Bukan senang untuk beriman dengan takdir. Kita mungkin
berkata kita percaya, tetapi apabila datang dugaan-dugaan tertentu, ada yang
akan cuba bertindak seolah-olah tidak dapat menerima ketentuan tuhan. Firman
Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 9,
“Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu
pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya,
mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.”
Orang yang berusaha dengan niat untuk beramal akan “berasa
lain” sekiranya mereka gagal mencapai matlamat. Mereka akan sentiasa berasa
tenang walaupun didatangi kesusahan atau kesenangan. Mereka terdiri daripada
golongan yang bahagia di dunia dan sedang menanti kebahagiaan di akhirat. Tiada
satu perkara yang berlaku pada diri mereka yang dapat menggugat ketenangan itu.
Sebaliknya, mereka yang berusaha untuk kebahagiaan dunia
mungkin akan merasa bahagia apabila matlamat tercapai. Namun sekiranya gagal,
mereka akan berasa amat dukacita. Sekiranya mereka kehilangan sesuatu, mereka
akan bermatian-matian untuk mempertahankan atau mendapatkannya semula.
Sekiranya mereka gagal mendapatkannya semula, hati mereka akan berasa gelisah
dan hidup mereka mula menderita. Lalu mereka menyalahkan orang lain dan
akhirnya menyalahkan tuhan.
Jika seseorang itu jodoh kita, dia tetap jodoh kita. Jika
seseorang itu bukan jodoh kita, dia tetap bukan jodoh kita, walaupun apa pun
yang kita lakukan, tidak ada gunanya memaksa diri mempertahankan. Dengan
menyerahkan kepada ketentuan, lazimnya tuhan akan membuka jalan-jalan yang
tidak pernah kita fikirkan.
Mempercayai takdir bukan bermaksud berputus asa. Frasa
“putus asa” sepatutnya tidak wujud di dalam kamus hidup seorang mukmin. Kita
tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan rahmat Allah.
Perbanyakkan doa untuk kebaikkan. Sebarang usaha perlu
dijalankan dengan kaedah yang betul. Ada sesetengah orang yang ditinggalkan
kekasih atau suami lalu cuba mendapatkan semula dengan kaedah mengumpat,
memfitnah dan memburukkan orang lain.
Sebaliknya, sekiranya mereka berhenti seketika untuk berdoa
dan bermuhasabah diri serta menerima ketentuannya, lebih banyak manfaat dapat
diperolehi. Salah satu daripadanya adalah ketenangan, selanjutnya adalah iman.
InsyaAllah.
0 comments:
Post a Comment