalam kocek di keluarkan.
            “Kita nak ke mana?” Farhan hanya memandang dan berlalu.
            “20 minit should be enough.” Ujar Farhan sebelum pintu kembali tertutup. Maya hanya mengeluh kecil. Bila Farhan akan berlembut dengannya? Maya melangkah menjinjit begnya ke bilik berhadapan ruang tamu itu. Maya tahu, Farhan sengaja mencipta helah dengan membiarkan dia duduk di bilik bawah, Farhan mahu mengelak daripadanya, Maya pasti!
++++++++
            “Barang dapur semua takde, lepas makan ni saya bawak awak pergi pasaraya, and you can buy anything that you needs there.” Farhan bersuara setelah lama suasana antara mereka senyap membisu. Farhan masih tunduk menjamah makanan di depannya tanpa sedikitpun memandang Maya. Maya hanya mengangguk perlahan biarpun sedar Farhan tidak nampak anggukannya itu.
Selepas keluar daripada Restoran Masakan Kampung itu, mereka beriringan ke kereta. Sesekali Maya menelek jam ditangan. Baru pukul 2.00, dia tak kerja ke? Maya bersoal sendiri. Farhan yang sudah jauh ke depan, dikejarnya dengan lari-lari anak. Tanpa kawalan, kakinya terpelecok dan dia jatuh terduduk di kaki lima itu.
            “Aduh!” Maya memegang kakinya yang terasa sengal-sengal dan menyucuk itu. Farhan yang sudah berada ke kereta, berpaling dan kemudian kelihatan berlari laju ke arah Maya yang terduduk di kaki lima. Reaksinya nampak kalut!
            “Are you okay?” Suara Farhan apabila hampir kepada Maya. Maya hanya mengangguk dengan kerutan di dahi, menahan sakit kakinya.
            “Are you okay?!” Soal Farhan lagi. Kini sedikit tegas, tangannya memegang kedua-dua bahu Maya, erat. Maya memandang terus ke wajah Farhan yang penuh dengan riak yang tidak dapat ditafsir oleh Maya yang dalam masa yang sama menahan kesakitan dikakinya.
            “Saya okay, tapi kaki ni sakit sikit.” Jawab Maya tergagap-gagap. Farhan mengangguk laju dan memandang Maya atas bawah.
            “Your...your.. it is okay?” Maya tidak faham apa yang ingin disoal Farhan, dia memandang Farhan dengan wajah penuh tanda soal.
            “Baby... okay? Sakit?” Maya tersenyum kecil dan hanya mengangguk. Dalam hati, beribu kesyukuran Maya panjatkan ke hadrat Ilahi dengan keprihatinan Farhan tika itu kepada kandungannya. Baru hendak cuba bangun, Farhan menarik kasut yang dipakai Maya, agak kasar. Kasut itu ditayang depan mata Maya.
            “You are pregnant, but you wearing this heel?” Wajah Farhan tika itu, menakutkan Maya hingga membuatkan Maya bersuara namun tidak kedengaran, hanya bibirnya yang bergerak-gerak.
            “Bukak kasut awak ni... and wait here.” Farhan mencabut sebelah lagi kasut Maya dan terus berjalan ke arah keretanya. Maya hanya memerhatikan gerak geri Farhan. Nak cakap apa-apa pun tidak berani setelah melihat ketegasan Farhan. Beberapa saat kemudian, kelibat Farhan kelihatan kembali ke arah Maya yang sudahpun bangun berdiri dengan kaki ayam. Farhan menyerahkan seliparnya kepada Maya.
            “But... its too big.” Maya merungut manja. Farhan menyuakan lagi dengan pandangan menikam.
            “Big but safe.” Tegas suara Farhan. Maya mencebik dan mengambil selipar itu dan terus menyarungnya. Besar! Boleh tumpang seorang lagi dibelakang. Farhan menahan tawanya.
            “Ni lagi senang jatuh.” Maya merungut perlahan. Farhan dengar dan hanya menggeleng. Waktu mereka beriringan ke kereta, Farhan menarik Maya dan memeluk pinggangnya, erat.
            “I’m here to watch your step.” Ujar Farhan perlahan namun sampai ditelinga Maya yang sudah tersenyum malu.
            “Kita ke klinik dulu.” Farhan bersuara lagi sebelum mereka masuk ke dalam kereta.
++++++++
            Usai solat zuhur, Farhan berjalan-jalan di sekitar deretan kedai yang berdekatan dalam pasaraya itu sambil menunggu Maya selesai solat. Farhan singgah disebuah kedai pakaian ibu dan anak. Baju untuk ibu hamil itu menarik perhatiannya. Blaus labuh yang kembang dari aras pinggang dengan bunga-bunga kecil menghiasinya. Manik-manik dan labuci tersusun disekitar pinggang menonjolkan lagi kecantikan blaus itu.
            “Blaus ni limited bang, ini yang terakhir. Beli untuk isteri?” Jurujual itu mula memancing Farhan yang leka menelek baju tersebut.
            “Untuk ibu berapa bulan ye ni?”
Maya membetulkan sedikit baju yang pakainya dan melangkah perlahan ke arah Farhan yang sedang duduk dikerusi sambil membelek telefonnya. Sibuk memanjang! Maya bermonolog sendiri.
            “Han, jom.” Maya yang sudah berdiri tegak dihadapan Farhan mula bersuara. Mereka belum lagi ber’shopping’ barang dapur, tentu banyak masa akan dihabiskan nanti.
            “You call me what?” Farhan pandang Maya dengan wajah berkerut.
            “Saya mintak maaf, saya tak panggil lagi.” Maya mula tergaru-garu kepalanya yang berlapik tudung, tersalah panggil ke. Hati Maya sudah kecut seribu.
            “No... no... just beg your pardon. What you call me just now?” Farhan menyoal lagi, masih dengan wajah berkerut namun ada terselit senyuman kecil.
            “Han... erm... dulu masa awal kahwin, saya panggil awak abang tapi awak marah. Awak kata awak bukan abang saya.” Maya menjawab perlahan dengan wajah yang ditundukkan, sangat takut memandang wajah Farhan tika itu. Macam nak kena pancung rasanya!
            “Han? Erm.. okay, keep call me that. Jom.” Maya yang tidak mengerti hanya ternganga. Betul-betul pelik dengan sikap Farhan.
            “Kira boleh la ni, Han?” Farhan ketawa kecil dan mengangguk.
Sekitar jam 6.00 petang mereka berdua sudah siap membeli belah dan pulang ke rumah. Semua barang dapur telah siap disimpan ke tempatnya. Maya mula bergegas ke bilik kerana dia belum lagi solat asar, takut terlepas. Waktu melintasi tangga untuk ke bilik, Farhan yang kebetulan baru turun ke bawah menahannya.
“For you.” Farhan menyerahkan satu beg kertas kepada Maya. Maya mengambilnya tanpa banyak soal. Beg kertas itu di buka dan isi dalamnya diambil.
“Baju... eh.. awalnya Han beli?” Farhan menahan tawanya apabila mendengar Maya memanggilnya Han.
            “Salesgirl tu cakap, baju tu untuk 2 bulan ke atas. Aw... erm.. Maya kan almost 2 month?” Farhan menjawab sambil terus melangkah ke ruang tamu.
            “Maya?” Maya bersuara sendiri, kedengaran pelik bila Farhan membahasakan dirinya dengan panggilan itu. Baju itu disimpan kembali ke dalam beg dan terus masuk ke bilik. Setelah beberapa ketika, pintu dibuka kembali, Maya melaung kepada Farhan yang berada di sofa ruang tamu.
            “Han... terima kasih. I love it!”
+++++++

Maya duduk berteleku lebih lama di sejadah. Tersenyum dia sendirian. Hatinya terasa senang. Sehari ini terlalu banyak yang terjadi. Mulanya waktu pagi, hatinya terasa bagai berdetak dengan irama yang berkeceramuk. Hatinya terlalu takut ingin bertemu muka dengan Farhan setelah dua minggu berpisah. Namun, ketakutan itu hilang bila dia bagai melihat penerimaan Farhan terhadap dirinya. Mungkin tidak seterang cahaya bulan atau matahari, tetapi tetap terang sebaik lampu kalimantan. Tidak sudah-sudah hatinya mengucap syukur. Dalam tempoh 3 bulan menjadi isteri kepada Farhan, hari ini adalah hari pertama mereka menghabiskan masa bersama. Telekung ditanggalkan dan dilipat kembali bersama sejadah, kemudian diletakkan dipenjuru katil. Telefon bimbit di ambil dan nombor Tok Usu di dail.
“Assalamualaikum...” Suara Tok Usu menjengah di talian sana.
“Waalaikummussalam... Tok Usu...”
“Amboi... suara ceria aje. Seronok dapat jumpa suami?” Tok Usu mengusik Maya yang mula panas pipi. Tersengih dia sendirian.
“Sangat seronok Tok. Abang Han, baik sangat hari ini.” Tok Usu mengucap syukur. Dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat cucu kesayangannya dan juga cucu menantunya. Maya gadis yang baik.
“Haa... betul tak keputusan Tok Usu suruh kamu balik?” Maya mengangguk perlahan, terlupa Tok Usu tak nampak.
“Terima kasih Tok. Tok nak tahu, Abang Han beli blaus dekat Maya, cantik sangat. Kebetulan, hari ini hari jadi Maya. Macam tau-tau aje.” Ujar Maya sambil blaus itu di ambil dan diteleknya. Sesekali dipeluknya.
“Alhamdulillah. Baguslah. Tok doakan yang terbaik untuk kamu berdua. Ha, lagi satu, jangan lupa apa yang Tok ajar. Tu penting.” Maya ketawa kecil, masakan dia lupa apa yang telah dipesan dan diajar oleh Tok Usu selama dia disana.
“Maya tak lupa satu pun, dan insyaAllah Maya akan cuba buat apa yang Tok ajar.” Beberapa ketika berbual dengan Tok Usu, pintu bilik diketuk dari luar. Cepat-cepat Maya tamatkan perbualan apabila pintu terkuak dari luar. Kepala Farhan terjengul dari balik pintu.
“What are doing? Boleh keluar kejap?” Farhan bersuara lalu terus menutup pintu bilik Maya. Maya bingkas bangun dari duduk dan membetulkan bajunya. Langkah diatur dengan teratur keluar dari bilik. Farhan sedang duduk di sofa sambil membelek telefon bimbitnya. Apabila Maya sudah menghampiri barulah kepalanya dipanggung sedikit.
“Saya nak keluar makan. Nak keluar sekali or nak pesan apa-apa?” Farhan terus sahaja menyoal Maya.
“Erm... saya ingat nak masak aje. Han nak makan apa-apa? Saya boleh masakan.” Maya menyoal kembali dengan senyuman tak lekang. Namun dia terlupa...
“Masak? Lupa ke? Hah... lupa?” Farhan yang tenang tadi kini berubah riak. Serta merta dia berdiri bertentangan dengan Maya. Maya tersentak dengan deras suara Farhan.
“Aku takkan makan satu pun yang kau masak! Jangan ingat aku baik dengan kau, aku boleh terima semua yang kau buat!” Maya tersentap. Kenapa berubah terlalu mendadak?
“Saya mintak maaf. Saya terlupa. Betul-betul terlupa.” Maya menjawab dengan terketar-ketar. Farhan mendengus kasar. Kedua-dua tangannya menyelak rambutnya kasar. Seketika begitu, Farhan kembali duduk di sofa, dan kemudian bingkas bangun dan keluar daripada rumah. Maya yang masih kaku, hanya terdiam berdiri di situ. Setelah deruman kereta Farhan sudah tidak lagi kedengaran, terus sahaja dia terjelepok jatuh ke atas permaidani itu dan terus teresak-esak menahan tangis.
“Kenapa? Apa salah aku?” Terus sahaja Maya menyoal dirinya dalam tangisan yang kian menjadi-jadi. Perasaannya tidak menentu, terlalu beremosi. Jika dulu boleh sahaja dia tahan dengan jerkahan Farhan, bukan dia tidak biasa. Terlalu biasa!
++++++++
Rusdi melangkah lebih laju setelah kelibat Farhan dilihatnya berada di meja paling hujung restoran makanan laut itu. Sekejap-sekejap Farhan membetulkan duduknya. “Ada yang tak kena la tu”Rusdi meneka dalam hati.
            “So, kesalahan apa pulak kali ni?” Rusdi terus duduk menghadap Farhan tanpa dijemput. Farhan yang sedang tersandar sambil menekup wajahnya dengan kedua belah tangan sedikit tersentak. Farhan membetulkan duduknya. Air tembikai dihadapannya disedut sedikit.
            “Huge mistake!” Farhan mengeluh kuat. Rusdi hanya tersenyum sinis. Bukan dia tidak kenal sahabatnya yang seorang ini. Semua yang dibuatnya tidak difikir baik buruk terlebih dahulu. Pakai hentam saja!
            “Apa kau dah buat?” Farhan memandang Rusdi lama.
            “Aku tengking dia.” Rusdi menggeleng perlahan. Dah tahu dah!
            “Kau ni macam-macam. Apa pulak salah dia kali ni?” Dalam masa yang sama, Rusdi menggamit pelayan restoran untuk memesan minuman.
            “She did nothing. Entah lah... aku tak boleh kawal marah aku.” Mereka terdiam sebentar dengan kehadiran pelayan. Rusdi memesan minumannya. Selepas pelayan itu beredar, Rusdi mulakan bicara antara mereka.
            “Kau memang. Sampai bila nak baran ni? Maya tak tau apa-apa, ingat tu” Farhan meraup wajahnya.
            “Aku tau. Entahlah. Macam mana aku nak terangkan? Susah untuk aku bukak cerita yang 15 tahun cuba aku padamkan.” Rusdi terangguk-angguk tanda mengerti.
            “Selagi kau tak cerita, selagi itu Maya jadik mangsa kau. Betul tak?”
            “But how?”
            “Terus terang adalah jalan terbaik.”
            “Payah...”
            “Kau tak cuba dah kata payah.”
            “Memang payah... Penat aku nak pikir dah!” Rusdi ketawa sinis.
            “Kenapa kau masih fikir hal tu? Dah lama sangat. Maya bukan macam tu. Nampak pun tahu.” Rusdi menyoal panjang lebar.
            “Memang dah lama, sangat lama. Maya memang baik. Tapi aku masih belum percaya. Macam dulu, babah terlalu percaya, babah kata dia baik. But, apa yang jadi?” Rusdi mengeluh kecil
            “Babah dapat maafkan dia sebelum babah pergi. Dia pun dah takde Farhan. Sampai bila kau nak berdendam?” Rusdi cuba memberi nasihat. Moga sahabatnya itu menerima dan kembali berfikir secara rasional.
            “Sampai bila-bila!”
            “Ha... tengok tu... sebab tu lah. Sampai semua jadik mangsa dendam amarah kau, termasuk isteri PILIHAN kau sendiri, Maya!” Rusdi sengaja menekan ayat pilihan itu, sengaja untuk menyedarkan kesilapan Farhan.
            “Kau ni... aku tengah kusut tambah kusut.” Farhan merungut.
            “Kusut dengan salah sendiri. Bukan salah aku, langsung takde salah aku.” Rusdi menyindir lagi.
            “Aku tau... dah la.. kau ni...” Farhan benar-benar kusut. Sedar salahnya pada Maya, namun untuk membuka pekung cerita lama, tidak sama sekali. Harus bagaimana dia menguruskan kehidupannya, dan bagaimana untuk kembali berhadapan dengan Maya?
            “Maya, masalah baru kau Farhan. But Maya takkan menimbulkan masalah, its you, yourself.”
            “What do you mean?” Farhan menjungkitkan keningnya. Ada-ada sahaja kalau bercakap dengan Rusdi.
            “Maya kiranya kau akan boleh handle, dia baik, taat orangnya aku tengok. Yang aku risau, kau punya awek, Layla and your beloved mother!” Rusdi ketawa kecil.
            “Ha... tu kau jangan cakap. Telefon ni 24 jam naik nama perempuan gedik tu. Datin Rose makan lalang kut masa mengandungkan dia, miang semacam!” Mereka berkongsi ketawa. Di kolej siapa tak kenal Layla Dato’ Jusoh. Lenggang dia dari belakang pun orang boleh kenal siapa, suara? Jangan cakap, kepit kalah ‘gegurl’!
            “Ibu... erm... sayang sangat dekat Layla dan benci gila dengan Maya.”
            “Itu yang kau perlu uruskan. Maya, dalam masa yang sama. Faham maksud aku?” Farhan hanya mengangguk kecil. Faham, dia tahu itu. Sejak berkahwin dengan Maya lagi sudah dia terfikirkan hal tersebut.
            “Pecah kepala weh nak fikir...”

+++++++++

Sudah hampir dua bulan, Maya kembali duduk serumah bersama Farhan. Namun sikap Farhan masih sama, kadang baik kadang angin. Kandungan Maya sudah masuk empat bulan. Perubahan sudah kelihatan pada tubuh Maya. Belakangan ini Maya sangat kuat makan. Nafsu makannya bertambah. Namun Maya bersyukur, dia tidak mengalami alahan yang teruk, kalau tidak siapa mahu menjaganya? Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Mahu harapkan Farhan, tentu tidak. Sebulan ini Farhan kerap keluar negeri atas urusan perniagaannya. Mak Jah pula sudah berhenti kerja, Maya tiada pilihan, Mak Jah sudah lama berkhidmat untuk keluarga Farhan, sudah tiba masa untuk Mak Jah berehat.
“Dah makan?” soal Farhan setelah pulang dari kerja lewat malam itu. Tali leher yang sudah ditanggalkan diletakkan  ke atas meja diruang tamu itu. Dilabuhkan sebentar dirinya ke atas sofa. Matanya dipejam rapat.
“Alhamdulillah. Baru aje tadi. Han nak makan?” Maya menjawab perlahan, sambil mengambil tempat bertentangan dengan Farhan.
“Saya dah makan sebelum balik.” Maya mengangguk perlahan.
“Esok saya ada check-up. Boleh tolong hantarkan?” Farhan kembali membuka matanya. Tengkuk yang terasa lenguh diurutnya perlahan.
“Pukul berapa ye?”
“Dalam pukul 2, tak boleh tak ape... Maya pergi sendiri.” Maya bersuara perlahan, hatinya sangat berharap Farhan dapat menemaninya kali ini. Perut yang sedikit membesar itu diurut perlahan.
“Saya tak berani nak janji, esok banyak urusan dekat pejabat. Esok pagi saya confirmkan dengan Maya ye, boleh?” Farhan memandang Maya yang berada dihadapannya. Maya cuba tersenyum sebaiknya. Hatinya tahu, pastinya akan kecewa lagi.
“Okay, tapi Han confirmkan awal ye. Maya nak kena call teksi.” Farhan berkerut dahi mendengar kata-kata Maya.
“Why... why you need to call a taxi? Kan ada kereta?” Farhan memandang Maya tak berkelip, serius!
“Maya tak berapa kuat sangat kebelakangan ni. Asyik sakit-sakit badan. Takut jugak nak drive. Lagipun dah lama tak drive, sebelum ni kan ada Pak Teh Lan.” Maya cuba menjelaskan dengan baik. Selepas seminggu Mak Jah berhenti, Pak Teh Lan pulak berhenti. Alasan? Pak Teh Lan tak cakap apa, katanya sudah tiba masa untuk berehat, sama macam Mak Jah.
“Sakit? Kenapa tak bagitahu saya?” Farhan berubah nada, ada kerisauan di situ.
“Tak sakit teruk pun. Biasa-biasa aje, doktor kata biasa sakit-sakit ni sebab baby sedang membesar.” Farhan yang mendengar penjelasan Maya cuma mengeluh lemah.
“I’m sorry. Terlalu sibuk sampai tak ambil tahu tentang Maya and baby.” Maya hanya tersenyum.
“Tak apa, Maya faham, dan baby pun faham papa dia busy.” Ujar Maya sambil tersenyum dan mengurut lembut perutnya. Farhan terkedu seketika. Sepanjang empat bulan Maya hamil, dia tidak pernah lagi dengar perkataan itu. Papa? Layakkah aku. Farhan bingkas bangun dan terus ingin melangkah ke atas. Maya kaget.
“Han nak kemana?” Maya turut berdiri.
“Naik atas, mandi solat.”
“Tak nak minum apa-apa? Maya boleh buatkan.” Maya memujuk, dia ingin lebih lama lagi berbual dengan Farhan.
“I’m tired Maya, saya nak naik berehat.” Farhan menjawab perlahan dan terus sahaja mengangkat barangnya dan terus naik ke biliknya. Maya memandangnya sepi. Kecewa, mungkin!
“Erm...” Maya mengeluh, sekali lagi dia melabuhkan duduk ke sofa. Rindu dan sunyi. Dua rasa itu bersarang dihati. Sejauh mana Farhan menerimanya? Bila boleh merasa hangat tangan Farhan menyentuh perut yang terisi nyawa milik bersama ini. Teringin. Maya sangat teringin merasa seperti ibu lain. Berkongsi penat, sakit dan bahagia saat hamil bersama suami tercinta. Bilakah dia akan merasakan semua itu.
“Maya... Maya....” Farhan yang baru turun ke tingkat bawah terperasaan kelibat Maya yang masih di sofa. Apabila sampai ke tepi Maya, terdengar dengkuran halus daripada Maya. Hairan kenapa Maya tidur di sofa, lalu terus sahaja dia mengejutkan Maya.
“Maya, kenapa tidur kat sini...?” Farhan cuba mengejut Maya dari lena. Maya kelihatan tergerak-gerak sedikit. Namun gerakan yang dibuat menyebabkan kesakitan disekitar pinggangnya. Maya mengaduh kecil.
“Eh... kenapa ni? Maya okay?” Farhan tunduk melutut separas duduk Maya. Bahu Maya dipegang lembut. Sekali sekala, wajah Maya diusap perlahan.
“Sakit sikit... aduhhh...” Maya mengetap bibirnya menahan sakit.
“Sikit apa ni, dah macam sakit sangat aje.” Farhan bersuara sedikit tegas bercampur risau.
“No... selalu macam ni... kejap lagi okay la...” Farhan mengeluh perlahan. Sungguh dia tidak tahu apa-apa.
“Kenapa tidur sini?” Farhan bersuara lagi apabila Maya kelihatan semakin selesa.
“Maya tertidur. Han tak tidur lagi?” Farhan yang sedari tadi bertinggung dihadapan Maya kini bangun berdiri.
“Nak turun minum air. Maya masuk bilik, tidur ye.” Farhan seolah memberitahu namun seperti memberi arahan. Biasalah CEO. Waktu Farhan ingin melangkah ke dapur, lengannya Maya capai, lembut menggenggam. Farhan kalih memandang Maya.
“Malam ni, Maya nak mintak Han teman Maya tidur boleh?” Farhan berkerut dahi. Maya cuba mengatur kata.
“Malam ni aje,boleh?” Farhan menggaru kepala yang tidak gatal dengan tangan kirinya, tangan kanan masih setia dipegang Maya.
“Okay, but saya pergi minum dulu ye.” Maya tersenyum gembira. Maya mahu meminta sesuatu daripada Farhan, dan langkah pertama kepada permintaannya itu sudah tercapai.
Sepanjang perjalanan ke dapur, Farhan masih terfikir-fikir, mudah pula dia menuruti permintaan isterinya itu. Sebelum ini payah, mesti ditolak. Ah! Mungkin kasihan. Yelah, melihat dia menanggung sakit sendirian akibat perbuatan dia. Bukan perbuatan sengaja, tapi tanggungjawab. Erk! Farhan tergeleng-geleng sendiri.
+++++++++++++
            “Maya, where were you?!” Maya ditalian masih tergagap-gagap setelah mendengar jerkahan demi jerkahan Farhan. Salah apa lagi?
            “I’m asking you again Maya, where were you?!” Maya sudah bermain air mata, dengan esakan dia cuba menjawab.
            “Maya dekat Mall... beli barang.”
            “Pukul berapa sekarang? Barang apa lagi tak cukup? Kenapa tak cakap dekat saya? I want you to come back home right now, immediately!” Soalan per soalan dan arahan. Maya terkaku dan hanya mengangguk, biarpun anggukan itu tidak dilihat oleh Farhan. Setelah talian dimatikan, Maya terus sahaja bergegas keluar dari Mall dan menahan teksi. Hatinya berdetak hebat. Takut untuk berhadapan dengan Farhan.
            “She’s just going to Mall Ibu, apa nak besar-besar hal nih.” Datin Mazla memandang anak tirinya itu dengan jelingan.
            “Farhan kahwin dengan dia ibu tak pernah setuju tau. Kahwin aje dengan budak tu, cakap ibu langsung taknak dengar ye? Jadik Farhan nak kata ibu fitnah dia?” Farhan mengeluh berat.
            “Layla tu cemburu Ibu. Layla tak dapat terima Farhan kahwin dengan Maya bukan dia.” Datin Mazla merengus kuat.
            “Layla tunjuk gambar la, bukan sekadar cakap. Masih tak percaya walaupun dah tengok?” Datin Mazla menayang-nayang telefonnya yang terpampang gambar Maya dan seorang lelaki di Mall.
            “Her friend, maybe.” Datin Mazla tersenyum sinis.
            “Her friend but Farhan tak kenal? Pelik!”

Maya terkocoh-kocoh keluar dari perut teksi itu. Perut yang makin membesar itu menyukarkan pergerakannya. Sudah enam bulan usia kandungan Maya. Beg-beg barangannya diangkat dengan berhati-hati. Laju sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah. Di luar sedia kelihatan kereta Ibu dan Farhan. Hati Maya bertambah irama rancaknya.
            “Assalamualaikum.” Maya memberi salam perlahan. Kelibat Ibu dan Farhan kelihatan di ruang tamu. Maya mengatur langkah berhati-hati ke arah mereka berdua. Dari pintu utama, Datin Mazla sudah merenung tajam tingkah serta langkah Maya. Seperti harimau lapar!
            “Dah balik isteri kesayangan kamu Farhan. Tanyalah, nah!” Datin Mazla menyerah telefonnya kepada Farhan. Farhan mengeluh perlahan, dia meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Perlahan-lahan telefon itu dicapai dan dia menghampiri Maya yang masih tegak berdiri di penjuru sofa itu.
            “Ibu ada gambar awak dengan lelaki dekat Mall tadi. Siapa dia?” Maya terpana, lelaki? Siapa? Telefon itu ditarik untuk melihat gambar yang dikatakan. Langsung dia tidak kenal siapa lelaki itu.
            “Maya tak kenal siapa.” Maya menjawab perlahan. Farhan memandangnya dengan pandangan yang aneh.
            “Dalam gambar ni awak tengah berbual dengan dia Maya. Macam mana tak kenal pulak?” suara Farhan ada nada marah di situ.
            “Serius. Maya tak kenal. Percayalah.” Datin Mazla sudah ketawa sinis. Beg tangannya di ambil dan telefon bimbitnya dirampas kembali dari tangan Maya.
            “Ibu dah cakap, tapi kau tak nak dengar. Pandai-pandai kaulah Farhan.” Datin Mazla sengaja menghangatkan hati Farhan yang tika itu sudah naik darjahnya. Sekejap sahaja, Datin Mazla sudah beredar dari situ. Kini hanya tinggal Maya dan Farhan serta kedinginan antara mereka.
            “Han... percayalah, Maya tak kenal lelaki tu.” Farhan menghenyak tubuhnya ke atas sofa.
            “Just go into your room Maya.” Suara Farhan tegas. Maya terus sahaja melangkah ke arah Farhan. Duduk melutut di tepi Farhan.
            “Maya mintak maaf. Keluar tak beritahu. Tapi betul, lelaki dalam gambar tu Maya tak kenal.”
            “Then why are talking to him?” Soal Farhan namun dalam nada lebih lembut.
            “Dia tanya Maya kat mana kedai buku. Maya tunjukkan. Itu aje. Memang Maya tak kenal dia Han.” Farhan mengeluh lemah. Perlahan sahaja tangan Maya yang di atas sisi sofa itu, digenggam erat.
            “Maya, Maya... kenapa dari tadi tak jelaskan? Buat saya risau dan buat Ibu pikir bukan-bukan.” Farhan menyoal lagi, namun kini dengan riak yang berbeza, lega?
            “Betul apa jawapan Maya, Maya memang tak kenal.” Farhan ketawa kecil. Maya memang lurus!
            “Ye lah, Maya ke mana? Sampai lewat macam ni?” Farhan menyoal Maya, ditarik Maya supaya duduk di sisinya di atas sofa itu.
            “Lupa?” Farhan mengerut dahi dengan soalan Maya. Lupa? Aku lupa apa? Farhan menyoal dirinya lagi.
            “Semua soal Maya cepat aje lupa... Maya masuk bilik dulu.” Maya buat-buat merajuk. Tok Usu kata kena belajar merajuk, jangan mengalah aje. Dah empat bulan duduk bersama, Farhan masih dingin dan kadangkala masih macam ‘singa’!
            “Maya...” Farhan memanggil Maya yang tiba-tiba merajuk. Tangan yang digenggamnya direntap perlahan oleh Maya. Maya terus sahaja masuk ke dalam bilik langsung tidak mempedulikan dia yang memanggil.
            “Aduh... aku lupa apa pulak? Macam mana nak pujuk ni...?” Farhan merungut sendiri.
Maya menarik selimut menutup badannya. Terasa letih kakinya, sudah enam bulan usia kandungan. Terasa makin berat mahu melangkah. Kebas-kebas kaki terasa diseluruh kakinya. Maya bangun kembali, menyandar tubuhnya ke kepala katil. Minyak panas di meja tepi itu di ambil. Semakin sukar, dulu waktu perut tidak begitu besar, masih boleh dan mudah untuk dia mengurut kakinya sendiri. Ni la padahnya merajuk tak kena masa. Maya mengutuk diri, jauh di sudut hati, berharap Farhan akan datang dan menemani Maya tidur seperti setiap malam sejak empat bulan lalu.
“Merajuk lagi, kan dah susah diri.” Suara itu menyentakkan Maya yang sedang berusaha untuk mengurut kakinya. Maya hanya mencebik, dia membetulkan duduknya. Farhan melangkah menghampiri katil dan duduk betu-betul dihujung kaki Maya. Maya mengalih muka ke tempat lain. Merajuk kan.
“Mintak-mintak anak dalam perut ni tak ikut muka ibu dia waktu merajuk, buruk!” Farhan sekadar mengusik Maya.
“Maya memang buruk. Tak kisah.” Farhan menggigit lidah sendiri. Silap lawak! Perlahan minyak panas ditangan Maya di ambil. Cepat-cepat Maya menarik kakinya, tidak mahu diurut oleh Farhan. Farhan ketawa kecil. Bersungguh Maya merajuk dengannya.
“Alah... saya gurau aje Maya.” Suara Farhan sambil kembali menarik kaki Maya untuk diurut. Maya mengeluh lemah. Dia betul-betul tak pandai merajuk, tambah-tambah dengan Farhan. Maya asyik memandang Farhan yang sedang mengurut kakinya. Sejak kandungannya berusia 5 bulan, dan sejak kakinya mengalami kekejangan, Farhan yang selalu menjadi tukang urutnya.
“Malam ni, saya teman awak tidur lagi ye. Nak sambung surah semalam, mengantuk semalam, tak habis saya baca.” Maya tersenyum dan mengangguk perlahan. Permintaannya dahulu diterima baik oleh Farhan. Permintaan Maya yang mahu suaminya menemani tidur malamnya dengan alunan al-quran. Elok untuk bayi yang dikandungnya.
“Betul ke baca surah Yusoff anak yang keluar nanti segak?” Farhan tersenyum kecil dengan soalan Maya.
“Papa dia hensem dah, so memang akan segak, tampan dan macho lah.” Maya mencebik.
“Perasaan pulak.” Farhan ketawa lagi.
“Bagus amalkan membaca al-quran. Bukan surah Yusoff aje, semua surah. Mendidik anak kena bermula dari sebelum dilahirkan. Sebaiknya dari diri kita sendiri, ingat tu.” Panjang lebar Farhan menasihati isterinya. Maya yang mendengar hanya tersenyum. Suka, suka bila bersama suaminya, berdua begitu.
“Ingat. InsyaAllah... tapi...” Maya berhenti di situ, menimbulkan tanda tanya kepada Farhan.
“Tapi?” Farhan menyoal lagi.
“Bila nak hilang dingin Han pada Maya?” Maya berani mempersoalkan soalan ‘panas’ itu. Entah mengapa, hatinya terasa berani. Farhan yang sedang mengurut kaki Maya, terhenti sebentar, sesaat dua dan kemudian meneruskan lagi. Maya mengecilkan matanya memandang Farhan.
“Bila Han...?” Maya menyoal lagi, kali ini, dia menarik tangan Farhan yang sedang mengurut kakinya.
“Bila saya dingin? Saya baik aje lah.” Farhan menjelir lidah kepada Maya. Bergurau.
“Saya serius la. Main-main. Nak tidurlah.” Ujar Maya, terus sahaja dibetulkan bantal dan berbaring. Dibiarkan Farhan memandangnya. Farhan ketawa kecil. Maya makin manja, makin berani dan makin sensitif. Itu yang dia sedar. Maya berbeza dengan Maya yang mula dinikahi dulu. Dulu Maya diam dan lebih suka memendam rasa.
“Tidurlah, saya ambik wudhuk kejap.” Farhan terus sahaja melangkah ke bilik air dalam bilik itu. Maya yang tadi sudah memejam mata kini kembali membuka mata dan melihat langkah Farhan dengan keluhan kecil.
Alunan bacaan ayat-ayat suci al-quran itu, menenangkan Maya dan juga bayi dalam kandungannya. Suara Farhan mendayu-dayu tika mengalunkannya. Jernih wajahnya kelihatan dengan songkok yang dipakai. Maya terus sahaja terlena dengan mudah. Farhan yang selesai membaca Al-quran meletakkan dengan baik Al-quran itu di meja sisi katil. Perut Maya yang sudah jelas kelihatan membesar, diusap perlahan-lahan sambil berselawat. Diciumnya perlahan dan dikucup ubun-ubun Maya dengan penuh kasih sayang.
“Berikan abang masa. Abang cuba melupakan semuanya.” Bisik Farhan perlahan ditelinga Maya, dan kemudian membaringkan tubuhnya disebelah Maya. Tangannya erat memeluk perut Maya, seolah memeluk Maya dan bayi mereka bersama.
“Maya tunggu.” Maya berbisik kembali dan turut membalas pelukan itu. Farhan terkejut dan terus ketawa kecil. Maya makin nakal!
“Apa yang saya lupa?” Farhan menyoal Maya sekali lagi.
“Hari ni kan saya ada check up. Han kata nak teman, tapi tak muncul-muncul. Maya merajuk, tu yang keluar sendiri. Last-last kena marah. Tu lah kan, berdosa keluar tanpa izin.” Maya berkata-kata seolah tiada perkata besar yang perlu dibangkitkan.
“Astagfirullah. Han lupa lagi. Maafkan saya Maya. Saya abaikan tanggungjawab saya.” Maya menggeleng laju.
“Tiada apa yang perlu dimaafkan. Salah Maya juga tak beritahu awal, macam Maya tak tahu Han busy. Hal firma lagi, hal syarikat babah lagi.” Farhan tersenyum dengan jawapan Maya. Selalu mengalah!
“Jom kerja dengan Han.” Farhan cuba menawarkan peluang buat Maya. Maya menggeleng lagi.
“Maya taknak kerja, Maya nak capai cita-cita yang belum tercapai.”
“Cita-cita?”
“Jadi suri rumah berjaya.”
“Belum tercapai?”
“Yelah, tak tercapai lagi, entah bila.”
“Kenapa? Bukan dah jadik suri rumah ke?”
“memang suri rumah tapi tak berjaya.”
“Kenapa tak berjaya pulak?”
“Yelah, macam mana nak berjaya, suami asyik makan kat luar aje.” Farhan terkedu sendiri. Kena sebijik atas muka. Senyap tiada soalan atau jawapan. Terus sahaja dia berdengkur. Maya ketawa dalam hati. Padan muka! Kau senyap kau singa, aku senyap aku harimau betina!
++++++++++
Maya masih duduk berteleku di atas tikar sembahyang. Panjang doanya seperti selalu. Bermohon agar dibukakan pintu hati suaminya untuk menerima dia sepenuhnya. Bermohon agar hubungan mereka makin erat. Telekung ditanggalkan, dan disidai kemas. Rambutnya yang sudah panjang mencecah pinggang disikat kemas dan dikepitkan bersama. Langkah di atur keluar bilik, jam sudah menunjukkan pukul 7, Farhan mesti sedang bersiap-siap ke tempat kerja.
            “Mak buyung bangun lambat ke?” Terkejut Maya dengan suara yang tiba-tiba itu. Farhan?
            “Han tak siap lagi? Nak menung dalam kereta ke kejap lagi?” waktu begini kalau belum keluar, alamatnya sesak la jalan raya. Semua berkejar-kejar cari rezeki.
            “Nope, hari ini saya off... cancel semua meeting, dan... hari ini saya nak awak masak.” Maya terkedu. Masak? Biar betul?
            “Seriously? No kidding?” Maya menyoal bagi mendapatkan kepastian. Farhan yang tika itu bersenang di sofa hanya mengangguk laju.
            “Tapi... kita kena pergi pasar. Beli semua barang.” Maya berkerut.
            “Banyak dah kut barang dalam peti. Nak beli apa lagi?” farhan sekadar mengangkat kening.
            “Saya dah cuci peti sejuk. Kemas dapur. So kena beli barang semula lah.”
            “Maksud Han, Han buang semua tu?” Farhan hanya mengangkat bahu.
            “Cepat siap, kita pergi sekarang. Pasar awal-awal ni banyak barang lagi.” Maya hanya menurut kata, namun kepalanya masih berfikir. Kenapa mesti buang? Pelik!
            “Han nak Maya masak apa hari ni?” Maya yang siap memakai tali pinggang keledar menyoal Farhan yang mula memandu.
            “Rasanya lama tak makan, ikan keli masak tempoyak.” Maya tergaru-garu dagu yang tak gatal. Tempoyak? Mana mau cari?
            “Kalau ada jual tempoyak, boleh lah, sekarang musim ke?” Farhan menjungkit bahu.
            “Lagi?” Maya menyoal lagi. Farhan mengetuk-ngetuk stereng kereta dengan hujung jarinya sambil berfikir.
            “Kalau takde tempoyak, Maya buat asam pedas ikan pari. Sedap jugak tu.” Maya hanya mengangguk. Seronok, hari ini pertama kali dia akan memasak untuk Farhan.
            “Selalu dekat luar makan apa?” Farhan memandang Maya sekilas.
            “Ikut mana yang sedap.” Maya menjuih bibir. Tak menepati soalan.
            “Yang sedap tu apa?” Farhan tersenyum, tahu Maya mahu jawapan yang spesifik.
            “Mana yang terasa nak makan, sambal ikan ke , gulai ke, kalau tak tahu ayam goreng aje.”
            “Tu je, baik masak kat rumah.” Maya merungut.
            “Saya tak makan kan...” Farhan tidak suka hal itu dibangkitkan.
            “Kenapa?” Maya cuba mengorek rahsia.
            “Secret la... tak boleh cerita lagi.”
            “Tak boleh cerita lagi, kira nanti akan cerita?” Maya teruja.
            “Mungkin.”
            “Ala...” farhan ketawa melihat reaksi Maya yang kecewa.

...........................
            “Kenapa Maya buat saya macam ni Maya?” Maya yang sudah berendam air mata tidak mampu berkata apa. Bekas ditangan Farhan itu sungguh bukan miliknya. Mana mungkin dia melakukan semua itu, syirik! Khurafat!
            “Demi Allah, Maya takkan pernah sanggup buat suami Maya macam tu. Percayalah Han, bukan Maya punya.” Farhan menekup wajahnya. Bekas itu dicampak ke atas lantai.
            “Habis tu siapa punya? Kita berdua aje di rumah ni Maya!” Suara Farhan meninggi.
            “Astagfirullah... Astagfirullah...” Maya menenang diri sendiri. Terkejut dia sebaik pulang daripada rumah jiran kerana ingin menjemput kenduri doa selamat malam esok, melihat Farhan yang sudah berdiri di depan pintu dengan bekas berbalut kain kuning ditangannya.
            “Jelaskan Maya. Jelaskan!” Farhan menjerkah lagi. Maya tersentak.
            “Macam mana nak jelaskan, Maya tak tahu. Bukan Maya punya..” Ujar Maya, cuba di raih tangan suaminya, namun ditepis.
            “Saya nak awak keluar dari rumah ni sekarang jugak!” Maya terpana. Tidak!
            “Jangan halau saya, demi Allah, bukan Maya yang punya barang tu.” Farhan menepis lagi tangan Maya yang mahu menyentuhnya.
            “Jangan guna nama Allah, awak buat benda tu tak fikirkan Allah pulak!”
            “Istighfar Han...” Maya bersuara lemah. Farhan terus sahaja bangun dan naik ke tingkat atas. Namun sempat lagi dia memberi arahan tanpa belas kasihan.
            “Just go Maya... saya taknak tengok awak lagi.” Maya terjelepok ke lantai. Demi Allah, dia tidak pernah guna-gunakan suaminya. Untuk apa? Allah, bantulah hamba... Maya berdoa dalam tangisnya.
...................
            “I love her Rusdi, I love her so much, love her and our baby with my whole heart. But...” Farhan teresak menangis di tepi kereta. Rusdi memeluk bahunya memberi semangat.
            “I know. Sebab tu aku suruh kau pikir secara logik akal. Pikir betul-betul!” Rusdi cuba menenangkan Farhan.
            “There’s nothing to think anymore. She just same like mama! Evil!” Farhan menjerit.
            “Hey, jaga bahasa. Seburuk mana Mama tu, dia tetap mama kau, kau keluar dari rahim dia jugak tau.” Rusdi menegur.
            “Sebab tu aku lagi menyesal!” Rusdi menggeleng kepala. Bila hati terikut kata syaitan. Semua jadi salah dipandangan mata.
            “Okay, sekarang cerita dekat aku, mana kau jumpa bekas tu?” Farhan mengesat air mata dengan belakang tangannya.
            “Ibu yang bagi, ibu datang untuk majlis doa selamat malam esok, datang untuk tolong mana patut. Bila aku turun bawah, ibu dah ada. Ibu bagi aku, dia kata dia jumpa bekas tu dekat bawah kabinet dapur.” Rusdi mengangguk faham.
            “Masa kau tanya Maya dia kata apa? She speechless or...”
            “She denied it. Macam mama!” Farhan marah benar. Tangannya dikepal kemas.
            “Ibu mana?”
            “Ibu dah balik sebelum Maya balik.” Rusdi mengerut dahi.
            “Maya pergi mana?”
            “Pergi jemput jiran-jiran... kenapa tanya banyak nih!?” Farhan bengang, Rusdi soal terlalu banyak.
            “Kau percaya ibu atau kau percaya Maya?” Farhan memegang kepalanya.
            “I don’t know!”
            “Kau patut siasat dulu Farhan. Aku percayakan Maya. Kalau dia nak buat kat kau, dah lama dah... bukan takat nasi kangkang, benda kotor aje boleh control suami, macam-macam lagi tau.” Rusdi cuba membuka mata Farhan.
            “Then kau nak kata ibu? Macam tu?”
            “Tak kata. Tak tuduh. Cuma kena siasat. Ibu pun tak suka Maya kan?” farhan mengeluh berat.
            “Sekarang nak buat apa?” Farhan menyoal bodoh.
            “Balik rumah, dan siasat.” Rusdi memberi idea.
            “Maya mesti dah takde.” Rusdi terkejut dengan jawapan Farhan.
            “Why?”
            “I chased her out.” Rusdi mengeluh. Bodoh! Kutuknya dalam hati.
...................

            “Mak Usu jangan nak tuduh saya pulak ye. Budak Maya tu yang punya, kenapa saya pulak?” Datin Mazla merengus kuat. Layla disisinya hanya menyokong.
            “Kau jangan ingat aku tak tau Maz. Jangan fikir aku bodoh. Selama ni aku diam, sebab aku takde bukti. Tapi kali ni kau nak musnahkan hidup cucu menantu aku, aku tak boleh nak diam diri.” Tok Usu bersuara tegas. Suasana sangat tegang tika itu.
            “So, Mak Usu nak kata Maz la punya kerja gitu?”
            “Memang kau!” Datin Mazla membeliakkan matanya. Layla yang di sisinya hanya terkedu.
            “Tok, bukan auntie lah, Maya punya kerja.” Layla cuba menyibuk. Tok Usu hanya menjeling, terus dia terdiam sendiri.
            “Sudah la Maz. Dulu kau musnahkan hidup Sabariah sampai anak dia sendiri bencikan dia, sekarang kau nak musnahkan hidup Sumayyah pulak?”
            “Apa maksud mak usu?”
            “Kau bukan musnahkan hidup mereka aje tapi hidup Farhan juga. Sampai hati kau buat Farhan hidup dalam berdendam dan benci ibu dia sendiri?” Datin Mazla menekup telinganya.
            “Kenapa saya? Bukan saya!” Tok Usu terus sahaja menghampiri datin Mazla yang sudah duduk di sofa.
            “Sebelum Sabariah menghembuskan nafasnya, aku ada dekat dia, dia sempat cerita semuanya dekat aku. Jadi, kau jangan nak sembunyi apa-apa lagi!” Datin Mazla terdiam. Bagaimana ibu mertuanya boleh tahu semua?
            “Sekarang aku nak kau jelaskan dekat Farhan siapa kau sebenarnya, dan siapa mama dia sebenarnya!” Tegas suara Tok Usu. Datin Mazla menggeleng laju. Tidak mungkin aku akan bongkar rahsia berbelas tahun aku simpan!
            “Jelaskan apa Tok Usu, Ibu?” Farhan yang baru tiba bersama Rusdi, sudah mendengar perbualan Ibunya dan Tok Usu. Pelik dengan persoalan-persoalan yang ada, lalu dia menyampuk.
            “Ibu?”


“Takde apa Farhan, Tok Usu ni mengarut apa entah.” Datin Mazla cuba mengelak diri. Tok Usu mencerlung marah.
“Jah dengan Lan nampak apa yang kamu buat petang tadi Maz. Kau dah tak boleh lari. Baik kau jelaskan semua dekat Farhan.”
“Apa Mak Usu ni? Saya kata bukan saya, kenapa nak paksa-paksa?!” Datin Mazla meninggi suara.
“Kamu tak nak jelaskan biar aku yang jelaskan.” Dati Mazla terdiam. Mukanya pucat.
“Tok Usu, apa semua ni? Farhan tak faham.” Farhan tidak tahan lagi berteka-teki dengan pertelingkahan mereka berdua.
“Farhan, kamu ingat lagi pesanan akhir babah kamu?” Farhan hanya mengangguk. Babah sempat berpesan supaya dia memaafkan Mama.
“Kamu tahu kenapa dia pesan macam tu?” Farhan hanya menggeleng.
“Sebab ibu kamu. Semua yang berlaku selama ni disebabkan ibu kamu ni. Datin Mazla yang gilakan harta Dato’ Harun. Sebelum ibu kamu dapat kahwin dengan babah dia dah mulakan rancangan dia.” Dati Mazla menekup telinganya dan menggeleng-gelengkan kepala.
“Mak Usu jangan buat cerita!” Datin Mazla menjerit. Semua yang ada terkejut.
“Aku tak buat cerita. Semua yang aku akan cerita ni betul belaka. Kau dah tak boleh nak berdalih!”
“Apa ni ibu?” Datin Mazla mula menangis, meraung. Farhan memegang kedua bahu Datin Mazla dan menggoncangkannya kuat.
“Ibu mintak maaf Farhan... Ibu buat semua ni sebab bencikan mama kamu, dia perampas! Dia rampas Babah dari ibu!”
“Sabariah pilihan Harun. Tak ada isu rampas!” Tok Usu cuba menegakkan kebenaran.
“Mak Usu tak tahu apa-apa, Harun dengan saya dah lama bercinta, tapi Sabariah yang datang menggoda!”
“Aku tahu lah, aku ni Mak sedara Sabariah dan kamu tu pun anak sedara aku. Kamu dengan Sabariah sepupu, kamu lupa tu?!”
“Saya tak lupa, sebab tu saya benci dia!”
“Benci sampai kamu fitnah dia?”
“Saya tekad untuk buat apa sahaja untuk dapatkan Harun!”
“Kau bukan cintakan Harun, tapi harta dia!”
“Ye. Memang! Puas hati Mak Usu? Semua orang sayangkan Sabariah. Tapi saya? Semua yang saya buat salah, sampai Harun yang sepatutnya berkahwin dengan saya tapi akhirnya memilih Sabariah. Sejak hari tu saya tekad buat apa saja asalkan Harun jadi milik saya!” Datin Mazla bersuara kuat. Farhan masih tidak mengerti.
“Sampai kau bodohkan Harun?”
“Ye! Memang saya bodohkan dia, supaya saya boleh dapatkan dia!”
“Tapi kau fitnah Sabariah!”
“Saya terpaksa!” Datin Mazla menangis teresak-esak.
“Saya tak faham Tok Usu...” Farhan mencelah. Datin Mazla menghampiri Farhan dan terus duduk memeluk kaki Farhan.
“Ibu mintak maaf Farhan...”

.......................

            Maya masih termenung di jendela. Petang itu, sebaik dihalau oleh Farhan. Terus sahaja dia menelefon Tok Usu yang kebetulan dalam perjalanan. Baru hendak keluar dari rumah, Mak Jah dan Pak Teh Lan sudah berada di laman rumah. Tok Usu menyuruh dia duduk dirumahnya, lebih baik daripada pulang ke kampung. Takut nanti Mak dan Ayah bersoal macam-macam, kata Tok Usu ada betulnya. Dia tak mahu Mak dan Ayah tahu masalahnya.
            Lamunannya terhenti dek suluhan cahaya lampu kereta yang memasuki perkarangan rumah Tok Usu. Pantas dia melangkah ke bilik bagi mencapai tudung. Setelah itu, terdengar suara orang memberi salam. Suara yang dia kenal. Kenal sangat. Terketar-ketar tanyanya membuka selak pintu.
            “Han...?” Maya sudah bertakung air mata, melihatkan kehadiran Farhan di situ membuatkan dia menitiskan air mata. Air mata sedih, gembira dan pelbagai rasa. Farhan menarik tangannya, dan kemudian terus memeluk Maya yang berdiri di muka pintu.
            “Demi Allah, Maya tak buat semua tu. Maya takkan sanggup buat semua tu.” Maya menjelaskan lagi. Farhan mengangguk-angguk.
            “Han tahu Maya. Han tahu. Han mintak maaf. Maafkan Han.” Mereka berdua berendam air mata. Lama mereka begitu. Setelah beberapa seketika, mereka mengambil tempat di kerusi rotan. Air mata Maya dikesat lembut oleh Farhan, dan Maya mengesat linangan air mata Farhan dengan jemarinya yang halus.
            “Han mintak maaf sebab halau Maya petang tadi. Seriously, I’m out of my mind. Semua tu mengejutkan Han.”
            “Maya nak Han percaya satu benda. Walaubagaimana benci Han pada Maya, Maya redha. Maya takkan pernah sanggup nak bodohkan suami Maya sendiri.” Farhan mengangguk laju, ditarik Maya merapatinya dan mengucup hangat dahi Maya.
            “Han percayakan Maya. Han terlalu ikutkan amarah. I’m so sorry sayang.” Maya menggenggam tangan Farhan erat.
            “Dari awal Maya menjadi Puan Farhan, Maya tak faham situasi hidup Han. Maya ditolak dari awal, sedangkan Maya tidak tahu apa yang berlaku. Sekarang, demi masa depan kita, demi anak kita, Maya harap sangat tiada lagi rahsia antara kita...” Farhan mengangguk. Maya ditarik ke dalam pelukkannya sekali lagi.
            “15 tahun dulu, Ahmad Farhan Syah bukanlah seorang lelaki yang pendiam apatah lagi pemarah. Tapi keadaan yang membuatkan Han terpaksa jadi begini. Mama yang Han sayang difitnah sehinggakan Han membenci dia, benci sampai akhir nafas dia Han tak jenguk langsung dia.” Farhan teresak-esak menangis. Maya mengeratkan pelukan. Maya tidak mencelah, hanya mendengar dengan setia.
            “Waktu tu Han umur 13, Han balik dari sekolah, rumah dah kecoh-kecoh. Mama hanya diam. Ibu menangis, Babah pun marah-marah. Di tangan Mama ada satu dulang, isi dia sama macam dalam bekas yang Ibu jumpa petang tadi. Masa tu yang Han tahu, Mama selama ini bagi Babah dan Han makan benda kotor sebab nak tundukkan dan biar kami dengar kata-kata dia. Tapi semua tu Ibu yang cakap. Babah dan Han percaya 100 peratus, sebab ibu selama ni baik sangat, even hubungan dia dengan mama sangat rapat, sebab tu mama izinkan Babah kahwin dengan ibu. I don’t know semua tu fitnah ibu semata-mata. I really don’t know!” Maya menggosok belakang Farhan seakan memujuk Farhan tika itu.
            “Han rasa bersalah pada mama... bersalah sangat.”
            “InsyaAllah, mama mesti faham, bukan salah Han, Han kecik lagi masa tu kan...” Maya cuba memujuk.
            “Han hampir mengulangi salah tu pada Maya. I’m sorry sayang...” Maya tersenyum. Pelukkan itu dileraikan.
            “Hey, where’s my Mr. S. Mr Singa but silent? Asyik mintak maaf je ni.” Farhan ketawa kecil dengan usikan Maya. Dipicit lembut hidung Maya.
            “Mr.S akan berubah, insyaAllah.”
            “Berubah?”
            “Yup, bukan singa or silent. But sayang and sweet.” Maya ketawa gembira. Malam itu terurai semua cerita. Maya lega, akhirnya segala persoalannya terjawab.
            Malam itu, mereka berdua bermalam di rumah Tok Usu, esok pagi baru pulang ke rumah untuk meneruskan hajat untuk kenduri doa selamat yang tergendala.
            “Kenapa macam tak suka Maya awal-awal dulu?” Farhan yang sudah memejam mata, kembali menghadap wajah Maya di sisinya. Pelukkan di eratkan.
            “Mama insan yang paling Han sayang, begitu juga dengan babah. Babah sangat cintakan mama. Tapi kejadian tu seolah-olah mimpi ngeri, Han jadi takut nak percaya pada seseorang yang bernama isteri, dan dalam masa yang sama takut untuk mencintai sebab takut dikhianati.” Maya mengangguk perlahan. Pipi Farhan dikucup lembut, membuat Farhan tersenyum bahagia. Maya terlalu manja!
            “Babah tahu mama tak bersalah?”
            “Tok Usu kata babah tahu, sebab tu babah kept asking me to forgive mama. Erm...” Farhan mengeluh kecil. Ingatannya terbang mengingati arwah mama.
            “Ibu macam mana?” Farhan mengeluh lagi.
            “Han tak tahu.”
            “Maya tahu.” Farhan mengerut dahi.
            “Apa?” Farhan menyoal.
            “Maafkan dan lupakan. Allah itu lagi Maha Pengampun.” Farhan menarik Maya ke dalam pelukkannya.
            “InsyaAllah...” Ujar Farhan perlahan. Dalam hati Farhan amat bersyukur dikurniakan isteri sebaik Maya yang sentiasa menyejukan hatinya yang kadang kala terlalu cepat panas.
            Dalam hati Maya, dia meminta agar Farhan yang 15 tahun dahulu kembali, dan melupakan segala kepahitan hidupnya. Berdendam akan lebih menyakitkan daripada memaafkan sesuatu yang perit bagi kita.
..................

“Terima kasih Jah, kau tolong anak cucu aku.” Mak Jah yang membawa air untuk Tok Usu hanya mengangguk lemah.
“Saya tak tahan dengan sikap Datin, dulu Puan Sabariah saya tahu dia tak salah, saya kerja dengan Dato’ Harun dari sebelum dia kahwin lagi. Saya kenal Sabariah dan Datin Mazla. Saya tahu semua tapi saya takde bukti, tapi hari ini saya berjaya tangkap kerja jahat dia. Syukur pada Allah.”
“Itu lah. Kerja jahat ni lama-lama memang akan bocor jugak. Syukurlah, kita dapat leraikan marah Farhan pada Mama dia.” Ujar Tok Usu, kemudian meneguk air yang dibawa oleh Mak Jah tadi.
“Macam mana dengan Datin, Puan?” Mak Jah menyoal. Sebaik tamat pertelingakahan dan pembongkaran kerja kotor Datin Mazla, dia terus melarikan diri bersama Layla. Entah ke mana. Puas Datin Mazla menangis merayu pada Farhan, namun Farhan hanya membantu dengan linangan air mata.
“Biarkan dia. Nak lari ke mana, aku ni ha sedara yang dia ada. Aku harap dia sedar perbuatan dia, kembali ke jalan Allah.” Mak Jah turut mendoakan yang sama.

.....................
           
            “Dah letak nama anak kamu Farhan?” Farhan yang sedang memerhatikan anaknya, hanya menggeleng.
            “Belum lagi, tapi Maya kata dia dah pilih beberapa nama. Tok Usu tanya dia lah.” Farhan mengenyit mata pada Maya yang tersenyum memandangnya.
            “Maya ingat nak letak, Nur Saarrah, cahaya yang riang gembira. Boleh?”
            “Macam ibu dia lah, Nur Sumayyah... boleh aje kalau ikut abang... Tok Usu?” Tok Usu yang sedang mengendong bayi hanya tersenyum.
            “Tok Usu tak kisah, asal makna baik. Baiklah bagi Tok Usu, kan Saarrah...” Farhan dan Maya hanya tersenyum dengan tingkah Tok Usu.
            “Ibu dah ada, yang papa pegang ni? Mesti AFS jugak tau.” Maya ketawa kecil.
            “Ibu tau la, Ahmad Faheem Sabiir. Yang terpuji , faham dan sabar. Agak panjang, tapi atas permintaan.” Maya ketawa kecil.
            “Sabiir... ibu perli papa aje kan Sabiir, mentang-mentang papa Mr. S dia.” Farhan seolah berbual dengan bayi kecilnya, sambil mencium hidung si kecil itu. Maya hanya tersenyum.
Mak Jah yang baru masuk, kelihatan tercengang, sama jugak dengan Pak Teh Lan.
            “Kenapa dengan kau Jah?” Tok Usu menegur.
            “Dua orang sekali?” Pak Teh Lan menyoal.
            “Tu yang Jah terkejut, Maya tak cakap apa-apa pun.” Maya ketawa kecil.
            “Mak Jah, Farhan pun tak tahu kata dapat dua.” Maya ketawa lagi.
            “Suprise untuk semua.” Semua yang ada ketawa dengan jawapan Maya.
            “Abang nak tahu macam mana, teman Maya dua kali aje pergi check up.” Maya mencebik. Farhan tergaru-garu. Pak Teh Lan hanya tersenyum melihat mereka berdua.
            “Kamu ni Farhan, lepas ni bahagi kerja dengan keluarga baik-baik. Ni anak dah dua, jangan biar Maya sorang yang jaga pulak.” Tok Usu mula menegur.
            “Takpe Tok Usu, dulu ada orang cakap nak jadi surirumah berjaya, ha... ni lah masanya nak mencapai cita-cita” Maya menjuih bibir. Perli la tu!
            “Ha.. pandai la kamu bagi alasan ye, Maya mengadu lagi sekali, ni telinga ni, Tok Usu piat-piat...” Tok Usu memulas telinga Farhan. Mengaduh Farhan sambil mengendong bayinya.
            “Aduh... Sabiir Saarrah... tolong papa...” Maya ketawa, begitu juga dengan yang lain. Kegembiraan ini menutup segala kesedihan yang pernah dilalui mereka. Moga kehadiran si kecil berdua ini menceriakan lagi hari-hari mereka.
            “Assalamualaikum, riuh aje sampai luar dengar, ada apa?” Rusdi melangkah masuk dengan sebuah hamper ditangannya.
            “Kau lambat bro, cerita dah habis...”

*TAMAT*

0 comments:

Post a Comment