Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka
sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh
abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju
itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh
mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh
abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah
abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak
yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air
matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan
sasanya.
Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan
terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah
abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan
membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam
tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang
buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah
menjauh memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan
buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi
abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang
buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa
abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah
abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang
datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya
mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata
tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak
tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku
sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak
terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana.
Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat
peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.
Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari
yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.
Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan
perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga
bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak
cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak
menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa
mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati
membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'.
Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak
akan ada lagi pembedahan untuk abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari
sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah
yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak
jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.
Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan
abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai
pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas,
abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang,
sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah
terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang
semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik
sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.
Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh
hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha.
Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.
Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana
dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"
Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak
mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan
lagi.
Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian
apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri
itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.
13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk
bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu
terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa
saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa
harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak,
abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke
rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab:
"Balai bomba!"
Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata,
abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu
kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik
baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu:
"Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'!
Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan
parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka
pintu salah satu trak bomba itu.
Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian
pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak
itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap
titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"
Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"
Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu
pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan
sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak
angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk
pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang
lama-lama. Sedih agaknya.
Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan
yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun
abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti
dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung.
Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada
permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam
abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu,
air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan
itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari
walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami
tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin
suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun
terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil
memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke
hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin
akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak
mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus
ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung
di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di
sampingnya pada saat terakhir!"
Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada
hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang
melawat.
Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak
ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek
berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang.
Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga
rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum
ini.
Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di
dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor
menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria,
wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang
membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah.
Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.
Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang,
bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu
meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam
bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat.
Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis
teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu
abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak
pergi.
"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia.
Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang
pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun
seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan
ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi
selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di
dunia
Abang pada tahun 2007.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua
anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah
kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap
menarik nafas.
Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan
minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.
Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak
suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan
tangisnya.
Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang
keluar berjalan-jalan.
"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin
minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu
keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum
seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar
matahari tu? Cantikkan?"
Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di
celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian,
abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang
terlentuk semula pada bahu mak.
Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah
dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas
meja."
Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!
Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang
terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"
Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang
perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi
abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi.
Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang.
Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"
Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata
abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak
agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang
bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari
bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan
tangisan kamu!"
Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang
lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan
berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut
menjemput abang.
Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk
meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah
menahan suara tangisannya.
Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh
jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak
tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga
air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan..
pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat,
genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana
ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang:
"Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti
jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak
menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang
akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak
tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak
langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.
Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya,
sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak
seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya
tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya
pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang.
Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat.
Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan
kosong tanpa abang ta[i... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat
terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak
bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu
akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap,
jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri
pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua
bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati'
apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor
mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata
anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan
kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
0 comments:
Post a Comment