Bagaimana Untuk Ubah Orang Panas Baran Melalui Sikap Memberi Maaf Padanya

Posted by Smat Goal Ent 5:28 AM, under ,, | No comments




Realiti yang Anda lalui hari ini adalah refleksi kepada fikiran Anda. Jika fikiran Anda tenang sepanjang masa, maka realiti hidup Anda juga akan tenang sepanjang masa. Anda akan menjalani hidup penuh tenang, kurang masalah.

Jika fikiran Anda bercelaru, sibuk memikirkan berbagai perkara dicampur dengan kegusaran, maka realiti hidup Anda juga akan jadi macam itu. Berbagai masalah akan timbul untuk menjadikan hidup Anda bercelaru. Sebab? Apa yang ada dalam fikiran Anda adalah bercelaru.

Masalah kecil dan masalah besar semua akan muncul satu persatu secara tiba-tiba. Masalah yang kecil sekalipun misalnya kerosakan mentol lampu akan membuat Anda cukup tertekan. Selepas itu, lebih banyak masalah datang bertimpa-timpa secara tiba.

Fikiran Anda menarik situasi serupa dengan yang Anda fikirkan.

Jika hari ini Anda hidup dengan orang yang sifatnya panas baran, dia terus menerus jadi begitu kerana dalam fikiran Anda, sebenarnya Anda kerap membayangkan dia sebagai orang panas baran. Bayangan itu menjadi bertambah kuat apabila dicampur dengan emosi takut, gusar, risau, susah hati dengan apa yang mugkin akan terjadi nanti.

Jika hari ini Anda hidup dengan orang yang sifatnya pemaaf, baik hati serta bertoleransi, Anda dapat hidup dengannya kerana dalam fikiran Anda, kerap Anda bayangkan tentang sikap pemaaf, baik hati serta bertoleransi pada dirinya.

Orang panas baran tidak pernah meminta sikapnya jadi begitu. Dia tidak pernah terfikir dia akan jadi panas baran. Baginya cepat naik marah itu perkara biasa. Kekadang dia suka sebab orang akan takut pada dia.

Oleh kerana sudah terbiasa dengan sikap panas baran, maka ia menjadi sikap yang sukar diubah dari luar, melainkan dia sendiri berubah.

Untuk ubah sikap orang sebegini, mulakan dari diri Anda sendiri terlebih dahulu. Formulanya adalah, realiti hidup Anda pada hari ini adalah terjemahan sebenar kepada apa yang kerap bermain di fikiran Anda.

Situasi di sekeliling anda akan kesan daripada rupa tanggapan yang mendominasi fikiran Anda. Jika di fikiran buruk, maka situasi sekeliling Anda juga kerap menjadi buruk. Anda perlu ubah apa yang ada dalam fikiran menjadi baik supaya sekeliling anda berubah menjadi baik juga.

Bagaimana Untuk Ubah Sikap Orang Panas Baran Melalui Kemaafan

Fikiran menerbitkan gelombang tersendiri. Gelombang ini tidak nampak tapi tetap wujud.

Gelombang handphone Anda pun Anda tak nampak, tapi Anda percaya gelombang tu wujud, kan? Gelombang Astro pun Anda tak nampak, tapi Anda tetap rasa ia wujud sebab ia memberi kesan dalam kehidupan Anda. Gitulah juga gelombang fikiran.

Gelombang fikiran terbit dari minda lalu mengembara masuk ke minda orang lain. Jika Anda fikirkan dia, serta merta dia akan teringat Anda. Lebih tenang Anda, lebih pantas orang itu teringatkan Anda. Lebih kerap Anda ingat dia, lebih keraplah juga bayangan wajah Anda muncul di fikirannya.

Ingat, fikiran kita jadi lebih efisen bila emosi kita tenang. Jenis gelombang fikiran dipengaruhi oleh emosi. Emosi baik akan menerbitkan gelombang baik. Emosi negatif akan menerbitkan gelombang negatif.

Setiap kali ada peluang untuk Anda berseorangan, ambil sedikit masa untuk mengucapkan maaf. Sebab dari sikap memberi maaf ini Anda boleh merubah emosi kepada emosi positif. Cinta, syukur serta kemaafan adalah emosi-emosi positif bergelombang tinggi.

Jika Anda bergaul bersama-sama dengan seseorang yang panas baran, hari ini, bayangkan orang itu kemudian ucapkanlah kemaafan buat dirinya di dalam hati. Usah difikir banyak, maafkan saja dia atas kesalahan-kesalahan sikapnya, perangainya serta atas perkataan yang diucapkannya.

Maafkanlah kesalahannya kerana melukai perasaan Anda hingga pernah membuat Anda merasa takut walaupun hanya terfikirkan namanya. Maafkan sebagaimana Anda memaafkan seseorang yang berbuat salah pada Anda.

Pastikan emosi Anda tenang tatkala Anda melakukan teknik ini. Kenapa perlu tenang?

Sebab kemaafan tidak akan memberi kesan jika dilakukan di kala kesibukan atau di kala bunyi bising berada di sekitar Anda. Anda tidak akan dapat menumpu perhatian.

Kemaafan yang Anda lafazkan spontan dengan ikhlas akan menerbitkan rasa lega. Jika Anda sudah memberi maaf tapi Anda tidak merasai apa-apa, ketahuilah maaf yang Anda lafazkan itu tidak ikhlas kerana dipaksa-paksa.

Ini soal hati, soal rasa dan soal jiwa. Maka niat Anda perlu diubah menjadi ikhlas. Dari ikhlas itu, barulah apa yang Anda lakukan ni memberi kesan.

Maafkan orang yang Anda rasa panas baran itu. Maafkan sikapnya yang panas baran, maafkan kesalahannya jika dia pernah memarahi Anda.

Maafkan perangainya yang cepat naik marah. Maafkan dia, maaf sebenar-benar maaf. Maafkan semaaf mungkin hingga air mata kegembiraan mengalir dari kelopak mata Anda kesan dari rasa memaafkan yang sungguh mendalam.

Simply ucapkan “aku maafkan kamu…” atau apa jua ayat yang Anda rasa ngam untuk digunakan bagi memaafkan dirinya. Apabila Anda merasa ada satu kelegaan selepas memaafkan dan rasa itu terbit tak semena-mena ada di dalam jiwa, kemaafan yang Anda beri itu sesungguhnya adalah kemaafan yang ikhlas. Itulah petanda keikhlasan dalam memberi maaf.

Apa Terjadi Bila Anda Memberi Maaf



Maaf adalah aktiviti yang dapat mencuci hati, sama ada meminta maaf atau memberi maaf kesannya serupa. Istighfar, iaitu perbuatan memohon maaf dari Tuhan kerana merasakan diri terbuat dosa juga amalan bagus untuk mencuci hati.

Bila hati bersih, emosi Anda cenderung ke arah emosi positif. Emosi ini akan mempengaruhi gelombang minda. Selagi emosi Anda positif, selagi itulah gelombang minda Anda kekal positif.

Gelombang positif Anda akan menjangkiti orang lain yang ada di sekeliling Anda juga sesiapa saja yang Anda fikirkan. Untuk bergaul cara baik dengan orang panas baran serta untuk membuat dia berubah, gunakan teknik kemaafan ini. Kemaafan yang Anda hantarkan untuk dirinya akan mengubah dia secara langkah demi langkah seiring perubahan masa.

Maafkan dirinya selalu tiap kali Anda terfikir akan dia atau tiap kali teringatkan dia. Rasai kemaafan itu, maafkan dia ibarat Anda lupakan habis sikap panas barannya itu. Jika Anda merasa takut kerana sikap panas baran yang ada pada dirinya, maafkan dia kerana bersikap sebegitu.

Lama kelamaan situasi Anda akan berubah. Anda akan perasan ada perubahan pada dirinya sedikit demi sedikit. Dia akan mahir mengawal marah, bahkan sudah kurang panas barannya. Kenapa begitu?

Sebab gelombang minda Anda berubah jadi positif kesan dari kemaafan berterusan mempengaruhi mindanya yang dikelabui awan negatif. Minda Anda mempengaruhi mindanya lantas mengubah sikapnya sedikit demi sedikit menjadi positif. Fokus minda Anda mempengaruhi mindanya, selepas itu mempengaruhi sikapnya. Ini adalah tindakan berangkai. Satu aspek mempengaruhi aspek lain.

Dalam pada itu, teruskan berdoa pada Allah Yang Maha Esa, mohon bantuan serta petunjuk untuk Anda ubah orang yang panas baran itu.

Tips ringkas kali ini baik untuk mengubah sikap panas baran suami, sikap panas baran isteri atau sesiapa saja yang bergaul dengan Anda misalnya kawan-kawan, adik- beradik atau rakan sekerja.

Usaha merubah hidup Anda dan bagaimana perhubungan Anda dengan orang lain yang hidup bersama-sama dengan Anda adalah bermula dengan diri Anda terlebih dahulu. Kemaafan bukannya tentang hanya memaafkan orang lain dan menurunkan ego sendiri tapi lebih dari itu.

Kemaafan adalah cara untuk Anda merubah emosi Anda kepada emosi positif seterusnya merubah gelombang minda kepada gelombang positif, akhirnya merubah perhubungan Anda dengan orang lain menjadi semakin positif, semakin baik.

Perubahan di luar diri Anda kena dimulakan dari dalam diri Anda dulu iaitu dari hati juga emosi.

Yang di dalam (emosi, kebersihan hati, fikiran tenang) akan merubah yang di luar (perhubungan, tahap kerjaya, kebahagiaan, prestasi, pencapaian).

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive