Sepatutnya, Itu Aku

Posted by Smat Goal Ent 2:18 AM, under | No comments






Dengan titis hujan, air mata turut turun berlinangan di pipi mulus Aisha. Sengaja dia berdiri di tengah hujan, kononnya mahu menikmati kesyahduan yang menebal di hati saat iu.

Perasaan ditimpa air hujan tidak membawa sebarang perubahan yang ketara pun. Tidak seperti yang selalu dihebohkan di dalam buku cerita cinta. Sejuk, basah dan menyusahkan. Hati Aisha tidak berubah menjadi lebih tenang. Sebaliknya, gadis itu terasa bodoh.

Diangkat kaki yang sudah lencun, sama seperti bahagian lain tubuhnya untuk kembali ke bilik.

Sakit, memang sakit. Luka yang tidak nampak di hati itu yang buatkan Aisha rasa sungguh terseksa. Luka yang tidak nampak pada bahagian yang tidak mempunyai urat, itu yang mendera.

Lebih payah lagi bila Aisha tidak mampu menangis. Entah, mungkin kerana namanya yang bermaksud 'kehidupan yang gembira' yang membuatkan dia begitu. Ataupun sebenarnya dia sudah malas.

Bukan sekali ini hatinya remuk dek cinta tetapi kali berbeza. Kerana ini sepatutnya yang terakhir di mana dia yang akan meninggalkan orang lain. Penyudah cerita cinta ini sepatutnya bukan begini.

Tombol pintu yang terasa sejuk di kulit, diputar perlahan. Sunyi yang memenuhi ruang pengap empat dinding itu didakap mesra oleh Aisha. Terasa kecil dan kerdil sekali berdiri di tengah-tengah ruang berwarna biru pastel. Dalam gelap yang memenuhi setiap inci rumah, Aisha terduduk di muka pintu. Dia ingin menangis, mahu dilepas semua beban yang dikandung di dalam kalbu. Atau hati? Entah, Aisha tidak tahu. Dia cuma sekadar mengikut, mengulang sahaja kata-kata yang sering diulang cetak di dalam novel cinta.

Dia pasrah. Dalam deras hujan yang menimpa bumi, dia berserah. Siapa sangka, Aisha yang sedang menghidap barah otak ditinggalkan Aman terlebih dahulu. Dan dia tidak pernah sangka bahawa perit di hati buat Aisha begini. Jelas, Aman curi hati Aisha sehingga tidak berbaki. Curi dan kini tidak mahu dipulangkan. Bukan, tidak mampu untuk dipulangkan.

Tanpa mengangkat kepala, Aisha lihat sepasang sepatu milik Aman di depan matanya. Aman yang baru sahaja dikebumikan pagi tadi, berdiri di depan Aisha. Wajah pucat beserta darah pekat yang mengalir di dahi, tidak ubah seperti keadaan Aman saat dihantar ke bilik mayat. Keadaan selepas kejadian langgar lari pagi tadi. Motor Aman dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dan Aman tercampak ke dalam longkang besar.

Wajah pucat yang sememangnya milik Aman tersenyum pada Aisha.

Aisha tanggalkan kasut yang basah lalu melangkah ke dalam rumah. Kali ini, biar air pancuran yang bersihkan setiap inci tubuh Aisha, halau setiap debu toksik daripada tubuhnya.

Mulai hari ini, Aisha mahu berpakaian yang elok-elok dan bersolek cantik-cantik menanti kematian. Kerana kini, setiap saat dirinya akan ditemani bayangan Aman. Bayangan yang cuma Aisha sahaja nampak.

nota kaki: kanser otak boleh menyebabkan halusinasi visual.

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive