Anis berteleku di
bawah sebatang pohon yang merimbun. Angin petang begitu mendamaikan menyapa
lembut wajahnya merona merah. Air mata menjadi tamu di pipi masih belum kering.
Malahan ia semakin deras mengalir. Sederas air sungai terbentang di depan matanya.
Rohnya bagai melayang-layang, membawa jiwanya entah ke mana. Lamunan Anis
terhenti dengan sapaan lembut dari Zinnirah, teman baiknya semasa di puncak
menara gading.
“Anis, kenapa kau
bersendirian di sini?” tanya Zinnirah dengan lembut.
Dia hanya
mendiamkan diri.
“Anis...?”
“Hmm... mengubati
hati aku yang tengah lara ni.” Anis membalas dengan suara perlahan. Dia
melepaskan keluhan berat. Zinnirah mengambil tempat di sebelah temannya.
“Anis, janganlah
kau terlampau mengikut perasaan kau itu. Kita memang boleh sedih tapi biarlah
bertempat. Kesedihan kau itu akan meragut ketenangan hidup kau. Memakan diri
sendiri.” ujar Zinnirah memberi nasihat.
“Aku tahu tapi
entahlah Ira. Aku sering terbuai-buai dengan rasa hati aku ni. Seksa jiwa dan
batin aku. Aku rasa hidup aku ni tidak ada apa-apa makna lagi. Kosong!” bentak
Anis.
“Aku faham perasaan
kau itu. Ingatlah pada Allah, Anis. Istighfar banyak-banyak. Jangan kau ikutkan
bisikan syaitan itu.”
“Entahlah, Ira.” keluh
Anis.
“Anis, siapa kata
hidup kau tidak bermakna? Aku ingat lagi satu firman Allah dalam surah At-Tin
ayat 4. Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.”
Anis merenung wajah
lembut Zinnirah itu lalu tersenyum kelat. Dia terusik dengan kata-kata tajam
temannya itu.
Zinnirah mengerti
pandangan temannya itu. “Macam ni Nis, apa tujuan Allah menjadikan kita? Hanya
satu pemainan atau kebetulan kau dilahirkan di dunia ni? Bukankan?”
Anis mengangguk
lemah, mengiyakan kata-kata temannya itu.
“Allah mencipta
manusia ini untuk memikul amanah-Nya. Kau ingat lagi tak apa yang kita belajar
dalam subjek Agama Islam dulu? Manusia dijadikan untuk menjadi khalifah Allah.
Berat sungguh tanggungjawab yang diberikan hinggakan gunung-ganang, langit dan
bumi enggan menerimanya. Jadi janganlah kau katakan hidup kau kosong dan tidak
bermakna hanya kerana ujian melanda diri kau, Anis.” panjang Zinnirah
menjelaskan.
“Aku bukanlah nak
bersyarah pada kau tapi sebagai sahabat, aku patut mengingatkan kau dengan tujuan
hidup kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini.” ujarnya lagi sambil mengambil
beberapa helai daun di tepi kakinya.
“Cuba kau lihat
daun ni. Ada yang warna hijau ada yang warna coklat. Kalau kau tengok dedaun
kat pokok itu, lagi bermacam warna kau akan nampak.”
“Hmm... kenapa
dengan daun ni? Apa kena mengena dengan masalah aku, Ira?” tanya Anis dengan
seribu satu persoalan bermain di benaknya. Tidak mengerti dengan pernyataan Zinnirah
itu.
“Anis, cuba kau
guna akal fikiran yang dikurniakan Allah kepada kau. Kau gunakan mata hati untuk
mencari jawapannya. Aku pasti kau akan bertemu dengannya.”
“Kejap. Biar aku
fikir.” ucap Anis. “Aku rasa daun ni semata-mata daun saja. Fungsi daun ni
untuk menghasilkan oksigen. Itu sajalah yang dapat aku fikirkan buat masa
sekarang. Jawapan aku berdasarkan apa yang aku belajar dalam Sains.”
Zinnirah tersenyum
mendengar jawapan Anis itu. “Anis, kita tak boleh pandang enteng pada daun ni.
Betul jawapan kau itu. Daun berfungsi untuk menghasilkan oksigen dan
sebagainya. Apa yang kau nampak itu tersurat. Bagaimana pula dengan yang
tersirat?
“Anis, kalau kau
tanya aku apa yang aku fikirkan bila aku tengok daun ni, senang saja jawapan
aku.”
“Apa dia?” Anis
menanya.
“Daun ni adalah aku.”
jawab Zinnirah pendek.
“Kenapa pula kau
kata begitu? Aku tak faham.” balas Anis kebuntuan.
“Nak tahu ke kenapa
aku jawab macam tu? Ok, sekarang kau perhatikan betul-betul daun ni. Sambil itu
kau dengar jawapan aku ya?” dia memberitahu kepada Anis.
“Ok,”Anis
mengangguk laju.
“Kau cuba bayangkan
semasa kita masih kecil lagi. Masih mentah dengan ragam kehidupan di dunia yang
penuh dengan pancaroba. Kita tidak tahu apa-apa masa tu. Pengalaman zero. Betul tak apa yang aku katakan?”
soal Zinnirah.
“Ya, betul apa yang
kau katakan tu.” balas Anis.
“Sama juga macam
daun ni. Semakin terang warna hijaunya, semakin muda usia daun tu. Hijau itu
menunjukkan hidup kita yang baru hendak bermula. Kau setuju dengan kata-kata
aku, Anis?”
“Setuju.” jawab
Anis.
“Jadi aku ibaratkan
daun hijau ni sebagai diri aku. Muda dan mentah dalam menghadapi hidup yang
penuh dengan onak dan duri. Sama juga macam kau, Anis.”
Zinnirah menyambung
lagi, “Sekarang kau lihat pula pada daun yang berwarna coklat ni. Dah tak
berapa lawa dan nampak rapuh. Kalau kau lihat daun coklat ni di atas pokok, ia
tunggu masa saja untuk gugur ke tanah. Berbeza betul dengan daun hijau tadi.
Segar dan mencantikkan pokok itu sendiri.”
“Semakin gelap
warna coklat pada daun ni semakin tua usianya. Bila sampai waktunya, ia akan
gugur ke tanah. Macam manusia juga. Lagi tinggi usia seseorang itu, semakin
banyak pengalaman hidupnya. Kerana apa? Semuanya kerana ujian, cabaran, suka
dan duka dalam kehidupannya mengajar dia erti kehidupan sebelum Allah menjemput
hamba-Nya.”
“Ooo..baru aku
faham sekarang. Terima kasih, Ira.” ucap Anis tersenyum manis. Terdapat riak
kelegaan di wajahnya yang cerah itu.
“Sama-sama. Satu
lagi aku nak tambah, semuanya terpulang kepada kita untuk mencorakkan hidup
kita. Tepuk dada, tanya selera. Aku hendak kongsikan satu hadis yang aku baca
semalam; Pada hari kiamat kelak, tiada datu perkara pun pada timbangan amal
orang Mukmin yang lebih berat dari akhlak yang mulia.”
“Jadi, kita kenalah
hiaskan diri dan hidup kita dengan akhlak-akhlak mulia seperti tabah,
berfikiran positiif dan sabar. Jangan mudah putus asa apabila menghadapi
sesuatu ujian. Memang, kadang-kala kita rasa begitu lemah dan tidak mampu
menanggung beban itu tapi kau kena ingat Anis, Allah sentiasa bersama-sama dengan
hamba-Nya yang sabar.” Zinnirah menambah lagi. “Jangan lagi kau ada fikiran
negatif macam tadi. Berdosa sebab kau tidak meragu-ragukan takdir Allah.”
“Ambil iktibar dari
kejadian daun. Macam-macam kita boleh pelajari dari setiap ciptaan Allah kalau
kita memahami apa yang tersirat dari kejadiannya. Letakkan penggantungan yang
tetinggi terhadap-Nya.”dia menambah lagi.
“Maafkan aku, Ira.
Aku lalai. Aku lupa pada janji-janji Allah. Bisikan syaitan lebih menguasai
jiwa aku berbanding dengan kata-kata Allah. Terima kasih, Ira kerana mengingati
diri aku yang mula alpa. Kau sememangnya sahabat aku dunia dan akhirat.” kata
Anis. Titik-titik mutiara mula terbentuk di tubir matanya itu. Zinnirah meraih
jari-jemari Anis dengan segera lalu digenggam erat.
“Sekalah air mata
kau itu. Cukuplah kau sudah sedar dengan khilaf kau itu. Aku sekadar
menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang sahabat dan seorang Muslim. Kita
ni hamba yang lemah dan tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Jadikan apa
yang kita lalui sebagai pedoman dalam hidup ya, Anis. Jangan bersedih lagi.
Senyumlah sikit. Kau nampak comel bila tersenyum. Bila masam, macam mak nenek
tau.” ujar Zinnirah.
“Baiklah. Aku
senyum sekarang. Apa lagi, ambillah gambar aku sekarang. Aku kan comel. Allah mencipta
aku comel tau.” seloroh Anis sambil mengesat air matanya.
“Eh, kau ni. Riak
la pula. Pantang kena puji.” ketawa Zinnirah mendengar jawapan Anis. Terasa
lucu dengan perangainya.
“Terima kasih
sekali lagi. Bolehlah kau jadi ustazah lepas ni.” kata Anis.
“Hendak memberi
nasihat tak semestinya mesti ada title
ustazah. Sesiapa pun boleh bagi nasihat kerana kita mesti saling
ingat-mengingati antara satu sama lain.” kata Zinnirah dengan penuh makna.
“Jomlah kita
pulang. Hari semakin gelap. Tak elok anak dara keluar lama-lama.”
Dua teman baik itu
tersenyum dan mereka mula membuka langkah untuk pulang. Masing-masing memanjat
kesyukuran terhadap Ilahi.
0 comments:
Post a Comment