Setia ku korbankan

Posted by Smat Goal Ent 6:19 AM, under | No comments




“Rinduku embunan di lautan, Cintamu debunga di awanan”

   Belumpun sebulan usia pernikahanku dengan Muharram, aku dikejutkan dengan berita yang dia terpaksa dipindahkan ke Sarawak, menggantikan rakan sejawatnya yang terpaksa ditugaskan ke Dubai. Tuhan, belum puas aku dimanjakan dengan sayangnya sebagai suamiku yang sah. Belum puas juga aku membajai rumahtangga kami ini dengan sayang seorang isteri. Dia akur dengan permintaan majikannya itu, apatah lagi aku yang tidak punya hak untuk menghalangnya ini. Berat mata yang memandang, berat suara mak long yang cuba menghalang Muharram, berat lagi bahu aku yang menggalas bebanan perpisahan ini. Muharram berat hati meninggalkan aku, aku tahu semua itu namun tuntutan tugasnya lebih penting bagiku. Biarlah…biarlah suamiku itu pergi…

   “Abang akan balik tiap-tiap minggu”. Itu janjinya padaku ketika aku menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa  Kuala Lumpur. Mulanya aku tidak ingin mengikutnya ke lapangan terbang, bimbang aku berat untuk melepaskannya nanti, namun setelah penat dipujuk Mak Long, aku turuti jua. Air mataku mengiringi pemergian Muharram ke Sarawak. Aku tahu, bukanlah jauh mana pun kami terpisah. Namun entah mengapa hati ini begitu berat untuk meredhai pemergiannya. Entah mengapa bergelodak rasa enggan melepaskan ketika aku menyalami tangannya untuk kali terakhir itu. Kucupan sayangnya di dahi ini pun serasa bagai satu kucupan terakhir bagiku. Ah, hati…janganlah engkau menyesakkan bahagiaku ini…

   Kini sudahpun sebulan pemergiannya ke Sarawak. Janjinya untuk pulang setiap minggu hilang entah ke mana. Aku tahu dia sibuk, namun sedaya upayanya juga cuba menghubungiku setiap hari. Puas aku berkata padanya, jangan menelefonku jika dia tidak berkesempatan, namun dia tegar terus menelefonku. Aku tahu, tindaknya itu hanya untuk memadamkan rasa bersalahnya kerana tidak mampu menunaikan janjinya padaku dulu. Aku akui, Muharram adalah suami yang layak untuk aku banggakan. Kepulanganku ke Malaysia disambut dengan rombongannya menghantar cincin untuk pertunangan kami. Tidak lama selepas itu, kami diijabkabulkan dalam majlis yang sederhana, cukup sekadar untuk mengkhabarkan pada orang kampung yang aku sudahpun bergelar isteri orang. Tiada majlis persandingan, tiada kompang yang dipalu, hanya sebuah kenduri kesyukuran yang dihadiri sanak saudara ku di kampung. Mak Long ku lihat paling bahagia hari itu. Mana mungkin tidak bahagia, dia yang mengambil alih tugas ummi dan abuya menjagaku setelah ketiadaan mereka. Terima kasih, Mak Long…

Bunyi telefon, dengan deringan ‘Cinta dan Harapan’ nyanyian Firdaus mengejutkan aku dari lamunan. Lagu itu kata Muharram adalah lagu tema cinta kami berdua. Sengaja dia meletakkan bahagian chorus lagu itu sebagai deringan khas baginya. Aku tersenyum, meskipun kelat.

   “Assalamualaikum permata yang dicari…” suara itu..ah, aku terlalu rindu…

   “Alaikumussalam…” serentak itu, air mataku mengalir.

   “Sayang menangis lagi…” Muharram melepaskan keluhan kecil. Aku hanya membalasnya dengan esakan kecil.

“Dalam dada, ada bara cinta yang menyala. Dalam cinta, ada kita berdua…tiada siapa bisa merungkai rindu di jiwa. Dengan iman…dapat kita membendungnya…” suara Muharram mendendangkan lagu itu menyentuh gegendang telingaku. Aku kembali tersenyum.

“Sayang abang dah senyum…kan?” Muharram bersuara lagi.

“Abang…”

“Abang mintak maaf.” Muharram memotong kata-kataku.

“Abang tahu, abang janji nak balik setiap minggu. Tapi kerja kat sini banyak sangat. Sabar ya, sayang…abang akan balik jugak nanti. Waktu tu, abang takkan tinggalkan sayang lagi. Abang tahu, Fasehah ralat melepaskan abang datang sini. Tapi abang terpaksa. Abang mintak maaf. Abang tak sanggup tengok sayang sedih macam ni.” Muharram mengeluh lagi. Ya Allah, terdetik rasa bersalah kerana melahirkan rasa susah hatinya itu. Ampunkan aku, Tuhan…

“Abang, Faseh bukan nak cakap tentang tu. Faseh tak kisah abang nak gi sana berapa lama pun. Faseh tak nak abang terus-terusan rasa bersalah macam ni. Abang nak Faseh pindah sana?” aku cuba bergurau, membangkitkan ketawanya, namun gagal. Dia hanya mengeluh lagi.

“Abang tak nak susahkan sayang. Urm, sayang, bos abang panggil. Nanti abang call lagi. Assalamualaikum.” Baru saja aku ingin berpesan padanya agar tidak perlu menelefonku, dia sudah mematikan penggilan itu. Aku termenung kosong memandang telefon bimbitku, hadiah perkahwinan darinya itu. Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan suamiku di sana…amin…

   Malam itu, dia menelefonku lagi sehingga lewat malam. Tidurku diulit oleh suaranya yang menyanyikan lagu ‘Cinta dan Harapan’ sehingga tamat. Aku tidak pernah puas memintanya agar menyanyikan lagu itu padaku kerana aku yakin, itu adalah luahan hatinya kepadaku. Sebelum ini pun, dia pasti menyanyikan lagu itu padaku sebelum aku memejamkan mataku. Sudahnya, pasti aku terlena berbantalkan lengannya. Katanya dia suka bila aku tidur di lengannya, meskipun adakalanya dia lenguh menahan beban kepalaku. Namun, dia bahagia. Kini, tiada lagi lengannya untuk dijadikan bantal. Abang, Faseh rindu…



   Awal pagi itu, usai melakukan solat hajat dan bebearapa solat sunat yang lain, aku tidak mampu memejamkan kembali mataku. Lantas aku mencorak langkah ke perpustakaan mini, tempat Muharram sering menghabiskan kerjanya sewaktu dia masih di rumah ini. Cadanganku hanya untuk mengemaskan tinggalan dokumen yang ditinggalkannya. Terlalu lama aku tidak memasuki perpustakaan mini ini, yang Muharram inspirasikan kerana rumah kami masih kosong katanya. Hanya setelah kami mempunyai zuriat barulah dia akan menggantikan perpustakaan itu dengan kamar tidur. Kalau sebelum ini, aku sering menemaninya di sini, sehingga aku tertidur kerana dia terlalu asyik menyudahkan kerjanya yang tertangguh dari tempat kerjanya. Ah, terlalu banyak bayangan Muharram di sini. Sungguh, aku sangat rindukan kehadiran suamiku itu…terasa bagai baru semalam dia pergi, sedangkan telah 6 bulan dia meninggalkan aku di sini…

Emel yang aku terima dari Fai dan Faqih semalam sedikit sebanyak menghiburkan aku. Mereka kini sedang bahagia di Plymouth, tempat Fai menyambung sarjananya yang tertangguh. Kata Fai, Faqih kini telah betah mengasuh putera sulung mereka, Firas Faiq. Sudah bergelar ibu pun sahabatku yang seorang itu. Aku entah bila kan lagi…Fai ada mengirimkan potret mereka sekeluarga. Sungguh, wajahnya nampak lebih matang berbanding dulu. Aku bersyukur atas kebahagiaan sahabatku itu, walaupun dulunya aku terpaksa mengorbankan perasaan ku sendiri. Ah. Aku tidak menyesal melakukannya kerana jika tidak, tidak pula aku dikurniakan seorang suami sebaik Muharram ini…

Dokumen yang berterabur di meja tulis aku susun rapi. Aku pun tidak menyangka Muharram akan meninggalkan bilik ini dalam keadaan yang tidak tersusun. Mana-mana kertas yang berteraburan di lantai aku kutip dan ku satukan di dalam fail kosong yang diletakkan di dalam rak buku. Sejenak, aku terpandang sepucuk surat tulisan tangan yang terselit di tengah-tengah kertas yang bertaburan sebentar tadi. Nafasku tiba-tiba sesak membaca bait-bait ayat surat itu…

Assalamualaikum Muharram…(or should I call you Am?)

I know, this is not the right time for me to write this letter to you. Your wife might just find this letter in your house, right? But I don’t want to hold on to this any longer. Dah lama I tunggu peluang ni nak cakap ngan you, but you keep on running away from me. I dah penat. (or should I call myself as ‘ana’?) sorry, I tak biasa cakap arab macam you. Alah, masa kita kat kolej dulu pun you takde pun nak cakap ‘ana’ ‘nti’ masa cakap ngan I. Sebut tentang kolej, dan terlanjur pulak you dah kerja dengan father I (which I will take over now), I nak tanya something kat you. Why on earth did you leave me back then? You janji nak tunggu I balik dari Japan, tapi last-last, bila you masuk UIA, you jumpa entah perempuan mana, you nikah dengan dia? I ni you nak campak mana? Berapa lama I tunggu you, Am? You dah janji you nak nikah dengan I bila I balik from Japan. Tapi hancurnya hati I ni bila papa cakap you dah kahwin dengan perempuan mana ntah. Perempuan kampung pulak tu! Anak yatim! Apa nak jadi dengan you ni, Am? Bila I tanya papa, papa cakap you bagitau dia sebab I tinggalkan you lari gi Japan. Hello, you yang galakkan I sambung study I kat Japan. You yang cakap, you nak I further study I, so that you pun leh sambung you punye master kat Malaysia. Konon tak nak tinggal Faqih. Si Faqih tu pun satu, kahwin tak bagitau I. I pun tak tau sejak bila kawan-kawan I ni dah jadi ustaz. Sejak bila you ni dah mula pakai kopiah. I know, I ni tak layak untuk you. Tapi you janganlah hina I sampai macam tu sekali. Mama ngan papa dah tau tentang hubungan kita, tau? Satu kampung dah tau I dengan you ni dah nak kahwin. Apa guna kita bertunang dulu, Am? Sekarang, papa suruh I pindah Sarawak, jaga branch kat sana. No way I pergi sorang-sorang, Am. I dah suruh papa pindahkan you jugak. Safuan yang kat sana tu I dah transfer kan ke Dubai. So that I can be there with you. :senyum:…jahat kan I ni? Tapi you lagi jahat. Sebab you buat I macam ni. You buat I separuh gila! It’s revenge time, Am. You tengoklah nanti apa yang I akan buat pada wife you. I can do more than what you have done, Am. Mama masuk hospital sebab terkejut sangat dengar berita you dah kahwin. You’ll have to pay for that, Am. YOU WILL!

                  Do you still remember these words:
   A beautiful rose for a beatiful person…Nana…(Your beautiful rose)

   Astaghfirullahal a’zim…terduduk aku tatkala surat itu ku baca. Air mata yang ku tahan jatuh satu persatu, tidak tahu siapa yang harus aku percaya. Wanita ini nampak terlalu tekad untuk membalas dendamnya. Ya Allah, sungguh aku tidak tahu Muharram telahpun berpunya! Sungguh aku tidak tahu Muharram pernah bersama wanita lain! Sungguh…

Telefon tanganku berbunyi minta dijawab, kali ini bukan deringan khas untuk Muharram…

   “Assalamualaikum. Puan Fasehah?” suara perempuan! Ah, mungkin pelangganku…aku cuba menyedapkan hati sendiri…

“Alaikumussalam. Ya, saya Puan Fasehah. Boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap?” aku cuba bertutur tenang, air mata yang laju mengalir ku usap perlahan. Surat yang hampir hancur digenggamanku, aku campak ke tepi. Tak sanggup aku memandang tulisan itu lagi.
“Saya…Nana.” Aku tersentap. Terasa darah berhenti mengalir. Terasa jantungku berhenti berdegup. Serta merta duniaku terasa kelam. Ya Allah, berikan kekuatan pada hambaMu ini…Abang,tolong Faseh…

“Puan…” suara itu menyedarkan aku. Aku berdehem kecil, cuba memberitahunya yang aku masih di talian. Dia ku dengar melepaskan keluhan kecil. Terdengar sayup suara lelaki di hujung corong talian. Suara itu…seperti pernah ku dengar…

“I dah bernikah dengan Muharram, siang tadi.”



“Abang penipu!” aku cuba menjarakkan diriku dari Muharram. Sejurus selepas Nana menghubungiku 2 minggu lepas, Muharram terus saja pulang ke rumah.

“Sayang, dengar dulu…” Muharram masih belum putus asa cuba menenangkan aku. Ya Allah, sungguh..berikan aku kekuatan…

“Jangan panggil Faseh sayang! Faseh tak suka dengar perkataan tu dari mulut abang!”

“Sayang…”

“Faseh cakap jangan panggil Faseh sayang!” aku membentak lagi. Muharram terdiam, dia terduduk di sofa panjang itu. Sofa biru yang aku pilih semata-mata kerana dia menyukai warna itu…

“Faseh tak faham…” ayatnya berhenti di situ. Entah dari mana lahirnya perasaan benci pada kata-kata itu. Hilang rasa rindu yang menebal di dalam hatiku sebelum ini. Wajah Muharram pun tidak sanggup aku pandang.

“Abang terpaksa…” dan dengan kata-kata itu, Muharram meninggalkan aku sendirian di situ…bayangnya kian lama kian hilang, pergi bersama-sama esakan ku yang semakin mendiam…aku bisu, tuturku sudah berbunyi kelu…abang, sampai hati abang! Serentak dengan jeritan hatiku itu, ada pesanan ringkas yang menjengah telefon bimbitku…

‘Faseh sayang, abang terpaksa. Tolonglah faham keadaan abang. Abang nak terangkan, tapi Faseh tak nak dengar. Sampai bila kita nak macam ni? Esok abang dah nak kena balik Sarawak. Tolonglah, sayang…kita berbincang dulu. Bagi abang peluang menjelaskan keadaan abang.”
Inikah dugaan yang ku terima
Mencintaimu sepenuh jiwa
Untuk bersamamu kesabaran membakar fikiran…

   Pertemuan aku dengan Muharram hari tu, tidak semesra selalu. Aku tahu aku berdosa melakukan begini pada suamiku sendiri. Aku juga tahu, redha Allah untukku kini ada pada redha Muharram. Tapi hati perempuan mana yang mampu menerima madu sepahit hempedu yang dia berikan padaku ini? Inikah hadiah ulang tahun kelahiranku tahun ini? Abang…Faseh terseksa, tapi Faseh tak nak abang rasa bersalah…Faseh masih sayangkan abang…

   “Faseh…” suara Muharram kedengaran asing di telingaku. Aku memandangnya, membalas panggilannya dengan satu keluhan kecil.

   “Abang tak tahu semua ni akan jadi macam ni…” dia cuba meraih tanganku, namun aku mengelak. Aku tunduk…abang, Faseh tak nak abang pegang Faseh hari ni…maafkan Faseh…

   “Nana pun tak sangka akan jadi macam ni…” abang tipu…Faseh dah baca surat Nana…

“Malam tu, kami baru lepas meeting. Yang tinggal dalam office tu, abang dengan Nana je. Tapi kami tak buat apa-apa pun…” abang…abang yang menipu atau Faseh sedang buta?

“Tiba-tiba ada serbuan. Abang tak tahu dari mana diorang dapat berita yang kami ada dalam office tu. Malam tu jugak papa Nana datang Sarawak, dan dia nikahkan kami.”

Pedih! Aku pedih mendengarkan ayat itu. “Dan dia nikahkan kami”…seolah-olah tiada penyesalan dalam ayatnya itu. Bukankah abang seharusnya mengkhabarkan berita tu pada Faseh terlebih dahulu? Kenapa abang dayus malam itu?

“Abang tak nak jadi dayus. Abang tak nak Nana tanggung semua tu seorangan. Abang pun salah jugak masa tu. Sepatutnya abang dah balik, ikut kawan-kawan abang yang lain. Tapi, abang nak siapkan kerja abang…abang tak tahu Nana ada jugak masa tu…” ringan saja kaki ku untuk bangun melangkah pergi ketika itu, namun kewarasan yang masih ada membataskan gerakku. Aku diam. Lama aku begitu, dia menyambung bicara…

“Lagipun Nana tu bekas tunang abang…” nah, akhirnya abang mengaku!

“Abang putuskan pertunangan kami sebab abang meminang Faseh…” abang, cukuplah…cukup!
“Waktu tu, Faqih yakinkan abang yang Faseh sangat baik…abang akui, memang Faseh sangat baik…malah terlalu baik untuk abang…abang ni banyak kekurangan, Faseh…abang bukanlah sebaik Faqih, atau setanding Amin Idris, pemimpin Faseh dulu…abang...”

“Kalau abang terus-terusan macam ni, Faseh nak balik. Ni bukan nak selesaikan masalah. Abang hanya nak Faseh terima segalanya,kan? Faseh dah terima. Faseh redha dengan tindakan abang. Sekarang ni, abang baliklah Sarawak. Nana tengah tunggu abang kat sana,kan? Lagipun Faseh dah biasa ditinggalkan.” Tuturku beralun tegas. Muharram tersentak memandangku.

“Dan satu lagi, bang…Allah tak pandang masa silam hambaNya. Allah hanya melihat hari ini, dan hari akan datang. Kalau abang rasa abang ni bukan yang terbaik untuk Faseh, atau Faseh ni terlalu baik untuk abang, maknanya abang mempersoalkan takdir Allah. Dia yang satukan kita. Dia yang tentukan Faseh akan bernikah dengan abang. Kalaupun Faqih tak yakinkan abang, kalau dah takdir Faseh ni milik abang, Faseh tetap akan nikah dengan abang. Kenapa abang nak bergantung pada Faqih? Abang tak pernah buat istikharah?” soalan itu laju sahaja terbit dari mulutku. Muharram terkulat mendengarnya. Dia tertunduk. Mungkin cuba mencari jawapan pada soalanku itu.

“Abang masih cintakan Nana…”

Dengan ayat itu, aku menyalami tangannya, dan terus berlalu meninggalkannya. Biarkan aku pergi, Muharram..aku sudah terlalu terluka!


   Semalaman aku berjaga, bermunajat pada Allah. Tidak pernah aku rasakan kasihNya sehampir begini. Saat ini, terasa seolah-olah Dia begitu hampir denganku. Seolah-olah Dia mendengar dengan teliti apa sahaja keluh kesah dan doa yang ku panjatkan. Di saat ketenangan aku dambakan, Dia hadir membawa lebih banyak ketenangan dari apa yang aku inginkan. Di saat aku lemah, Dia hadir memberikan ku begitu banyak kekuatan yang tidak pernah aku sangkakan. Aku fikir aku akan rebah pada dugaan kali ini, aku fikir istana yang aku bina bersama Muharram ini akan musnah, namun sangkaku berbalas dengan rasional yang benar. Dia benar-benar telah meyakinkan aku…terima kasih, Tuhan…

‘Abang, biar apa pun, abang tetap suami Faseh. Dan Faseh tetap isteri abang. Abang jaga diri baik-baik di sarawak nanti. Faseh mohon abang restu tiap langkah Faseh sepanjang abang di sana nanti…sampaikan salam Faseh pada Nana. Katakan padanya, Faseh pesan, “Jaga abang baik-baik”…salam sayang, Fasehah’

   Air mata ku mengiringi hantaran pesanan ringkas itu. Bukannya aku tidak tahu, ujian Allah hanya hadir pada sesiapa yang mampu sahaja. Jika aku tidak mampu menggalas asakan ujian ini, masakan Allah mengujiku sebegini rupa. Dan bukan jua aku tidak tahu, Muharram bukanlah milik mutlak aku. Dia masih milik Allah. Dan Allah jualah yang berhak menentukan hidupnya sedemikian rupa. Mungkin benar dia tidak pernah berniat untuk memadukan aku. Biarlah…aku doakan dia bahagia di sana…bersama madu ku…

Abang…
Dalam dada, ada bara cinta yang menyala
Dalam cinta, ada Faseh dan abang
Tiada siapa bisa merungkai rindu di jiwa
Dengan Iman, dapat kita membendungnya…

Abang, Faseh rindu…


 oleh Munaliza Ismail »

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive