Mencari Adamku

Posted by Smat Goal Ent 3:13 AM, under | No comments



Oleh: MissClarks

Kenapa ya?

Malam tadi aku diganggu mimpi ketemu dia. Padahal dia bukan siapa-siapa. Aku tidak tahu siapa dia. Jauh sekali namanya. Tapi...sentuhan dia di pipi yang menyapu air mata aku terasa hangat. Bagai sudah bertahun kenal. Tiada bicara. Cuma bertukar pandang dan senyuman. Itu sudah cukup buat dia pujuk aku.

Seolah dia tahu aku begini.


Namun aku cuba untuk lupakan dia. Mama kata, dalam keadaan aku begini makhluk terlaknat senang saja menggoda dalam pelbagai bentuk. Mama mahu aku kuat. Bagaimana harus aku kuat kalau aku lihat mama sendiri tak keruan? Bagaimana harus aku kuat sedang aku lihat papa keluar ketika aku mengaduh kesakitan? Bagaimana harus aku kuat jika adik datang memberikan coklat dengan mata sembap?

Dua tahun lalu.

Detik pertama kali aku rasa manusia sebertuah aku menjadi malang. Umpama kau yang sentiasa gagal dalam ujian fizik tingkatan empat, tiba-tiba entah datang tuah dari mana dapat lesen juruterbang penerbangan antarabangsa tapi dalam tiga minit di udara kau dihubungi oleh ground control mengatakan lesen ditarik kembali kerana sekolah penerbangan kau tidak diiktiraf.

Aku rasa begitu.

Doktor kata masih boleh dirawat. Belum terlambat. Jadi aku ceritakan pada mama. Pada papa. Pada adik. Belum pada lelaki itu. Semua orang nampaknya menyokong aku. Tapi bila aku beritahu berita ini pada lelaki itu, dengan mudah dia hilang tanpa khabar berita.

Sejak itu aku bertangis. Tangis lagi walaupun aku tak perlu. Walaupun aku tahu kalaulah sejuta lelaki pergi dari hidup aku, yang tiga itu masih setia. sejak itu juga aku makin teruk.

Adik aku lelaki. tapi sebab dia ada aku sebagai kakak, jiwanya amat mudah tersentuh. oleh sebab dia ramai kawan perempuan (dia sentiasa tekankan mereka cuma kawan, bukan dia yang buaya darat) dia cepat memahami aku. Waktu lepas rawatan dia duduk sama aku. Waktu lepas mandi dia sarapan sama aku. Jujur aku beritahu, dia yang habiskan makanan hospital dan dia beri aku makan bihun goreng cuka yang mama kirim. Dia juga yang banyak kongsi rasa dengan aku.

Aku lelaki, kak. Aku tahu lelaki yang tinggalkan kau masa susah bukan lelaki yang baik.

Setitis air mata jatuh. Hati aku masih sakit. Kalaulah dia faham perasaan aku yang ingin disayangi oleh seorang lelaki... mungkin dia tahu kerana aku selalu mengadu sunyi. Rahsia yang dia dan aku simpan dari pengetahuan mama. Sebab dia sentiasa kata bahawa cinta aku akan datang juga, tak kiralah bila-bila atau mana-mana.

Tapi kau tahu kan aku macam mana?

Tahu.

Jadi? Aku tak banyak masa.

Kalau cinta tu tak ada di sini, mungkin dia sedang tunggu kau di syurga. Kau ada kerana dia ada. Kan hawa tu dari rusuk adamnya?

Oh? Begitu? Aku terlalu tenggelam dalam pedih hingga sudah lupa fitrah itu. Jadi setiap malam selepas solat aku pinta pada Tuhan. Tolonglah ketemukan aku dengan Adamku. Isikan satu ruang dalam jiwa aku yang sudah lama kosong ini.

Selepas tiga malam aku mula bermimpi tentang dia. Dan semalam adalah kali kelima. Dalam mimpi itu aku berdiri sama dia di tepi tasik yang luas. Indah... aku bebas berjalan. Tiada tiub biru yang ditebuk doktor di belakangku ini yang fungsinya untuk menyedut cecair yang memasuki paru-paru. Tiada IV drip terpasang di tangan kiriku. rambut tidak botak. Kulit tidak pucat.

Aku bagai aku dua tahun lepas.

Aku harap malam ini juga dapat ketemu dia. Dia ubat duka aku dengan hanya hangatnya renungan mata. Hiburkan aku dengan sinarnya senyuman dia.

Aku penat, adik. Aku tidur dulu. kalau kau datang pagi nanti bawakan aku susu coklat dan sandwich saja oke? Itu aku pesan dalam mesej teks untuk adik. Lalu aku pejam mata.



* * * * * *

Panggilan dari hospital bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga ini. Namun panggilan jam 5 pagi tadi cukup buat mama dan papa bertangis sedih.

Tuan, saya minta maaf. anak perempuan tuan sudah tiada. jam 4:58 pagi. Dia pergi ketika tidur. Tiada komplikasi dari kansernya.

Adik cuma membisu. Sewaktu menyiram air mawar, dia doakan kakaknya bertemu si Adam yang ditunggu-tunggu. Semoga kakaknya bahagia.

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive