Bila Kita Harus Ikhlas?

Posted by Smat Goal Ent 2:15 AM, under | No comments



Banyak diantara kita menyangka bahawa yang dinamakan keikhlasan itu, hanyalah ada dalam perkara-perkara ibadah semata – semata seperti solat, puasa, zakat, membaca al – Quran , haji dan amal-amal ibadah lain. Namun ketahuilah bahawa keikhlasan juga harus ada dalam amalan – amalan yang lain.

Apabila kita senyum, kita harus ikhlas. Ketika kita mengunjungi saudara kita, kita harus ikhlas. Ketika kita meminjamkan sahabat kita barang yang dia perlukan, itu juga harus ikhlas. Adakah kita lakukan itu semua kecuali semata-mata kerana Allah? kita tersenyum kepada dia bukan kerana agar dia berbuat baik kepada kita. Kita juga tidak membantu orang lain kerana takut dikatakan sebagai orang yang kedekut. Tidak wahai saudaraku, jadikanlah semua amal tersebut kerana Allah.

Rasulullah bersabda: “Ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kota lain, maka Allah mengutus malaikat didalam perjalanannya, ketika malaikat itu bertemu dengannya, malaikat itu bertanya, “Hendak ke mana engkau?”
maka dia pun berkata “Aku ingin mengunjungi saudaraku yang tinggal di kota ini.”
Maka malaikat itu kembali bertanya “Apakah engkau memiliki suatu kepentingan yang menguntungkanmu dengannya ?”
orang itu pun menjawab: “Tidak, aku mengunjunginya sebab aku mencintainya kerana Allah,
Malaikat itu pun berkata “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk mengkhabarkan kepadamu bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya.” (HR. Muslim)

Tidaklah orang ini mengunjungi saudaranya kecuali hanya kerana Allah, maka sebagai balasannya, Allah juga mencintai orang tersebut. Tidakkah kita ingin dicintai oleh Allah wahai saudaraku?

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, “Tidaklah engkau menafkahi keluargamu yang dengan perbuatan tersebut engkau mengharapkan wajah Allah, maka perbuatanmu itu akan diberi pahala oleh Allah, bahkan sampai sesuap makanan yang engkau letakkan di mulut isterimu.” (HR Bukhari Muslim)

Renungkanlah sabda baginda ini, “hanya” dengan sesuap makanan yang seorang suami yang diletakkan di mulut isterinya, apabila dilakukan ikhlas kerana Allah, maka Allah akan memberinya pahala. Sesungguhnya merupakan suatu keberuntungan yang amat sangat besar seandainya kita dapat menghadirkan keikhlasan dalam seluruh gerak-gerik kita.

Wahai saudara – saudariku yang dicintai oleh Allah, sesungguhnya yang diwajibkan dalam amal perbuatan kita bukanlah banyaknya amal, tetapi keikhlasan. Amal yang dinilai kecil di mata manusia, apabila kita melakukannya ikhlas kerana Allah, maka Allah akan menerima dan melipat gandakan pahala dari amal perbuatan tersebut.

Abdullah bin Mubarak berkata: “Betapa banyak amalan yang kecil menjadi besar kerana niat, dan betapa banyak pula amal yang besar menjadi kecil hanya kerana niat.”

Rasulullah bersabda: “Seorang lelaki melihat dahan pohon di tengah jalan, dia berkata: Demi Allah aku akan singkirkan dahan pohon ini agar tidak mengganggu kaum muslimin, Maka dia pun masuk syurga kerananya.” (HR. Muslim).

Ada waktu, kita rasa kita sudah cukup ikhlas. Berhati-hatilah. Sebab mungkin kita mampu merasakan demikian kerana kita belum diuji. Ikhlas dalam beramal ini ibarat air susu yang keluar antara saluran najis dan darah. Ia tetap putih bersih tidak tercemar, bahkan rasa darah atau bau najis pun tidak keluar bersama dengannya.

Maka kita perhatikan diri kita. Pada saat-saat pergeseran antara keinginan untuk ikhlas, dan keperluan yang mendesak datang. Maka di situlah kita ukur kualiti diri kita yang sebenar. Di situlah titik ujian dan muhasabah.
Apakah kita mampu untuk ikhlas?
Apabila kita faham makna ikhlas, dan keperluannya dalam kehidupan kita sebagai hamba, maka kita akan berusaha menjaganya sebaik mungkin, dan berusaha mewujudkannya dengan kesungguhan yang tidak terkira.

0 comments:

Post a Comment


Tags

Blog Archive

Blog Archive