Ikhlas memang sangat mudah untuk diucapkan tapi sangat sukar
untuk dilalui. Kerana itu, ia memerlukan satu proses yang panjang sehingga
dapat membimbing kita pada sebuah keikhlasan.
Ketika cinta terhalang dengan restu orang tua,
ketidakmampuan dan ketika harus menerima kenyataan orang yang di sayangi
berkahwin dengan orang lain. Ketika rancangan hanya tinggal sebuah rancangan
yang tidak akan wujud, maka adalah tidak mudah untuk menerima kenyataan itu,
bahkan mungkin sangat sukar untuk kita menerimanya. Hari demi hari dilalui
dengan air mata dan kesedihan.
Di kesunyian dan keheningan malam, kita menangis di
hadapanNYA bukan untuk menyesali apa yang terjadi, tetapi menyesal kenapa kita belum
dapat menjadi hambaNYA yang ikhlas menerima kenyataan ini.
Tetapi itulah hidup. Adakalanya kita harus mengalami sesuatu
yang pahit. Apa-apa pun yang terjadi itulah yang terbaik buat kita meskipun
kita sedih, kecewa dan merasa tidak adil.
Kita hanya berusaha untuk redha dengan semua ketentuan yang
telah digariskan oleh ALLAH. Menerima apa-apa pun yang terjadi bukan bererti
tidak berusaha untuk meraih sesuatu yang lebih baik. Tetapi berusaha untuk
ikhlas dan menyerahkan semua ini kepadaNYA.
Ini akan menenangkan hati yang gelisah. Kerana disebalik
kejadian ini pasti ada hikmahnya dan Insyaallah ia akan membimbing kita untuk
menjadi seseorang yang kuat, sabar dan ikhlas dalam menjalani hidup.
Ketika kita ikhlas dan bersyukur dengan semua yang diberikan,
Allah akan memberikan ketenangan yang luar biasa pada hati kita. Sesungguhnya
sesudah kesulitan pasti ada kemudahan dan DIA akan memberikan jalan yang
terbaik. Yakinlah bahawa rencana Allah itu lebih baik.
Buat sahabat yang sedang bersedih, kuatkanlah semangat,
kerana Allah sayang kepada hambaNYA yang kuat dalam menjalani ujian dariNYA.
Kerana sebenarnya begitu banyak anugerah dan nikmat yang diberikan olehNYA yang
harus kita syukuri.
Selalulah berprasangka baik kepadaNYA dan bersyukur Allah
masih memberikan ujian kepada kita. Itu bererti kita termasuk dari kalangan
orang-orang yang masih diperhatikan olehNYA. Allah selalu memberikan sesuatu
yang kita perlukan, bukan sesuatu yang kita inginkan. Oleh itu, DIA lebih tahu
mana yang terbaik buat hambaNYA.
Ikhlas, sabar dan bersyukur adalah 3 kunci kehidupan. Tidak
mudah tetapi sangat sukar. Tetapi tiada yang tidak mungkin jika kita mahu
berusaha dan mencuba untuk menjalaninya dalam kehidupan kita.
Terima Kasih Ya ALLAH untuk kasih sayang, kekuatan dan semua
yang sudah Engkau berikan kepada kami. Berikan petunjuk dan bimbinganMu kepada
kami seperti yang telah Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang Engkau
sayangi.
Izinkanlah kami untuk untuk lebih dekat dan mencintaiMu.
0 comments:
Post a Comment