Cinta Palsu
Prolog: Kenangan Lalu
Malam aku hanya
ditemani bunyi rintik hujan yang rancak dan hangat menari di luar rumah.
Mungkin mahu menemani aku agar tidak
sepi dan sunyi. Kepalaku terletak kemas di atas bantal kepala yang empuk,
penemanku di kala aku keletihan. Dingin sekali malam ini. Sedingin perasaan di
dalam hatiku. Sudah jam dua pagi. Tubuhku begitu letih. Aku cuba melelapkan
mata namun terasa mata ini terasa segar walaupun akal sudah memberat.
“Ish, kenapa susah
betul hendak tidur? Baik aku sambung tulis cerpen aku yang tak siap-siap ni.”
Aku bingkas bangun
daripada pembaringan. Sepasang kaca mata berbingkai hitam yang terletak di tepi
meja kecil aku capai. Aku letak kemas kaca mata itu di mukaku. Aku bergerak
menuju ke suis lampu bilik. Bilik yang gelap mula terang-benderang disimbahi
cahaya lampu kalimantang. Automatik aku mengecilkan mata. Pupil mataku hebat bekerja
mengadaptasi kuantiti cahaya yang masuk ke dalam mataku.
“Aduh, sejuk betul
malam ni.” Badanku menggigil.
Aku merungut sambil
almari baju dibuka. Sweater hitam
belang kuning UNiSEL kegemaran aku disarung ke tubuh. Tiba-tiba mata aku
terpaku pada sebuah kotak yang berwarna hijau. Kotak hijau yang penuh dengan
kenangan lalu. Kedua tanganku mengangkat kotak itu dan aku letak di atas katil.
Dengan perlahan, penutup kotak itu aku buka.
Satu nafas berat
aku helakan apabila aku melihat isi yang terkandung dalam kotak itu. Surat, kad
ucapan pemberian seseorang yang pernah aku cintai dahulu. Diari aku yang penuh
dengan catatan bersama dia juga terletak rapi di dalam kotak itu. Segala
kenangan yang tersimpul rapi bersama surat dan kad itu mula menari di hadapan
mataku. Aku rasakan masa terhenti seketika.
Sampul pertama
kubuka. Surat kutarik keluar. Aku tersengih sendirian apabila aku baca ayat
pertama dalam surat itu. Kelakar bila teringatkan ketika kali pertama aku
berkenalan dengan dia. Habis surat pertama kubaca, surat kedua pula aku ambil.
Sepanjang malam aku habiskan dengan membaca surat dan diari yang penuh dengan
momen indah suatu ketika dahulu.
Aku mula hanyut dalam
lautan memori.
........................................................
Satu: Menanti Hari Bahagia.
Telekung putih
bersih itu disarung rapi. Stokin kaki berwarna hitang disarung kemas ke kaki.
Setelah berpuas hati melihat diri di cermin, aku menguak pintu jendela bilik.
Udara pagi dihirup. Pagi Ahad yang indah disinari cahaya mentari pagi
sememangnya mendamaikan hati sesiapa sahaja. Aku menanti ibu dan ayah bersiap
ke surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di dalam bilik tidurku. Aku
memandang bahagia langit membiru ceria. Hatiku girang kerana dalam masa
beberapa bulan sahaja lagi aku akan menjadi isteri kepada lelaki yang aku kasihi,
Mohd Zamri. Senyuman semakin melebar bila aku teringat momen indah dalam hidupku
ketika Zamri datang ke rumah untuk menyuarakan hasrat untuk menyunting diriku
menjadi isterinya semasa cuti persekolahan yang lalu.
“Pak cik, mak cik. Saya serius dengan Marsya. Saya ingin
meminta kebenaran pak cik dan mak cik untuk berkahwin dengan Marsya.” Kata
Zamri dalam nada yang tegas dan yakin.
Aku tertawa kecil
apabila teringat riak muka Zamri ketika itu. Bahagia. Itu sahaja yang mampu aku
katakan. Aku berkira-kira hendak menelefon Zamri setelah pulang dari surau.
“Marsya sudah siapkah?” Lamunanku terjeda
apabila ibu memanggil dari ruang tamu.
“Sudah, sebentar
ibu.” Aku mengambil kain telekung dan dimasukkan ke dalam beg yang berwarna
coklat pemberian Zamri ketika hari jadiku setahun yang lalu.
Surau Al-Ikhwan
masih lengang lagi dengan kehadiran para jemaah. Aku, ibu dan adik perempuannya
masuk ke dalam surau dan menuju ke bahagian wanita. Aku bersalaman dengan
jemaah wanita yang sudah tiba lebih awal. Seperti biasa aku pasti mengambil
tempat di saf paling hadapan. Imam surau dan jemaah lelaki rancak mengalunkan
takbir dengan merdu sekali.
Aku tenang
mendengar alunan takbir. Hatiku berdoa agar aku bisa mendengar Zamri bertakbir setelah
kami sah menjadi suami isteri. Aku menarik sengih bila membayangkan saat indah
yang bakal dikongsikan bersama Zamri nanti.
........................................................
Dua: Saat Kesetiaanku Dipermainkan.
“Awak ada apa-apa
hubungan dengan Fatehah kah? Tolong jujur dengan saya. Saya tak pernah tipu
awak selama ni. Tolong jawab soalan saya dengan jujur.” Terdengar getaran di
hujung suaraku. Aku berharap Zamri tidak ada apa-apa hubungan dengan Fatehah.
“Entahlah.” Jawab
Zamri pendek. Nada suaranya seperti dalam keraguan.
“Awak ada hubungan
dengan dia atau tidak?” Suara aku sedikit keras.
“Maafkan saya,
Marsya. Saya rasa sudah jatuh cinta dengan Fatehah.” Bicara Zamri di dalam
telefon.
Muka aku menjadi
panas. Airmata yang ditahan sejak tadi akhirnya meleleh tumpah dari tubir mata
milikku. Aku tidak menyangka kesetiaanku kepada Zamri selama ini rupanya dipermainkan
oleh lelaki muda yang telah aku kenali selama lima tahun itu.
“Baiklah. Sekarang awak pilih siapa? Saya atau
Fatehah?” Aku menahan esakkan.
“Ikut hati...
awak.”
“Saya tak mahu ikut
hati. Saya mahu dari perasaan awak. Antara saya dan dia, siapa yang awak paling
suka sekarang?!” Aku mula meninggikan suara. Kecewa dengan jawapan Zamri.
“Fatehah.” Balas
Zamri, pendek.
Aku terkedu.
Lidahku kelu untuk berbicara lagi. Hanya linangan airmata dapat menggambarkan
betapa hancurnya hati ini. Esakkan mula kedengaran memenuhi setiap ruang dalam
bilik tidur.
“Tak bolehkah saya
pilih dua-dua?” keluh Zamri.
“Awak memang teruk,
Zamri. Awak permainkan hati saya setelah awak ajak saya berkahwin dengan awak.
Sampai hati awak buat saya macam ni. Saya setia dengan awak. Saya sudah tekad
hendak berkahwin dengan awak selepas awak merayu kepada saya tempoh hari. Tapi
awak buat saya macam ni.” Bicaraku tersekat-sekat kerana menahan tangisan.
Dadaku berombak kencang menahan perasaan yang bercampur baur. Marah, sedih dan
kecewa.
“Maafkan saya.”
“Sudahlah. Lepas ni
kita sudah tiada apa-apa hubungan. Memandangkan awak sudah membuat keputusan,
saya doakan awak bahagia dengan dia. Awak pun tolonglah doakan saya supaya saya
mendapat lelaki yang jauh lebih baik daripada awak. Lagipun keluarga awak tidak
merestui hubungan kita. Assalamualaikum.”
Aku menekan butang
tamat panggilan. Mukaku disembam ke bantal kepala. aku menangis semahu-mahunya.
Kecewa yang teramat menguasai diri.
“Ya Allah, kenapa
dia sanggup permainkan aku sebegini rupa? Lima tahun aku bazirkan masa menunggu
dia.”
Airmata terus
mengalir tanpa segan. Bantal kepala mula basah dengan airmataku. Kepala mula
terasa berat. Dada mula terasa sesak untuk bernafas. Hatiku hancur dan remuk
bagai kaca jatuh ke lantai.
........................................................
Tiga: Ibu, Ayah. Maafkan Aku!
Aku menarik nafas
sedalam yang mungkin. Mengumpul kekuatan untuk memulakan bicara dengan ibu. Aku
melabuhkan punggung di atas sofa lembut berwarna coklat di ruang tamu. Mataku
dipejam rapat sebelum mengeluar sebarang kata-kata.
“Ibu, Zamri sudah
ada perempuan lain.” Aku berkata perlahan kepada ibu yang sedang asyik menonton
rancangan Masterchef di Astro Ria. Aku cuba menahan getaran di dalam suaraku.
Ibu monoleh ke
arahku. “Ha? Biar betul? Hari tu beria-ia hendak berkahwin dengan Kak Long?”
Soalan ibu bertubi-tubi menyinggah di telingaku.
“Entahlah, bu. Dia
cakap ayah dan kakak dia tak benarkan Zamri berkahwin dengan Kak Long. Lepas tu
dia cakap dia suka cikgu yang satu sekolah dengan dia. Macam-macam alasan dia
beri.” Suaraku sebak.
“Bila Kak Long
tanya dia pilih siapa, dia pilih perempuan tu. Dia teragak-agak bila Kak Long
tanya semalam. Rupanya dia permainkan Kak Long selama ni.”
Ibu memandang aku
dengan pandangan yang sayu. Matanya berair. Mungkin sedih melihat aku. Mata aku
masih bengkak lagi kerana semalaman aku menangis.
“Sudahlah tu Kak
Long. Sudah tiada jodoh. Allah sudah menjawab segala doa ayah, ibu dan kak
long. Kan Kak Long buat solat istikharah dulu? Allah sudah bagi petunjuk yang
Zamri memang bukan yang terbaik untuk Kak Long.” Ibu meraih aku ke dalam
pelukannya. Aku menangis. Airmata mengalir deras.
“Sabar, redha
dengan aturan Allah untuk Kak Long.” Ibu memeluk aku dengan erat, cuba menenangkan
aku. Aku dengar suara ibu menahan sebak. Aku tahu ibu sedang menangis bersama
aku.
“Maafkan Kak Long,
bu sebab dah susahkan ayah dan ibu pergi ke kampung dia. Jauh pula tu. Maafkan
Kak Long.” Aku teresak-esak meminta maaf. Kesal kerana ibu dan ayah terpaksa
menyusahkan diri mereka ke Terengganu untuk melihat keadaan kampung Zamri. Ayah
dan ibu begitu sayangkan aku. Itu yang membuatkan aku sebal dengan sikap Zamri
dan keluarganya yang tidak serius dan sanggup mempermainkan perasaaan aku dan
keluargaku.
“Pasti ada yang
lebih baik untuk Kak Long. Sabarlah, kita doa sama-sama ya?” Ibu mengusap
lembut kepalaku.
“Emm.” Aku
mengangguk lemah.
........................................................
Empat: Ya Allah, Tabahkanlah Hatiku.
Aku hadir ke
sekolah dengan mata yang bengkak. Puas aku cuba menyembunyikan bengkak mataku
dengan bedak namun gagal. Jam di keretaku menunjukkan jam 7.15 pagi. Aku
memakir keretaku di bawah tempat letak kereta yang berbumbung. Aku menarik
nafas lega. Kebanyakkan guru lain masih belum sampai ke sekolah. Enjin kereta
Myvi berwarna putih kesayanganku, aku matikan. Kunci kereta dicabut daripada
tempatnya. Beg komputer riba berjenama HP aku ambil keluar daripada tempat
duduk belakang. Pintu kereta aku buka dan aku melangkah keluar. Longlai. Sedih.
Hari ini, aku lebih
banyak menundukkan muka dan cuba mengelak daripada berbual dengan guru-guru
yang lain. Aku bernasib baik kerana aku berada dalam minggu-minggu terakhir
untuk sesi persekolahan tahun ini. Pihak sekolah telah merancang pelbagai
aktiviti untuk para pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan.
Aku lebih banyak
duduk di bilik guru sahaja. Melayan perasaan sambil menyiapkan tugasan sebelum
cuti persekolahan bermula.
“Marsya, kenapa
nampak monyok sahaja?” Kak Azlina merapati aku. Kak Azlina merupakan teman
sekerjaku. Tempat duduknya di sebelah aku sahaja. Aku paling rapat dengan Kak
Azlina di sekolah itu.
“Hmm. Tak ada
apa-apalah kak. Penat sedikit.” Aku menjawab dengan suara lemah.
“Yakah? Mata
bengkak tu. Mesti ada apa-apa ni.” Kak Azlina merenung wajah sungulku.
“Hmm. Entahlah kak.
Saya sudah putus dengan Zamri.”
“Ha? Kenapa?” Jelas
terpancar riak terkejut di wajah Kak Azlina setelah dia mendengar kata-kataku
sebentar tadi.
“Dia suka perempuan
lain. Dia sudah tak mahu berkahwin dengan saya lagi.”
“Mana Marsya tahu?”
“Saya call dia kak. Perempuan tu pun saya call semalam. Frust betul saya.”
“Sabarlah Marsya.
Apa guna Marsya menangis untuk lelaki yang macam tu. Lagipun apa yang hendak
dibanggakan dengan cinta yang tak halal. Ibarat rumah buruk yang menanti masa
untuk roboh.” Kak Azlina menenangkan perasaanku.
“Lupakan lelaki
macam tu. Tak berbaloi pun jadi isteri dia. Alhamdulillah, Allah tunjukkan
kebenaran sebelum Marsya berkahwin dengan dia.” Belakang badanku diusap lembut
oleh Kak Azlina.
“Pasti si soleh
dalam perjalanan mencari Marsya. Mungkin dia terlindung dek pohonan di jalanan.
Jangan risau ya. Memang Marsya sedih sekarang tapi percayalah pasti ada hikmah
yang tersembunyi yang kita tak tahu.”
“Yela kak. Insha
Allah. Saya yakin dengan janji Allah. Dia pasti balas kebaikan dan kejahatan
yang kita lakukan. Terima kasih kak sebab sokong saya.” Aku menyeka airmata di
pipiku yang tanpa segan silu mengalir keluar.
........................................................
Lima: Aku Terjeda.
Angin bertiup
lembut menyentuh pipiku. Aku turun daripada kereta yang dipandu oleh adik
perempuanku. Pagi tadi aku menerima panggilan daripada seorang teman lama. Dia
mahu bertemu aku di Giant Senawang. Aku melihat jam tanganku. Sudah pukul lima
petang. Aku tergesa-gesa menarik tangan adikku masuk ke dalam Giant.
Aku bergerak menuju
ke Restoran Seri Selera yang terletak di dalam Giant. Satu susuk tubuh lelaki
muda yang telah lama tidak aku temui sudah setia menanti aku di sebuah meja
yang terletak berhampiran dengan pintu masuk restoran. Dia melambai-lambai ke
arahku. Adik meminta kebenaran untuk masuk ke Popular untuk membeli majalah
kegemarannya.
“Assalamualaikum,
Amir.” Aku merapati Amir, seorang teman yang aku kenali sejak lima tahun yang
lalu. Amir Haikal merupakan teman baik Zamri sejak di bangku universiti lagi. Kebetulan
dia juga ditempatkan di sekolah berhampiran dengan sekolah aku.
“Waalaikumussalam. Jemput
duduk. Kau hendak minum apa?” Amir memanggil pelayan untuk membuat pesanan.
“Fresh orange.”
“Apa tujuan kau
hendak berjumpa dengan aku?” Aku bertanya.
“Hmm, aku hendak
minta maaf dengan kau, Marsya.” Amir menundukkan wajahnya.
“Minta maaf apa
pula ni? Bila pula kau ada buat salah dengan aku?” Aku mengerutkan dahi. Keliru
dengan ucapan maaf yang terbit dari mulut Amir.
“Aku dengar kau
sudah putus dengan Zamri.”
“Emm. Jadi?”
“Sebenarnya...”
Amir teragak-agak untuk meneruskan bicaranya. “Sebenarnya aku sudah lama tahu
yang dia tidak serius semasa berkawan dengan kau dulu.”
“Maksud kau?” Aku
mengangkat kedua keningku.
“Hmm, aku minta
maaf Marsya. Sepatutnya aku sudah beritahu kau awal-awal lagi. Sebenarnya Zamri
hanya anggap kau kawan biasa sahaja dalam tempoh lima tahun kau bercinta dengan
dia. Dia tak pernah berhajat hendak berkahwin dengan kau. Aku sudah lama tahu
keluarga dia tidak suka dengan hubungan kau dengan dia. Dan... aku tahu dia ada
hubungan dengan perempuan lain.” Riak wajah Amir penuh dengan kekesalan.
“Kenapa kau
beritahu aku awal-awal lagi? Kenapa baru sekarang?”
“Maafkan aku. Aku
tak sanggup hendak sakitkan hati kau.”
“Tak mengapalah Amir.
Aku hargai kejujuran kau. Lagipun aku sudah redha dengan apa yang terjadi. Aku
tak rugi pun kehilangan lelaki yang tak berguna macam tu. Betul tak? Mesti ada
lelaki yang jauh lebih baik dari dia.” Aku menguntum senyuman. Namun hatiku
bergelora menahan marah setelah mengetahui aku tertipu dengan sandiwara Zamri
selama ini.
“Hmm, maafkan aku.
Aku doakan semoga kau mendapat suami yang soleh dan tak akan berjumpa lagi
dengan lelaki macam Zamri lagi. Aku bahagia jika kau turut bahagia.”
“Aik? Lain macam sahaja
ayat kau Amir. Yalah. Terima kasih banyak-banyak wahai Amir Haikal.” Aku terus
mempamerkan senyuman. Tiada guna aku mahu marahkan Amir. Sekurang-kurangnya aku
tiada alasan untuk terus menaruh harapan terhadap Zamri lagi.
........................................................
Epilog: Ya Allah, terima kasih!
Wajahku raup.
Panas. Mataku mula berair. Tanpa aku sedar airmata mula mengalir di pipiku lalu
menitis pada sekeping foto aku bersama dia.
Foto itu aku letak di atas katil. Aku mengesot ke hujung katil. Tubuhku
sandarkan ke dinding. Pandanganku lontarkan ke kipas siling. Aku khayal
sebentar melihat kipas itu.
“Ya Allah, bantulah
aku untuk meredhai segala yang telah kau aturan buat diriku.” Aku berbisik di
dalam hati. Pedih rasanya bila teringatkan kenangan lalu. Airmata aku seka, apa
gunanya menangis akan sesuatu yang sudah pergi dan apa faedahnya jika aku
menangis untuk lelaki yang bukan halal buat diriku. Aku rasa berdosa kepada
Allah. Aku telah melebihkan cintaku kepada orang lain selain daripadaNya. Aku
lupa siapa yang patut aku cintai. Selama ini cinta yang aku sangkakan cinta
sejati rupa-rupanya cinta palsu yang aku bina atas dasar nafsu semata. Bila
cinta kerana nafsu terbina, maka redhaNya tidak akan menyinggah. Aku menyesal.
Tertipu dengan hasutan syaitan dan nafsuku sendiri.
Kini aku mula sedar
bahawa cinta kepada manusia sering sahaja membawa kepada kesedihan. Aku
bersyukur kerana Allah masih sayangkan aku. Dia beri ujian ini sebagai satu
tarbiah untuk aku dalam kehidupan ini dan menyelamatkan aku dari terus
terjerumus terus ke dalam lubang neraka.
Aku mengesat
airmataku. Kotak hijau yang penuh dengan memori pahit dan mengingatkan aku
kepada kelakuan jahiliyahku itu aku angkat. Aku bergerak keluar daripada bilik
dan menuju keluar rumah. Mataku sempat melihat ke arah jam yang terlekat kemas di
dinding bilik tidurku. Sudah jam empat pagi rupanya.
Tombol pintu rumah
aku pulas dan kakiku melangkah keluar dan terus ke tempat pembuangan sampah.
Aku campak kotak hijau itu ke dalam tong sampah dan aku mencampak sekali segala
kenangan pahit aku dahulu.
Aku mendongakkan
kepalaku ke atas, merenung langit yang ditaburi bintang-bintang yang berkedipan
indah. Aku tersenyum. Dalam hatiku, aku bersyukur kepada Allah dan aku mohon
Dia kuatkan semangatku untuk menempuh segala cabaran dan ujian di hari
mendatang kerana itulah cara Dia memberi tarbiah kepadaku.
0 comments:
Post a Comment