Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan
lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk
beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan
sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan
rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan
tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang
kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan,
seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik
itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan
kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani
kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu
bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok
agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan
memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat,
maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang
wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia
menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua
jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus
bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di
samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga
mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan
kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan
hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita
bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam
perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita,
tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa
tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak
mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda
menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali
dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki
lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab
dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih
seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu
menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa,
menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu
diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita
wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak
terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah
sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada
rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk
membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti,
bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan
dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia,
disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin
lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu
kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh
melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus
bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit
terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan
mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua
diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah...
0 comments:
Post a Comment