Bahagia itu milikku jua akhirnya

Posted by Smat Goal Ent 6:13 AM, under | No comments


Bibir tak perlu lagi berbicara…bila hati telah mula berkata-kata…
Aku cinta padamu…

  
   “Ana nak jumpa nti malam nanti di blik gerakan.” Tegas suaranya di telingaku. Sedetik itu, hatiku bersuara, siapa dia untuk memberikan kata berbaur arahan padaku? Dia bukan Presiden yang ku hormati, dia juga bukan ahli Exco yang mengepalai biro di mana aku ditugaskan.

   “Nti dengar tak?” ah, suara itu lagi.

   “Ana dengar.” Ringkas jawapanku, mengharapkan dia terus menamatkan panggilan itu.

   “Kita jumpa malam nanti.” Serentak itu, tanpa salam mahupun kata tamat, dia mematikan talian. Aku termanggu, benarkah ini Faqih Sufiyyan yang aku kenali?

   Aku mengenali Faqih Sufiyyan bin Fauzi sewaktu aku masih di bangku sekolah. Dia antara mujahid yang disegani di sekolahku tika itu. Perjuangannya bersama sahabat-sahabat yang lain sangat dikagumi. Siapa yang tidak mengenali ahli usrah Ustaz Hadi. Nama-nama itu terus gah meniti di tiap bait bibir sesiapa sahaja yang berada di sekolah itu. Faqih Sufiyyan, Abu Khair, Khairuddin, Khairul Hidayat, Muharram…dan aku hanyalah seorang insan yang hanya mampu memandang mereka dari jauh. Bukan tidak pernah sahabat-sahabat ku yang lain mengajak aku menyertai mereka, namun tika itu, tidak pernah terdetik walau sekali di hatiku untuk bersama mereka, sama-sama memartabatkan syiar Islam di sekolah. Ah, aku masih terlalu muda waktu itu…masih terlalu naif…tambahan pula bila aku baru sahaja menjejaki sekolah itu. Setelah aku kehilangan umi dan abuya di dalam sebuah kemalangan jalan raya, aku dipindahkan ke sekolah ini oleh ibu saudaraku. Katanya aku perlukan pembaharuan. Katanya jua aku perlu mencari diriku sendiri yang telah hilang, bersama-sama perginya umi dan abuya. Tuhan…aku rindukan mereka…

   “Woi, mengelamun!” patung Patrick yang dibaling Fai, teman sebilikku mengenai kepalaku. Aduh…

   “Kau ni kan, Fai…memang takleh tengok orang senang…” Fai mengambil tempat di sebelahku.

   “Kau teringatkan sape, Faseh?”

   “Aku…aku teringatkan umi dan abuya…” serentak itu, air mataku gugur satu persatu…

“Isk…ni yang aku lomah ni. Den tak reti pujuk orang nangis ni. Kang aku panggil dak Faqih kang..” Tuhan, berderau darahku mendengarkan nama itu. Fai… air mata yang semakin laju mengalir aku sapu perlahan. Fai tergelak kecil dan aku hanya tersenyum memandangnya. Kalau bukan kerana Fai, sudah pasti aku tidak mampu tersenyum lagi.

“Tengok tu…asal aku sebut nama tu, mesti kau diam. Kau ni ada apa-apa ke ngan dak Faqih tu, Faseh?” Tuhan…nama itu lagi…

“Fai…cubalah kau usik aku dengan nama lain pulak…cuba kaitkan aku dengan Muaz ke…Dolah tu ke…Fiqri tu ke…”

“Yang tu sume tak pakai…Faqih je layak untuk kau”. Fai memotong ayatku. Dia ketawa lagi. Dan aku, entah buat ke berapa kalinya, terasa jantungku berdegup kencang…


“Ana tak reti buat semua ni.” Suaraku lemah. Dia hanya membisu memandangku.

“Ana tak kira. Ana nak nti siapkan malam ni jugak.” Ya Allah…kenapa perlu lelaki ini menemuiku…kenapa perlu aku mengenali lelaki ini…

“Ana cakap…ana tak reti…” aku merenung kosong skrin komputer di hadapanku. Faqih menyuruhku menemuinya di bilik gerakan untuk menyiapkan kertas kerja program anak angkat yang terbengkalai sekian lama. Walhal itu bukan tugasku. Aku hanyalah bendahari, yang tugasku hanya menguruskan bahagian kewangan. Air mataku mula mengalir. Ah, kenapa mesti waktu-waktu begini kau ingin membasahi wajahku?

“Eh, ana suruh nti buat kertas kerja tu. Bukan nangis.” Faqih mula bersuara cemas. Dia mundar-mandir di belakangku.

“Nta kan ada setiausaha…kenapa mesti ana…” aku menangis lagi. Entah kenapa air mata ini begitu murah kala aku berada di hadapannya. Luruh tembok ego yang aku pertahankan selama ini.

“Asma’ mintak ana cari orang lain. Dia sibuk dengan program lain.”

“Kenapa mesti ana…” soalan itu dia jawab dengan sebuah kebisuan. Dia mengeluh kecil. Aku mencapai telefon tanganku lantas dengan pantas nombor telefon Fai aku dail.

“Nti call sape?” aku tidak menjawab soalan itu. Pada Fai, aku memintanya agar segera ke bilik gerakan dan menemaniku. Bimbang jua akan fitnah yang bakal timbul andainya orang lain melihat kami di sini berdua. Isk, kenapalah dari tadi aku tak terfikirkan hal itu?

Belum pun sampai sepuluh minit seperti yang dimintanya, Fai sudah berada di hadapanku. Muharram, sahabat yang sentiasa bersama Faqih juga tiba serentak. Faqih berundur sedikit, menjauhi kami dan mendapatkan Muharram.

“Kau buat apa kat Faseh ni, Faqih?” Fai bersuara, garang. Faqih terkesima. Dia mungkin tidak biasa dengan perempuan sekasar Fai.

“Er…ana tak buat apa-apa pun.”

“Tak yah ana nti dengan aku. Aku tak biasa semua tu. Maaflah. Aku bukan dari stok sekolah agama macam korang ni. Tapi aku roomate Faseh. Dia takkan nangis kalau takde ape-ape. Ape yang dah ko buat ni?”

Hampir saja aku tergelak mendengar Fai memarahi Faqih. Tuhan, syukur aku dikurniakan sahabat seperti Fai…

   “Ana…eh, aku…urm…saya…” Faqih gagal menyusun ayat. Muharram berdehem kecil.

“Apa aku, ana, saya? Nak bercakap pun kau tak reti, macam mana kau nak jadi presiden ni? Aku dengar bukan main lagi nama kau bakal dinaikkan jadi presiden tahun depan. Apa yang dia suruh kau buat, Faseh?”

“Dia mintak aku siapkan kertas kerja…” aku menjawab perlahan. Terasa seolah-olah aku masih anak kecil di sisi Fai…Faqih memandangku, buntang…

“La…itu pun kau nak nangis? Kau ni pun satu, Faqih. Kau kan ada secretary kau sendiri. Buat apa kau nak kacau bendahari ni? Kau tak reti ke bidang tugas masing-masing?” Fai masih terus membebel bila dia menyuruhku bangun dari tempat dudukku.

“Setiausaha dia ada kerja. Tadi baru dia khabarkan pada Faqih melalui ana.” Muharram menjawab bagi pihak Faqih.

“Ha, dia ada kerja pastu kau nak kerjakan pulak bendahari kau?” Fai tidak mempedulikan ‘kesopanan’ Faqih dan Muharram.

“Fai…dahla tu…”

“Kau nak bela pulak jantan yang buat kau nangis ni?” eh, aku pulak yang kena marah?

“Nti nak buat apa?” Faqih bersuara, bila melihat Fai mula menekan papan kekunci di hadapannya.

“Aku pernah jadi setiausaha. Kalau roomate aku sampai nangis dikerjakan kau, jangan harap aku pun nak nangis sama. Aku tahu kau ni special di mata roomate aku ni. So, biarlah aku tolong dia tolong kau.” Jawapan Fai itu mengejutkan aku dan Faqih. Dia memandangku dan aku…aku memalingkan muka ku ke arah lain. Fai…kenapa kau cakap macam tu?

“Wei, takde masa nak buat drama ni. Bagi tau la apa objektif korang ni. Kau nak aku isi ape dalam paperwork korang ni?” dan suara Fai itu membuatkan kami sama-sama kembali memandang antara satu sama lain!


“Korang ni kelakar la!” Fai menghempaskan tubuhnya di katil. Dia ketawa lagi. Sepanjang perjalanan kami pulang ke blok asrama, tidak habis-habis aku ditertawakannya. Lewat juga kami pulang malam itu. Mujur ada Fai. Jika tidak, aku lah yang akan sengsara dipaksa menyiapkan kertas kerja itu. Syukur, Ya Allah…hujungnya, aku dapat melihat senyuman Faqih…senyuman yang bisa melemahkan iman wanita seumpamaku yang melihatnya…

“Dah la tu, Fai…dah semalaman kau gelakkan aku…” Aku akhirnya cuba meredakan tawanya yang masih belum berhenti. Telefon tanganku tiba-tiba berbunyi, menandakan ada mesej yang tiba.

‘Salam. Syukran jazilan. Sampaikan salam ana pada sahabat nti yang banyak menolong ana. Ana belum biasa dengan orang seperti itu. Ingin mengenalinya. Nti jadi orang tengah?’

Ringkas ayat itu, namun penuh maksud. Aku memandang wajah Fai yang keletihan. Benar, wajah itu memang istimewa…dia tidak seperti orang lain. Biarpun dia bukan dari sekolah-sekolah agama seperti kami, dia tetap menjaga batas auratnya dengan sempurna. Dia pandai membawa diri di khalayak ramai. Cuma dia terbiasa berbicara seperti itu dengan sesiapa sahaja. Dia anak bongsu, daripada tujuh adik beradik yang semuanya terdiri dari lelaki. Tidak hairanlah dia sedikit kasar jika ingin dibandingkan dengan perempuan lain. Aku menghormatinya kerana itu.

“Fai…” aku tidak jadi meneruskan kata-kataku bila memandang dirinya yang telah terlena. Mujur juga kami berhenti menunaikan solat Isya’ di masjid sebentar tadi. Aku membaca kembali mesej Faqih sebentar tadi. Entah mengapa, ada rasa gembira di sebalik kekecewaanku. Ah, aku mahu kecewa atas dasar apa? Gilakah aku ini?

‘InsyaAllah…ana sudi.’ Itu sahaja jawabku. Moga dia mengerti…

Ya Allah…Kau berilah hambaMu ini petunjuk dan inayahMu…lorongkan aku ke jalan yang benar…amin…


Hari itu kami tidak ke mana-mana. Aku hanya menemani Fai ke Jaya Jusco mencari baju untuk dihadiahkan pada ayahnya. Selepas itu, kami terus pulang ke asrama. Kata Fai, terlalu banyak tugasan untuk dia siapkan. Tibanya kami di bilik, ada sepucuk surat diselitkan di bawah pintu. Aku mengambilnya. Tertera dengan cantik tulisan khat di sampulnya, ‘Ukht Faizah Husna’. Tulisan khat ini…aku kira aku pernah melihatnya…baru sahaja aku ingin serahkan pada Fai, dia sudah berkata.

“Kau baca jelah. Pastu kau bagitau aku apa isinya. Aku sibuk.” Lantas dia terus duduk di hadapan komputer ribanya. Aku kelu, hanya memandangnya bisu. Tanganku laju membuka sampul surat itu. Aku membacanya sekuat hati, agar Fai mendengar…Ah, Faqih…

Assalamualaikum.
Ukhti, ana nak ucapkan terima kasih atas bantuan nti.
Ana tak pandai berkata-kata.
Ana nak mengenali nti lagi.
Ana harap nti sudi.
         Faqih Sufiyyan.

“Aku tak nak.” Ringkas jawapannya. Aku mengambil tempat di sisinya, cuba mencari kepastian.

   “Aku tak nak.” Diulang ayat yang sama seperti tadi. Aku masih diam memandangnya.

“Aku cakap, aku tak nak, Faseh. Kau bagitau dia aku tak nak. Aku tak nak.” Daripada getar suaranya, aku dapat menjejak rahsia di sebaliknya. Namun aku tidak tahu apa rahsia yang cuba dia sembunyikan. Ada air mata di hujung kata-kata itu. Fai…

“Aku tak nak, Faseh. Aku tak nak kenal lelaki macam tu. Cukuplah apa yang Zikri buat pada aku.” Akhirnya Fai bersuara. Aku menggenggam erat tangannya, cuba menenangkan dia.

“Zikri…”

“Zikri mainkan hati aku. Kau pun kenal Zikri tu orang yang macam mana. Dia pun sama macam Faqih. Orangnya sama seperti itu. Berkopiah, berbaju melayu ke mana saja. Tapi Zikri mainkan aku.” Belum sempat aku bertanya lanjut, dia sudah mula bercerita.

“Tapi mungkin Faqih takkan buat macam tu, Fai.”

“Ah, aku dah jelak dengan lelaki seperti itu. Cukuplah sekali.”

“Tapi aku kenal Faqih. Dia disegani di sekolah kami dulu, Fai. Dia baik.”

“Kau sukakan Faqih, kan?” aku terkejut dengan soalannya.

“Kau sukakan dia kan, Faseh?” aku diam.

“Kau nak aku berkawan dengan Faqih sedangkan kau sukakan dia, Faseh? Kau ingat aku ni kejam sangat ke?”

“Fai…kalau ya pun aku sukakan dia, dia sukakan kau, Fai.” Aku bersuara,lemah. Fai melepaskan tangannya dari genggamanku.

“Aku tak nak!” serentak itu, dia bangun meninggalkan aku.

Fai…


‘Ukht dah cuba pujuk dia?’ sms itu ku pandang bisu.

Faqih telah berulang kali menghantar mesej padaku, menanyakan Fai sedangkan sahabatku yang seorang itu telah hampir seminggu tidak bertutur denganku. Aku sendiri tidak tahu di mana silapnya aku. Surat yang Faqih kirimkan itu pun bukannya melalui aku, sebaliknya melalui sahabat usrahnya, Hayati yang kebetulan tinggal di bilik bersebelahan denganku. Fai masih tidak dapat menerima hakikat itu…hakikat yang Faqih terlalu ingin mengenali dirinya yang istimewa. Fai tidak pernah menyedari hakikat itu. Dia masih dibayangi kenangan silam yang mengheretnya ke lembah kekecewaan. Barulah ku tahu, Zikri terlalu kejam memainkan perasaannya. Di saat Fai mulai yakin dengan hubungan yang terbina, setelah Fai membawanya bertemu ibu dan bapanya dan setelah Zikri memperkenalkan Fai pada ibunya, Zikri mula menjauhkan diri. Mulanya Fai masih tidak bersangka buruk, sehinggalah ada perempuan yang menghubungi Fai, mengaku bahawa dia adalah tunangan Zikri. Hati mana yang tidak remuk dihadapkan hukuman seberat itu. Sedikit sebanyak, aku memahami jiwa Fai. Aku tahu, di sebalik kegagahannya, dia sebenarnya seorang wanita yang lembut…Fai…

Pada Faqih, telahpun aku khabarkan cerita itu. Bukan niat ku untuk membuka aibnya, tapi untuk memahamkan Faqih akan situasi Fai.

‘Ana tak kisah. Jika Zikri mengecewakan dia, ana ingin mengubatinya. Ana nak halalkan hubungan ana dengannya.’

Ah, mana mungkin Fai akan menerima Faqih semudah itu…hatinya remuk, jiwanya hancur. Aku pun pelik akan kesungguhan Faqih. Setahu ku ramai lagi yang mengkagumi lelaki ini (termasuk aku). Tapi mengapa Fai yang menjadi pilihannya. Mengapa tidak dicari sahibah-sahibah dalam perjuangannya? Mengapa tidak dicari sahaja rakan-rakan usrahnya yang sama-sama berjuang di landasan yang sama? Mengapa mesti Fai? Dan adakalanya, syaitan berbisik di telingaku…mengapa bukan aku? Astaghfirullah…

Hampir setahun perkara itu dibiarkan beku begitu sahaja. Hubungan aku dan Fai kembali seperti biasa, setelah aku janjikan padanya yang aku tidak akan lagi menyentuh tentang soal itu. Faqih pun telah kembali seperti biasa (aku harap). Kami di tahun akhir, bila sekali lagi, Faqih menghantar warkah pada Fai…sekali lagi, Fai memintaku untuk membacanya.

Assalamualaikum…
Bismillah…

Ukht,
Ana tahu, ukht pasti ingat ana dah lupakan tentang semuanya. Ana takkan lupa.
Samada ukht sudi atau tidak, ana akan hantar rombongan ke rumah nti sebaik selepas peperiksaan akhir nanti. Ana nak nti bersama ana, menjadi sayap kiri ana. Ana tekad, dan ana nekad. Nti istimewa di mata ana. Dan nti jawapan pada istikharah ana selama ni…

Ya Allah…
Faqih…bukan aku tidak tahu, selepas aku khabarkan padanya yang Fai menolaknya kerana masih kecewa kerana Zikri suatu ketika dulu, dia terus ke masjid, memohon taubat pada Allah kerana telah membuat hambaNya bersedih hati. Dan bukan aku tidak tahu, dia tidak pernah jemu mengajukan istikharah pada Allah, memohon yang terbaik buat dirinya. Bukan juga aku tidak tahu, Faqih banyak menghantarkan pesanan ringkas buat Fai melalui telefon tangannya selama ini. (aku pun tak tahu dari mana dia menjumpai nombor telefon Fai. Puas aku cuba terangkan pada Fai yang aku tidak bersalah)

Aku mencapai telefon tangan Fai yang berada di sebelahku. Fai telah lama dibuai mimpi indah. Maafkan aku , sahabat…aku ingin sekali mengetahui apa yang dihantar Faqih kepadamu…

‘Salam. Ukht, ana kagum dengan nti. Kegagahan seorang wanita bukan pada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah adalah perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan (macam nti). Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan. Perempuan yang tabah menanggung rindu setelah ditinggalkan.(macam nti). Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan. Kegagahan perempuan berdiri atas teguh iman…’

‘Ukht, ana cuba guna bahasa nti. Aku nak kau jadi sayap kiri aku. Err…ana kekok. Maafkan ana. (ana tahu nti tersenyum)’

‘Renunglah dengan mata hati kerana pandangan mata selalu menipu. Pandangan akal selalu tersalah. Pandangan nafsu selalu melulu. Pandangan hati itu yang hakiki.’

‘Salam. Aku dengar kau sakit. Aku tak nak kau sakit lagi. Ok? (Muharram paksa ana guna cara nti lagi. Ana kekok…) –ana tahu nti tersenyum lagi. Syukran. ’

   “Faseh…” panggilan itu mengejutkan aku. Hampir saja telefon itu terlepas dari genggamanku.

   “Kau marahkan aku?” suara Fai lemah sekali di telingaku. Aku menghampirinya.

   “Untuk apa, Fai?” tangannya ku genggan lembut. Wajahnya ku usap, penuh sayang. Tuhan, benar, aku sayangkan sahabatku ini.

   “Faqih…” ah, nama itu lagi…

“Shh…aku tak pernah menyimpan perasaan itu. Malah aku bahagia bila dia bahagia.” Air mata Fai mula mengalir perlahan…

“Aku minta maaf.” Dia bangun dan memelukku. Aku membalas, erat. Tak akan aku lepaskan kau pergi, sahabatku!

“Aku tak nak…”

“Apa lagi yang kau tak nak ni, Fai? Dia dah cukup baik untuk kau. Siap belajar cakap cara kau lagi. Kau tahu, dia tak pernah cakap macam tu. Dia tu baik, Fai…dia sesuai untuk kau. Terimalah dia, Fai…dah lama sangat kau buat dia tertunggu-tunggu…” Fai diam, suasana hening seketika…

“Dia skema…” tawaku pecah mendengarkan ayat itu. Akhirnya, kami tertawa bersama, dalam satu suasana yang hanya Allah mengerti…ya Allah, Kau hadiahkanlah kebahagiaan pada sahabatku ini…sungguh, YA Allah…aku bahagia andai mereka bahagia!



Panggilan yang aku terima sebentar tadi membuatkan hatiku berbunga. Fai telah sah diijabkabulkan dengan Faqih! Alhamdulillah…aku tak dapat menghadiri majlis pernikahannya, lantaran aku sedang berada di United Kingdom, menyambung perjuanganku mengutip segulung sarjana untuk dihadiahkan pada umi dan abuya sebaik sahaja aku menamatkan sarjana muda ku. Perkhabaran tadi benar-benar melegakan aku. Hmm, Faqih bukan milikku…biarpun aku yang dulu mengenalinya. Mungkin telah tersurat, aku adalah jambatan yang menemukan Faqih dan Fai…syukur, Alhamdulillah!

Aku tak berhak untuk kecewa, apatah lagi berpatah hati. Aku bukanlah semulia Fai untuk menerima Faqih dalam hidupku. Sungguh, aku gembira! (walaupun aku menangis…)

Telefon tanganku bingit berbunyi, meminta aku untuk menjawabnya. Eh, mak long…

“Assalamualaikum Mak Long…” salam ku hulur.

“Alaikumussalam…Faseh sihat?” suara Mak Long ku dengar bahagia.

“Alhamdulillah. Mak Long ni…kan Faseh dah pesan, jangan call. Biar Faseh je yang call Mak Long. Kan mahal ni…”

“Mak Long ada berita untuk Faseh…” jantungku berdegup, kencang…

“Ustaz Muharram hantar rombongan meminang…Mak Long terima…katanya majlis nanti bila Faseh balik ke Malaysia…”

Ya Tuhan……………..Muharram??

Ya Allah………………………….bahagia itu milikku jua akhirnya!!!

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive