|
Oleh: ridhrohzai |
PAGI Isnin itu, aku ke pejabat seperti biasa. Selepas memakirkan kereta, aku bergegas masuk ke dalam bangunan pejabat. Ruang legar di ringkat bawah agak sesak dengan para pekerja. Pengawal keselamatan yang memakai tag nama Salman itu kusapa. Orangnya tinggi lampai dengan hidung mancung bak seludang. Wajah pula ala-ala pelakon Bollywood Arjun Rampal. Kacak bukan? Tapi maaflah, aku sedikit pun tidak terpesona dengan wajahnya itu. Kenapa? Kerana giginya rongak! Hahaha... Geleng kepala bila aku terkenangkannya.
Kad pekerja kulekapkan pada alat kecil yang dipasang pada pintu masuk ke ruang pejabat. Sistem sekuriti di sini agak canggih bagiku. Bayangkan setiap pintu yang terdapat di dalam bangunan ini dipasang dengan alat sebegitu. Bermakna setiap kali mahu buka pintu, aku harus melekapkan kad pekerjaku. Pastinya jika tidak punya kad tersebut, pintu tidak akan terbuka walau sekuat mana pun ditolak atau ditarik.
Senyuman kulemparkan tanda mesra pada yang lalu-lalang berhampiranku. Senyum itukan sedekah. Lagipun ia pemanis wajah. Tidaklah nanti dicop sebagai hidung tinggi. Lebih teruk lagi dikata perasan cantik. Eh, cantik ke aku? Tentulah! Siapa yang nak puji cantik kalau tak diri sendiri, kan? Membina keyakinan diri tu penting. Okey, ini salah satu kelemahanku, membebel. Harap sabarlah dengan kerenahku yang suka membebel perkara yang tidak sepatutnya ini ya.
Tapi aku tak anggap ia sebagai satu kelemahan malah aku jadikan ia sebagai satu kelebihan. Dengan kelebihan inilah aku mendapat ramai kawan. Dah dikurniakan mulut untuk bercakap, jadi silalah gunakan ia sebaiknya. Lagipun kalau senyap aja, nanti digelar kera sumbang pula. Ish, aku bukannya orang yang boleh hidup sendirian. Diam-diam buat kerja tanpa ambil tahu keadaan sekeliling.
Oh, tak bermaksud aku ni suka jaga tepi kain orang ya. Em... Adalah sikit. Tapi kadang-kadang, bukan selalu. Dah lumrah manusia, gosip-gosip ni biasalah. Apatah lagi di pejabat. Di mana-mana aja dapat dengar segala macam khabar angin puting-beliung. Aku suka mendengar tetapi untuk mempercayainya, belum tentu. Padaku, sesuatu yang berlaku itu perlu ada fakta dan bukti, baru aku percaya. Hah, tengok tu, aku membebel lagi. Maaf ya.
Sejurus pintu dibuka, aku melangkah ke arah lif. Hanya ada aku seorang yang menunggu lif turun ke tingkat bawah. Beberapa saat menanti, lif tiba. Kosong, tanpa sesiapa. Aku menapak masuk lalu menekan butang dua. Sebelum pintu lif tertutup sepenuhnya, ada kasut yang menerjah masuk menyebabkan pintu lif terbuka semula.
“Maaf,”
Aku terpana! Seorang lelaki berkemeja biru gelap menyapa pandanganku. Suaranya yang hinggap ke telinga kubiarkan tanpa balasan. Aku tergamam melihat wajahnya tiba-tiba. Serentak, darah terasa mengalir laju ke jantung. Masa pula seakan terhenti seketika.
“Cik?”
Tegurannya membuatkan aku tersentak. Ya Tuhan... Malunya aku! Pantas aku menundukkan wajah. Sempat kulihat lelaki itu mengukir senyum. Muka terasa hangat. Pastinya sudah kemerah-merahan.
Lelaki itu menekan butang satu. Pejabatnya terletak di tingkat itukah? Pintu lif terbuka menandakan destinasi lelaki itu sudah tiba. Usai sahaja pintu lif tertutup, aku rebah terjelepok ke atas lantai lif. Malu, sangat malu! Kenapa aku boleh menatap wajahnya sebegitu rupa? Kacakkah? Entah, aku tidak tahu definisi kacak itu bagaimana tetapi padaku lelaki itu cukup kacak.
Wajahnya coklat namun cerah. Rambutnya pula panjang dibelah tengah namun disisir kemas. Bibirnya mungil. Merah. Hidungnya tidak bulat dan tidak pula mancung. Sedang-sedang sahaja tapi cukup terletak. Keningnya lebat dan matanya... Ah, mata itu yang membuatkan aku terpaku seketika. Agak sepet tetapi anak matanya berwarna coklat perang. Ya, coklat perang. Kacukan mungkin.Yalah, orang Malaysia inikan, anak matanya berwana hitam. Kalau yang berwarna tu semua tiruan. Kanta lekaplah katakan.
“Second floor.” Suara siapakah itu? Oh, lif yang bersuara rupanya. Aku bingkas bangun seraya membetulkan baju kurung Pahang yang tersarung di tubuh. Tudung juga kuusik sedikit, sekadar merapikan.
Aku terus melangkah laju sejurus keluar dari perut lif tersebut. Arah kaki tidak terus ke pejabat tetapi ke tandas. Perasaan hati perlu ditenteramkan terlebih dahulu. Bertenang Yusfira, bertenang...
* * * * *
“ASSALAMMUALAIKUM, selamat pagi semua,” sapaku usai berada di tandas lebih kurang lima minit lamanya.
Salamku dijawab serentak oleh rakan-rakan sekerja yang sedang membuang pandang ke arah monitor komputer masing-masing. Aku meletakkan beg tangan ke atas meja lalu melabuhkan punggung ke kerusi empuk dengan kusyen warna kelabu itu.
“Eh, nampak pucat aje, tak sihat ke?” tegur Zaza, wanita yang duduk disebelahku.
Aku tersentak sedikit. Ketara benarkan perubahan di wajahku sehingga wanita itu dapat mengesannya? Ah, takkanlah rasa gemuruhku masih belum hilang. Ternyata, kata-kata Zaza tadi menarik perhatian rakan-rakan yang lain. Serta-merta aku menjadi tumpuan.
Zaza, atau nama sebenarnya Zaharah merupakan wanita pertama yang menjalin hubungan persahabatan denganku di pejabat ini. Berumur 32 tahun dan sedang mengandung anak kedua. Orangnya sederhana tinggi dengan kulit yang sedikit cerah. Jika yang melihat wanita itu buat pertama kali, pastinya tidak menyangka yang dia berumur awal 30-an.
Iyalah, susuk tubuh dan wajahnya masih kelihatan muda. Masih teringat kali pertama aku memanggilnya dengan panggilan kakak. Terus dijawab begini, “Eh, I muda lagi tau. Tak payahlah ber ‘kakak’ dengan I, panggil Zaza aje. Kan lebih mesra,”
Hah, begitulah. Mungkin rahsia awet mudanya adalah kerana sentiasa menguntum senyum di bibir. Ditambah dengan sikap peramahnya, menjadikan dia disenangi ramai.
“Cuaca sekarang memang tak menentu. Sekejap hujan, sekejap panas. Sebab tu senang sakit,” ujar seorang gadis comel yang memakai tudung dari selendang corak garis melintang rona merah jambu.
Fiza atau nama penuhnya Hafiszah adalah gadis yang umurnya setahun lebih muda dariku. Bentuk tubuhnya sedikit berisi tapi itulah yang membuatkan dia nampak comel. Namun, mulutnya mengalahkan bertih jagung. Sekali bersuara, seakan tidak mahu berhenti. Dialah yang paling bongsu antara kami di sini. Dan apabila menjadi yang bongsu, tentulah manja sikapnya.
“Ha’ah, adik-adik Wawa dekat rumah tu pun kena batuk dan selsema,” sampuk Hasmawati, atau nama mesranya Wawa.
Wawa berumur 27 tahun, seorang yang tegas namun sangat penyayang. Tetapi awas, setiap patah kata yang keluar dari mulutnya itu ibarat bom jangka. Sekali disindir, pedihnya terasa menusuk hati.
Aku tergelak kecil dalam hati. Inilah antara beberapa orang rakan sekerjaku di sini. Rata-ratanya ringan mulut dan selalu menghiburkan hati. Biasanya unit kamilah yang paling kecoh dengan gelak tawa dan digelar unit satelit CNN kerana setiap gosip yang tersebar, pastilah unit kami yang mengetahuinya terlebih dahulu.
Akhirnya soalan Zaza padaku tadi dibiar tanpa jawapan. Masing-masing sudah mula membuka mulut bercerita. Unit ini memang tidak pernah sunyi seperti unit-unit yang lain. Banyak kali juga kami ditegur kerana terlalu bising tetapi teguran itu diambil endah tak endah sahaja. Seperti mencurahkan air ke daun keladi. Curahnya banyak mana air sekalipun, tetap tak akan bertakung di daunnya.
Tiba-tiba wajah lelaki itu terbayang di ruang mata sekaligus menghadirkan debar dalam hati. Entahlah, kenapa ada debar yang singgah. Selama ini, tak pernah pula ada debar bila melihat wajah lelaki-lelaki di unitku ini. Adakah bermakna kaum lelaki di unitku ini tidak kacak? Oh, tidak, ada yang iras Shah Rukh Khan lagi. Tapi, kenapa bila memandang pada seraut wajah itu, jantung ini terasa seakan mahu luruh dari tempatnya?
0 comments:
Post a Comment