PERKAHWINAN adalah fitrah semula jadi manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan memberi kasih. Namun begitu, ramai yang sering terlupa bahawa pemilihan jodoh amat dititikberatkan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya
(kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya dan kerana pegangan agamanya.
Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).
(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).
Bagi mereka yang merancang mendirikan rumah tangga, aspek pemilihan jodoh yang tepat berupaya menjadikan perkongsian hidup dengan pasangan kelak baik atau sebaliknya.
Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah. Apa gunanya sekiranya kehidupan selepas berumah tangga menjadikan diri lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah.
Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah? Dengan mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak yang baik serta dapat menjadi contoh teladan kepada anak.
Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumah tangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.
Ramai mengimpikan kehidupan rumah tangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumah tangga itu?
Adakah dengan kekayaan kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia?
Lihat saja berapa banyak sebenarnya kes perceraian berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang mempunyai kemewahan hidup?
Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya?
Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumah tangga.
Antara ciri isteri solehah adalah apabila dia taat kepada Allah, Rasulullah dan suaminya.
Selain itu, dia menjaga solat lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya.
Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumah tangga adalah isteri yang solehah.
Suami yang soleh juga adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah dengan tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan.
Suami perlu banyak bersabar, selain menunjukkan contoh yang baik serta memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.
0 comments:
Post a Comment