Meningkat umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran
dan perasaan. Sungguh, kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa. Tanpa perlu
belajar, tidak perlu merujuk nota…hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan
mendiam di hati insan.
Manusia sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya.
Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya. Rindu dan kasih
sayang anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya. Allah
tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri
adalah takdirNya.
Maha Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya. Setiap jiwa
memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang
terbaik untuk hambaNya. Berkahwinlah keranaNya, mencintailah keranaNya, bertemu
dan berpisah jua keranaNya,hanya untukNya. Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya,
sentiasa memberikan kita jalan yg terindah. Dia mengetahui fitrah yang membalut
setiap manusia. Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya. Cinta nafsu yang
memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan demi
peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta yang
dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata.
“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”
Bagitulah halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang
terpendam diresipikan nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar
mngundang serangga perosak. Buahnya meranum namun rasanya pahit. Akhirnya
dibiar mati tidak dipeduli.
Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging.
Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat
daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari
Jangan menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu
cintakan dunia dan manusia, akan memakan jiwa. Manakan bisa seorang hamba
mengharap pada hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada
Pencipta yang satu. Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah
bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya. Sungguh rapuh.
Hari ini berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini,
berjanji setia..hari esok tiada suara. Hari ini dia milikmu, hari ini esok
belum tentu. Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki
sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti.
Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh
insan yang mereka cintai. Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk
hati hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta.
Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya
hanya sementara.
Sedangkan tidak ramai yang sanggup bergenang air mata
menghayati anugerah Dia. Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa
ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya.
Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya. Masakan Allah yang
maha Penyayang bersikap zalim. Dia maha mengetahui segala sesuatu baik yang
nyata mahupun tersembunyi.
“ Mencintai tidak bererti memiliki..
Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,
Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,
Segala kesudahan rasa,
Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,
Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,
Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala
peristiwa,
Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.
Jodohnya manusia ada ditangannya.
Saudaraku tercinta,
Andai kehendak hati terhenti,
Percayalah, Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik
lagi,
Cinta yang membuatkan mu tidak lena,
Menjadikan harimu terganggu setiap masa,
Bukannya itu cinta yang diharapkan,
Itu hanya perasaan yang hanya mengundang tekanan,
Cinta sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,
Redha dengan takdirNya,
Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,
Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan
idaman,
Asalkan si dia mencintai Tuhan,
Kita kan terus mencintainya tanpa alasan.
Mengapa dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat
Sulaiman..Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus
Zulaikha..Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti
Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada
keburukan pada diri sendiri..Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu
sebagai keunikan..Carilah kebaikan itu pada dirinya. Bersyukurlah kerana
dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu…
“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau
hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )
Saudaraku tersayang,
Orang yang wujud dihatinya akan suatu rasa mencintai Allah
melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya tiada duka buatnya.
Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi rindunya buat duniawi yang akan
binasa. Seseorang pecinta akan selalu berfikir dan menyebut insan yang
dicintai, ibaratnya tak mati di hati, tak lekang di bibir. Demikian jualah
cinta untuk Illahi, persiapkan lisan untuk selalu menyebut indah namaNya,
sediakan hati untuk selalu mengingatiNya, dan jadilah insan yang paling bahagia
dalam redaNya.
Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku,
dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan
dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku
dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia
mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia
mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang
kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”
(Sahih Bukhari)
Amin.
Sumber:akuislam.com
0 comments:
Post a Comment