Angin malam bertiup
lembut. Suasana malam Jumaat sangat menenangkan. Alunan bacaan Surah Al-Waqiah
yang merdu oleh pelajar-pelajar ASPURA dan ASPURI di surau asrama kedengaran
menambahkan lagi ketenangan malam. Memang sudah menjadi rutin harian pelajar
asrama baik lelaki mahupun perempuan, bacaan Surah A-Waqiah dialunkan selepas
solat Maghrib sebelum mereka ke kelas prep.
“Sodaqallahulazim.” Bacaan ditamatkan.
Doa khatam Al-Quran dibaca dengan penuh khusyuk. Usai sahaja aktiviti bacaan
Al-Quran, Azhar bingkas bangun dan duduk menghadap pelajar lelaki yang lain.
Sedikit tazkirah diberikan tanda peringatan buat diri masing-masing sebelum
mereka ke kelas prep. Khairul Azhar
merupakan Ketua Exco Ibadah di ASPURA Sekolah Menengah Agama Nilai, seorang
yang penyayang dan sentiasa mengambil berat. Semua warga SMAN menyenangi lelaki
muda itu. Dia bakal menghadapi peperiksaan PMR tidak lama lagi.
“Assalamualaikum.”
Azhar memberi salam. Bibirnya terukir senyuman manis.
“Sebelum saya
berkongsikan tazkirah hari ini, saya ingin tanyakan kepada sahabat semua satu
soalan ya?” Azhar berbicara kemas dan teratur.
“Redha siapakah
yang perlu kita perolehi untuk menjamin keberkatan dan kejayaan kita dalam
pelajaran? Saya fokuskan kepada pelajaran kali ini memandangkan kita bakal
menghadapi peperiksaan. Ada sesiapa yang mahu menjawab soalan saya?” Mata Azhar
rancak memandang setiap pelajar lelaki yang berada dihadapannya.
Amar, pelajar
tingkatan dua mengangkat tangan. “Abang Azhar, sudah tentulah redha Allah.
Kalau Allah tak redha dengan kita, tak berkatlah ilmu yang kita belajar.”
“Betul jawapan adik
Amar. Ada lagi yang mahu berkongsikan jawapan?”
“Azhar, redha ibu
bapa penting juga. Mereka yang membesarkan kita.” Jawab Ilham dengan penuh
yakin. Ilham merupakan teman sekelas dengan Azhar.
“Hah, betul kata
Ilham. Ibu bapa pun penting juga. Ada lagi jawapan?” Makin melebar senyuman
Azhar apabila mendengar jawapan sahabat-sahabatnya itu.
Masing-masing
tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Azhar meneruskan bicara perkongsiannya.
“Sahabat semua,
saya sekadar ingin mengingatkan diri saya dan juga diri anda bahawa betapa
pentingnya redha guru kepada kita semua. Selalunya kita dengar bahawa redha
Allah dan redha ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentu kejayaan kita
dan keberkatan dalam kehidupan kita. Janganlah kita lupakan guru-guru yang
telah bertungkus-lumus mendidik kita selama ini. Kita selalu alpa dalam mengingati
jasa guru-guru kita.” Dia menghentikan bicaranya seketika untuk memberi ruang
kepada mereka untuk menyerap masuk apa yang ingin disampaikan.
“Siapa pernah
melawan cakap guru-guru kita?” Lelaki muda itu meneruskan bicaranya. Semua
tertunduk. Tanda mereka pernah melakukan perbuatan itu.
“Kadangkala kita
melawan kata-kata guru kita, kurang ajar dengan mereka. Mereka ibarat ibu bapa
kita yang kedua. Jadi, di kesempatan yang singkat ini, saya mengajak sahabat
semua supaya kita menitip doa buat mereka semua dan sentiasa meminta maaf
kepada mereka. Saya pasti kita sentiasa melakukan khilaf. Bila guru redha
dengan kita, maka ilmu yang kita perolehi itu menjadi berkat dan sampai di hati
kita semua.” Semua menganggukan kepala mereka.
Seorang lelaki muda
duduk di belakang surau dan sekadar memandang sepi dengan tazkirah yang
disampaikan oleh Azhar. Muhammad Afifi. Seorang yang suka memberontak di dalam
Tingkatan 3 As-Syafie.
“Baiklah, sudah
pukul 8. Kita berhenti di sini dahulu.” Kata Azhar dan bangun daripada tempat
duduknya. Pelajar-pelajar lain juga turut bangun dan membuat bulatan. Selawat
ke atas Nabi Muhammad S.A.W dialunkan sambil bersalaman sebelum keluar daripada
surau.
..........................................
Sekumpulan pelajar
lelaki Tingkatan Tiga sedang khusyuk dengan akitiviti masing-masing di dalam
kelas yang berlabel 3 As-Syafie. Ada yang sedang mengulangkaji pelajaran dan
ada juga yang sedang menyiapkan kerja rumah.
Suasana yang tenang
dan sunyi pada malam Jumaat itu sangat membantu pelajar-pelajar menelaah
pelajaran. Lagipun peperiksaan akhir tahun dan PMR semakin dekat.
“Hish, benci betul
aku tengok karangan BI ni! Arghh! Tension, tension!” bentak Afifi sambil
menolak kasar buku latihan E1 yang berada di atas mejanya. Tangannya meramas
rambutnya sambil mengeluh lemah.
“Ya Allah, terkejut
aku.” Amar yang duduk di sebelah Afifi mengurut dadanya yang berombak deras.
“Eh, Afifi. Kenapa
dengan kau ni? Tak ada hujan, tak ada ribut, tiba-tiba mengamuk?” tegur Azhar
yang terkejut dengan perilaku Afifi. Konsentrasinya terganggu dengan bentakan
sahabatnya. Dia sedang khusyuk mengarang karangan Bahasa Inggeris yang
diberikan oleh guru Bahasa Inggerisnya, Cik Nadhirah. Pen hitam berjenama
Stabilo diletakkan. Badannya dipusing dan dihadapkan ke arah Afifi yang sedang
monyok.
“Afifi, apa masalah
kau ni? Semakin hampir PMR semakin stress kau ni. Bertenanglah.” Ujar Azhar
sambil menepuk belakang Afifi yang bersandar malas di kerusinya.
“Macam mana aku
hendak bertenang! Satu perenggan karangan ni pun aku tak mampu hendak tulis. Stress
betul!” Bentak lelaki muda yang berbadan sedikit gempal itu.
“Sabar Afifi. Bawa
mengucap dan istighfar.” Azhar memaut bahu sahabatnya itu.
“Aku memang tak
bolehlah dengan BI ni. Aku tahu Teacher
Nadhirah puas ajar aku macam-macam. Nasihat itu, ini. Tapi entahlah kenapa
susah sangat aku hendak faham.” Jelas Afifi. Terdengar sayu di hujung suaranya
itu.
“Aku tahu apa
masalah kau sebenarnya. Aku pun macam kau juga masa Form 1 dan Form 2. Mana
pandai BI. Selalu sahaja dapat C setiap kali exam. Kau hendak tahu tak apa masalah terbesar kau sekarang?” tanya
Azhar kepada Afifi.
“Apa?” Dia
mengangkat kening kirinya ala-ala The Rock.
“Jomlah kita ambil
angin di luar. Nanti suara kita menganggu yang lain pula. Mari!” Tangan kanan
Azhar menarik lengan Afifi. Mereka berjalan beriringan ke Astaka yang terletak
di hadapan kelas 1 As- Syafie.
Kedua-dua pelajar
lelaki itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu di Astaka itu. “Kau ingat
lagi tak kata-kata Teacher Nadhirah?”
“Yang mana? Teacher Nadhirah tu banyak sangat
membebel. Sampai satu apa pun aku tak ingat apa yang dia cakap. Naik meluat aku
setiap kali dia masuk kelas.”
“Ha, itu masalah
kau sekarang. Kau suka mengata cikgu kau sendiri. Padanlah ilmu tak pernah
melekat di kepala kau. Berkat sudah hilang.” Suara Azhar sedikit keras. “Baru
sahaja aku bagi tazkirah mengenai redha guru terhadap pelajar, kau tak
dengarkah tadi?”
“Dengar tapi....
entahlah.” Balas Afifi perlahan.
“Aku tahu Teacher Nadhirah suka sangat marah dan
membebel setiap kali dia masuk kelas kita. Kalau kau fikir dalam-dalam, kau
ingat teacher suka sangat ke membebel
kalau kita tak buat salah?”
“Setiap kata-kata
dia ada betulnya. Nasihat kepada kita. Mana ada guru yang mahu lihat anak
muridnya gagal?”
“Emm...” Afifi
sekadar mengangguk lemah dan tidak membalas pertanyaan sahabatnya itu.
..........................................
Teh ‘O’ dihirup
perlahan. Matanya dipakukan ke mangkuk yang bersaki-baki lagi dengan bihun sup.
Seleranya tumpul walaupun makanan itu adalah makanan kegemarannya. Punggungnya
diangkat dan kakinya meangkah longlai menuju ke pintu keluar dewan makan
asrama. Selipar jepun berwarna merah itu disarungnya. Kakinya meneruskan
langkahan ke surau untuk menunaikan solat Isyak.
Wudhuk diambil
dengan teliti untuk meyucikan diri sebelum bertemu dengan Maha Pencipta. Air
dingin yang menitis keluar daripada paip membuatkan dia menggigil kesejukan.
Afifi menadah kedua
tangannya. Doa selepas mengambil wudhuk dibaca perlahan. Sesudah itu dia terus
masuk ke dalam suran dan mengambil tempat di saf hadapan sekali. Al-Quran
dibuka dan ayat-ayat suci Surah Ar-Rahman dialunkan sementara menunggu
pelajar-pelajar lain bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak secara
berjemaah.
“Allahuakbar allahu akbar!” Suara
gemersik Amirul, pelajar tingkatan dua mengalunkan iqamah. Surau kecil itu
serta-merta menjadi sunyi sepi. Masing-masing memberhentikan bacaan Al-Quran
dan bingkas bangun merapatkan saf. Solat jemaah dilaksanakan dengan tenang
sekali.
Tamat sahaja solat
Isyak, Afifi bergerak ke belakang surau dan menyandarkan badannya ke dinding.
“Afifi, jom gerak
ke bilik.” Ajak Zahir, rakan sekelasnya.
“Kau gerak dululah.
Aku menyusul kemudian.” Balas Afifi.
“Oklah. Jangan
lewat sangat. Nanti bising Ustaz Nabawi.” Kata Zahir kepada Afifi. Ustaz Nabawi
merupakan warden lelaki bagi pelajar ASPURA.
Tangan kanannya
memegang dahinya. Lantas wajahnya diraup. Dia mula tenggelam dalam lamunannya.
..........................................
“Kenapa awak nampak macam frust sangat dalam kelas saya?
Awak tak fahamkah apa yang saya ajar?” Tanya wanita berkaca mata itu.
“Entahlah teacher. Susah sangat BI ni.” Afifi menjawab
acuh tidak acuh sahaja. Dia menarik muka masam.
“Kalau awak teruskan peragai macam ni, sampai bila pun
awak takkan berjaya, Afifi. Bagaimana awak hendak capai cita-cita awak sebagai
chef?” Teacher Nadhirah merenung pelajar yang berada di hadapannya. “Awak
hendak jadi chef di warung-warung tepi jalan atau chef di hotel lima bintang?” Dia
meyambung bicaranya.
“Emm...” Afifi membuang pandangannya ke arah beberapa
orang pelajar lelaki daripada Tingkatan 1 As-Syafie yang sedang di denda oleh
Cikgu Latif.
“Terpulang kepada diri awak. Awak yang menentukan jalan
hidup awak. Teacher di sini cuba bantu awak. Bahasa Inggeris ni penting. Sama
penting dengan Bahasa Arab. Kalau awak sudah jadi chef terkenal, awak mesti
berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan orang lain. Betul tak?” Teacher
Nadhirah mengangkat kedua –dua keningnya itu
Pelajar lelaki yang berusia 15 tahun itu sekadar
menganggukkan kepalanya.
“Balik sekolah ni, awak ambil masa sekejap untuk
muhasabah dan refleks diri awak. Kenapa awak susah sangat hendak faham apa yang
awak belajar dan apa tujuan awak datang ke sekolah? Sekadar hendak bermain-main
atau apa?” Kata Teacher Nadhirah dalam nada yang tegas.
“There’re many ways and methods that you can use to
improve your English. Just look at Muhammad. He’s not good at the beginning but
yet he improves a lot. Why? Determination, Afifi.”
“I’m not good either. I was just like you when I was in
your age. I always got C in English but I have determination to change my life.
If Muhammad can do it, same goes to you. You can do it, Afifi. I have faith in
you.”
“Only you can change yourself and you are the one who
will create your own future. Not me and not your parents. We’re only here to
support you.”
Kenangan lalu
menyinggah di benaknya. Afifi menghelakan nafas berat. Perbualannya bersama
Azhar mengingatkan dia kepada guru Bahasa Inggerisnya. Dia sedar yang gurunya
itu tidak pernah jemu menegur sikapnya di dalam kelas. Gurunya itu juga sering
memberi kata-kata nasihat kepada dia dan juga sahabat-sahabatnya. Afifi sering
memandang enteng dan tidak menghiraukan nasihat gurunya itu. Baginya, Teacher Nadhirah seperti nyamuk yang
sering menganggu dirinya tidur.
“Ha, itu masalah kau sekarang. Kau suka mengata cikgu kau
sendiri. Padanlah ilmu tak pernah melekat di kepala kau. Berkat sudah hilang.”
Kata-kata Azhar terngiang-ngiang
di telinganya. Hatinya sakit dan rasa bersalah terhadap guru itu. Airmata
ditahan daripada gugur ke bumi. Rasa menyesal dan berdosa menyelubungi dirinya.
Baru dia sedar kesalahan dia selama ini.
“Ya Allah, ampunkan
dosa aku selama ini kerana sering memperlekeh dan tidak menghormati guru-guru
aku selama ini. Rupanya inilah sebab kenapa aku susah sangat hendak faham apa
yang aku belajar selama ini.” Kedua kakinya dilipat dan ditarik dekat ke
badannya. Wajahnya ditunduk dan tangannya memeluk kakinya itu.
..........................................
Ayunan langkah
dipercepatkan. Nafasnya naik turun dan peparunya berkerja keras memproses
oksigen yang disedut masuk. Wanita muda itu mesti dikejarnya. Ucapan maaf mesti
dilafazkan saat itu juga. Jika tidak, dia tidak akan tenang.
“Teacher, teacher!” Afifi melaung nama guru Bahasa Inggerisnya itu. Dia
berlari anak-anak menuju ke arah Teacher Nadhirah
yang baru sahaja keluar daripada Tingkatan 3 Al-Ghazali.
“Ha, ada apa Afifi?
Berlari-lari di koridor ni.” Tanya Teacher
Nadhirah kehairanan melihat pelajarnya yang termengah-mengah di hadapannya.
“Teacher free tak sekarang? Saya hendak
jumpa teacher sekejap.”
“Oh, boleh sahaja.
Awak tak pergi rehatkah?” tanya wanita itu.
“Saya puasa hari
ni. Boleh tak kita duduk di astaka, teacher?”
tanya Afifi dengan sopan.
“Boleh. Mari.”
Mereka berjalan
menuju ke astaka yang terletak tidak jauh daripada kelas Tingkatan 3
Al-Ghazali. Teacher Nadhirah
melabuhkan punggungnya dan menanti apa yang ingin dikatakan oleh pelajarnya
itu.
“Emm, teacher. Pertama sekali saya ingin mohon
maaf kepada teacher jika selama ini
saya selalu buat teacher marah dan
risau dengan perangai saya. Saya minta maaf juga kalau saya selalu melawan
cakap semasa teacher mengajar di
dalam kelas.” Afifi menundukkan kepalanya. Dia tidak berani menatap wajah
gurunya itu.
“Lagi satu teacher. Saya ingin minta teacher halalkan ilmu yang teacher beri kepada saya sejak daripada
tingkatan satu sampailah sekarang dan... teacher
tolonglah doakan kejayaan saya dalam PMR ni nanti.”
“Afifi, Afifi.
Janganlah risau. Teacher tak pernah
simpan dendam dalam hati dan untuk pengetahuan awak, teacher selalu doakan kejayaan pelajar-pelajar teacher. Ilmu yang teacher bagi ni pun hak milik Allah.
Siapalah teacher untuk tak halalkan
ilmu Allah. Jangan risau ya? Awak teruskan usaha untuk memajukan diri awak.
Jangan usaha untuk kejayaan di dunia sahaja. Kejayaan akhirat jangan awak lupa
pula. Faham?” Teacher Nadhirah
tersenyum manis. Terpancar kelegaan di wajahnya apabila melihat anak didiknya
mula menunjukkan perubahan.
“Terima kasih
teacher. Saya janji saya akan berubah. Harap-harap tak terlambat.” Senyuman
tertarik di bibir Afifi.
“Tiada istilah
terlambat untuk kita berubah, Afifi. Insha Allah boleh lakukan yang terbaik.
All the best!” Wanita itu mengangkat kening dua kali sambil tersenyum.
..........................................
“Wah, Afifi. Bukan
main semangat lagi kau sekarang. Sudah dapat hidayahkah?” kata Firdaus dalam
nada sindiran.
“Alhamdulillah.
Berkat doa ibu, ayah dan cikgu-cikgu.” Balas Afifi sambil tersenyum kelat.
Hatinya sebal dengan kata-kata Firdaus itu.
“Ceh, aku malas pun
salah. Aku rajin pun salah. Apalah masalah mereka semua ni? Dengki sangat
dengan aku.” Hati kecilnya berbicara.
Azhar yang duduk di
sebelah Afifi menenangkan sahabatnya itu. Dia tahu sahabatnya itu terasa hati
dengan sindiran Firdaus itu tadi.
“Sabar Afifi.
Biasalah bila kita hendak berubah, ada sahaja halangannya. Ingat ‘sabar itu
indah’.” Azhar menepuk lembut belakang sahabatnya itu.
“Iyalah. Insha
Allah. Kau bantu aku ya?”
“Insha Allah.
Itulah gunanya sahabat. Sudahlah tu. Sambung balik revision kau tu. Lagi 25 hari sahaja kita hendak PMR. Aku pun makin
risau.” Riak kerisauan jelas di wajah Azhar.
“Hehe. Moh la kita study ye.” Balas Afifi sambil tergelak
kecil.
Dua sahabat itu
ketawa dan masing-masing meneruskan aktiviti yang terhenti sebentar tadi.
..........................................
Peperiksaan
Menengah Rendah semakin dekat. Semua pelajar tingkatan tiga bertungkus-lumus
mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan sebagai persediaan terakhir mereka.
Guru-guru juga tidak ketinggalan mengadakan bengkel teknik menjawab soalan
peperiksaan dan kelas tambahan sebagai cara terakhir untuk membantu dan
memastikan setiap pelajar sudah betul-betul bersedia.
1 comments:
Casinos Near Mohegan Sun - Mapyro
With so 영천 출장안마 many 양산 출장안마 casinos near Mohegan Sun 전라북도 출장안마 in Connecticut, we have 영주 출장안마 compiled a list of casinos in Connecticut, in 울산광역 출장안마 order to ensure that you don't miss out!
Post a Comment